Isnin, Ogos 15, 2016

Kata Pengantar Buku Wanita & Masjid Karangan Profesor Dr. Jasser Auda


Seuntai Kata Pemula Bicara

Dengan nama Allah Taala Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Alhamdulillah syukur dirafa’kan terhadap Tuhan Rabbul Jalil atas penterjemahan dan penerbitan buku yang amat penting ini. Di tangan ini kita ini adalah buku guru kami al-Fadhil Dr. Jasser Auda bertajuk “Wanita dan Masjid, Kedudukan Wanita dalam Institusi Keagamaan dari Pandangan Maqasid Shariah” merupakan sebuah karya yang bermanfaat dalam membetulkan pandangan dan kefahaman umat Islam terhadap agama khususnya penglibatan kaum wanita di dalam institusi agama seperti masjid dan surau.

Amnya terdapat banyak kesalahfahaman terhadap larangan dan peranan wanita di masjid yang menurut pengarang adalah bidaah yang menyusahkan dan memudaratkan Islam secara tidak sedar. Ini menyebabkan peranan dan penglibatan wanita terbatas di institusi agama bahkan merupakan suatu kerugian yang besar terhadap pembangunan ummah. Ia sudah tentu sedikit sebanyak menyumbang kepada imej negatif tentang agama yang suci ini di mana kelihatan seolah-olah Islam mengecilkan penglibatan dan sumbangan wanita Islam. Walhal dalam sejarah peradaban Islam, penglibatan dan sumbangan wanita Islam diiktiraf dan digalakkan di mata syarak. Dr. Mohammad Akram Nadwi sebagai contoh, merakam peranan dan sumbangan ahli hadis di kalangan wanita Islam dalam bukunya al-Muhaddithat: The Women Scholars in Islam di mana tercatat ahli hadis muslimah ini bukan sahaja belajar hadis di masjid dan madrasah bahkan mengajar hadis, fekah dan undang-undang di dalam masjid termasuk mengajar pelajar lelaki dan khalifah.

Sebagai ilmuwan muda tersohor dan mendalam fahaman agamanya, Dr. Jasser membantu kita untuk memahami al-Quran, hadis dan pandangan ulama melalui perspektif Maqasid Shariah (objektif tertinggi shariah) tentang penglibatan dan peranan wanita Islam bukan sahaja wajar digalakkan hadir ke masjid bahkan sehingga terlibat secara aktif di dalam pengurusan tertinggi masjid selama mana menjaga adab, akhlak dan menjauhi fitnah. Sesungguhnya buku ini wajar disebarluas dan dikupas secara meluas agar umat Islam dapat memahami agamanya dengan baik dan meningkatkan imej Islam juga sebagai agama rahmat untuk wanita. Selain itu, ia dapat mendidik masyarakat bahawa wanita mempunyai peranan dan sumbangan yang besar yang tidak boleh dikesampingkan untuk bersama-sama kaum lelaki mengimarahkan masjid yang menjadi asas komuniti kepada pembangunan sebuah peradaban dan tamadun yang hebat.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dr. Jasser Auda atas tulisan yang meluaskan horizon pemikiran umat dan syabas juga diucapkan kepada grup penterjemah muda iaitu saudara Muhammad Suhaimi, Ahmad Faiz M. Khalil dan Izzat Naqib Yusuf yang mengambil langkah proaktif dan tekun menterjemahkan karya yang penting ini demi manfaat ilmu kepada umat.

Selamat Membaca!

JUFITRI BIN JOHA
Pengerusi
Akademi Intelektual Muda (AIMs)


*Buku ini boleh diperolehi dan dibeli daripada Laman Facebook Akademi Intelektual Muda: https://www.facebook.com/akademiintelektualmuda/?fref=ts

Tiada ulasan:

Catat Ulasan