Selasa, Ogos 19, 2014
Keperkasaan Briged Ezzedeen al-Qassam Petanda Kehancuran Zionis.
Oleh: Jufitri bin Joha
Naib Presiden ABIM
Tersiar Dalam: Majalah Al-Ustaz Bilangan 29
Tirai 2014 menyaksikan Gaza diserang lagi, kali ini tiada lagi Morsi yang mendokong perjuangan rakyat Palestin dengan tajaan gencatan senjatanya. Penduduk Gaza yang terpaksa berjuang bersendirian tanpa jiran-jiran yang sebelum ini membantu. Syria masih lagi berdarah dan juga sedang berjuang bersendirian semenjak 3 tahun yang lalu. Lubnan pula masih bergelut dengan konflik sektarian dalaman manakala Jordan hanya mampu melihat dan sudah tidak mampu untuk menerima kebanjiran pelarian Palestin dan Syria. Apa yang penting Allah menjadi sandaran utama rakyat Palestin.
Menurut sumber Briged Ezzeden al-Qassam Semasa artikel ini ditulis, sebanyak 12532 serangan telah dilancarkan oleh Israel terhadap penduduk awam Gaza melibatkan 561 jiwa yang tidak berdosa terkorban, 3504 jiwa tercedera, 3122 rumah musnah, kerugian daripada sudut ekonomi dianggarkan 262 juta USD dan sejumlah 100 000 penduduk Gaza memerlukan tempat perlindungan selepas rumah mereka musnah dalam serangan ganas Zionis. Angka ini dijangka terus meningkat selepas serangan dipertingkatkan oleh Rejim Zionis yang sudah melebihi 15 hari berbanding operasi ‘Pillar of Defense’ yang lalu yang hanya berlangsung selama 8 hari. Rejim Zionis memang kelihatan terdesak. Walaupun mereka mempunyai kelengkapan senjata yang canggih dan berjaya membunuh ribuan nyawa rakyat Palestin, ternyata mereka masih terus gagal untuk membunuh semangat self-resilience’ dan ‘self-resistance’ yang terus bersemarak dalam jiwa rakyat Palestin khususnya generasi mudanya.
Penulis masih ingat kata-kata tegas Khaled Meshaal, Ketua Pergerakan HAMAS ketika kunjungan dan pertemuan dengan beliau di Pejabat Palestinian Cultural Organisation Malaysia (PCOM) di Titiwangsa Kuala Lumpur tahun lepas bahawa jawapan tuntas kepada Rejim Zionis hanyalah ‘resistance’! Justeri kata-kata keramat ini membayangkan bahawa Rejim Zionis tidak akan berhadapan laluan mudah sehingga hari kiamat. Kata-kata keramat dan semangat melawan ini juga menjadi azimat dan khabar gembira kepada umat Islam di seluruh bahawa bumi Palestin akan berterusan dipertahankan oleh pejuang pejuang Palestin. Ini merupakan kuasa optimisme yang menurut AM Waskito dalam bukunya The Power of Optimism bahawa optimisme atau at tafa’ul adalah kunci kemenangan. Tambah Waskito lagi, “Ketika suatu kaum bersikap sangat optimis dalam menjalani hidupnya dan melaksanakan misi perjuangannya, maka saat itu terbuka pintu-pintu kemenangan baginya”. Umat Islam tidak akan putus asa walaupun kelihatan pejuang pejuang Palestin kelihatan serba serbi kekurangan dan terus dianiaya oleh Rejim Zionis kerana yang berputus asa itu hanyalah orang kafir. Firman Allah Ta’ala, “Ibrahim berkata, “Dan tidaklah berputus asa daripada rahmat Allah kecuali orang-orang yang sesat.” (al Hijr: 56).
Perjuangan mempertahankan Gaza dan Palestin akan sentiasa disambut dan tidak kunjung padam semenjak 1948. Perjuangan ini turut diteruskan dan disemarakkan oleh Briged Ezzeden al-Qassam (BEQ) semenjak penubuhannya pada tahun awal 1990. Menurut sahabat baik penulis iaitu Brother Muslim Abu Omar yang juga merupakan Pengerusi Palestinian Cultural Organisation Malaysia (PCOM) bahawa BEQ diinspirasikan penubuhannya oleh beberapa pemimpin penting Islamic Resistance Movement atau Harakat al-Muqawama al-Islamiyyah (HAMAS) seperti Imad Aqel, Salah Shehadah, Yahya Ayyash dan pemimpin ikonik Syeikh Ahmad Yassin. Sebelum 1990an iaitu pada 1987, BEQ merupakan sayap tentera HAMAS yang tidak dikoordinasi secara tersusun daripada beberapa kumpulan sel kecil seperti al Mujahidoon al Filistiniyun dan Briged Abdullah Azam. BEQ bermula secara kecil-kecilan dengan sekumpulan kecil pejuang-pejuang Palestin menggunakan pistol dan pisau untuk membuat serangan maut terhadap askar-askar Rejim Zionis. Lagenda-lagenda BEQ seperti Imad Aqel dan Engineer Yahya Ayyash telah menggerunkan askar-askar Zionis dengan membunuh mereka dengan menggunakan pistol, bahan letupan dan kereta yang dipasang bom. Rejim Zionis terpaksa menggunakan khidmat Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk menindas, menangkap dan membunuh pejuang BEQ sehingga 20 pejuang terbunuh semasa sesi interogasi pada akhir 1990an.
Menurut Brother Muslim lagi, ketika Intifadah kedua meletus pada akhir 2000, kekuatan BEQ bertambah bahkan lebih bersemangat meskipun mereka berhadapan dengan kekejaman Rejim Zionis dan saudara mereka sendiri iaitu PA. BEQ berjaya mendapat sokongan rakyat Palestin apabila kemarahan memuncak ketika Intifadah kedua. BEQ maju setapak lagi apabila mereka berjaya mencipta ‘home made’ roket oleh jurutera HAMAS. Adnan Alghoul berjaya menambah baik keupayaan roket al Qassam ini sebelum dibunuh oleh Rejim Zionis. BEQ pada momen ini berjaya mempelbagaikan taktik serangan, mempertingkatkan keupayaan persenjataan dan merekrut lebih ramai anak-anak muda yang komited.
Tahun 2005, penentangan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat berjaya membunuh 600 pendatang haram Zionis manakala sebagai balasan, Rejim Zionis telah membunuh 3000 penduduk Palestin. Pemimpin utama BEQ, Salah Shehadeh telah dibunuh secara terancang bersama-sama 20 ahli keluarga dan jiran dalam serangan udara Rejim Zionis ke atas rumah beliau. Penentangan ini juga berjaya menghalau askar Zionis keluar secara terhina dari bumi Gaza. BEQ menjadi bertambah keyakinan dan semakin tersusun padu. Penindasan Zionis sedikit tidak melemahkan bahkan memperkuatkan iltizam mereka. Sumber dalaman Zionis menganggarkan BEQ membentuk lebih 20 000 pejuang tidak termasuk sayap tentera lain seperti Briged al Quds dan Briged Naser Salahidin. Ketiga-tiga briged terus berpadu menyerang Zionis tanpa mengenal erti putus asa.
Ujian sebenar BEQ hadir pada pencerobohan Zionis pada 2008/2009 di mana Zionis gagal menjajah semula Gaza. Tahun 2012 pula membuktikan kerja keras BEQ apabila mereka berjaya menghasilkan roket kedua iaitu Roket Maqadmah (M75) yang mengambil sempena nama pengasas BEQ yang menggegarkan Tel Aviv. BEQ terus membuat kejutan demi kejutan dan membuatkan Zionis tidak tidur lena apabila melancarkan Roket Rantisi (R160) mengambil sempena nama hero mereka Sheikh Ahmad Rantisi yang gugur syahid dibunuh Zionis. R160 telah menggegarkan Haifa. BEQ juga ada Ababil Drone. BEQ bukan sahaja ‘advance’ daripada segi persenjataan bahkan canggih daripada segi perang psikologi berhadapan dengan tentera Zionis seperti ‘Cyber War’, ‘Tunnel War’ dan Naval Commandos. Semenjak serangan terbaru Rejim Zionis pada saat artikel ini ditulis, BEQ telah membunuh hampir 53 askar elit Zionis daripada Briged Givati dan Govani termasuk pegawai-pegawai senior tentera. Ratusan lagi askar Zionis tercedera. Ini satu pencapaian yang menakjubkan daripada kumpulan yang bermula dengan serba kekurangan!
Sehingga kini BEQ terus menjadi pasukan yang tersusun bahkan mempunyai akademi latihannya yang tersendiri. As Syahid Ahmad Aljabari yang terkorban dalam serangan udara Zionis ke atas keretanya pada 2012 yang lalu merupakan antara individu yang memainkan peranan yang cukup instrumental dalam menyusun akedemi ini.
Semoga BEQ terus berkhidmat dan menjadi ‘toifah’ atau kumpulan mempertahankan bumi berkah ini sehingga ke hujung nafas. Jika beginilah semangat jihadnya, benarlah ramalan orang ternama Yahudi seperti Henry Kissinger dan 16 agensi intelijen Amerika dalam laporan “Preparing for a Post-Israel Middle East” bersetuju bahawa masa depan dunia adalah tanpa kewujudan Israel atau lebih tepat menurut Kissinger yang dipetik The New York Post secara verbatim, “In 10 years, there will be no more Israel”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan