Sabtu, Mei 06, 2017
Konvensyen Belia Negara 2017
ARTIKEL TRIBUTE SEMPENA
KONVENSYEN BELIA KEBANGSAAN
SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2017
TEMA :
“TRANSFORMASI NASIONAL 2050 : ASPIRASI KEPIMPINAN BANGSA ANGKASA”
JUFITRI BIN JOHA
NAIB PRESIDEN
MAJLIS BELIA MALAYSIA
Fikrah seorang Negarawan tulen bukan hanya berbicara soal pilihanraya akan datang tetapi yang lebih penting generasi masa hadapan atau dengan izin “A State man not merely talk about next general election but instead next generation”. Transformasi Nasional 2050 atau TN50 yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Belanjawan 2017 di Parlimen pada tahun lepas merupakan aspirasi masa hadapan yang ingin melihat nasib generasi masa hadapan yang lebih gemilang sebagai bangsa terhebat.
Januari 2017 lepas, TN50 telah pun dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri di Universiti Malaya (UM) dan sedang giat dalam proses untuk mendapatkan sebanyak mungkin input dan aspirasi generasi muda tentang masa depan 30 tahun kehadapan. Y.B. Khairy Jamaludin Menteri Belia dan Sukan berhasrat untuk melakukan dialog dan temuseru bersama belia sebanyak mungkin dan mensasarkan sehingga satu juta belia sebagaimana yang diucapkannya ketika Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) pada 20 April 2017 yang lepas.
Setakat capaian hampir setengah juta belia pada ketika ini, terdapat lima aspirasi utama yang dikenalpasti oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semasa sesi dialog dan sumbang saran iaitu berkaitan pekerjaan dan kekukuhan ekonomi; persekitaran yang mapan; pendidikan berkualiti; perkhidmatan awam yang baik; dan minda dan jatidiri yang kukuh. Kerajaan diharap terus membuka ruang dan harus telus mendengar segala idea, aspirasi mahupun kritikan yang membina.
Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai pemegang taruh utama pembangunan belia Negara di samping KBS turut bergerak aktif dan proaktif mendapat pandangan dan aspirasi pelbagai kelompok belia bagi membawa suara dan pandangan mereka ke atas. Selain pelbagai segmen dan kelompok belia yang didekati, pihak MBM juga prihatin dengan masa depan industri angkasa Negara kerana kebanyakan kuasa besar dunia mahupun Negara yang sedang membangun seperti Nigeria sedang dan terus berlumba untuk mengeksplorasi dan menguasai jagat raya. Negara kecil seperti Luxemborg menurut Dr. Mazlan Othman pun melabur sebanyak 227 juta USD dalam perlombongan Asteroid di angkasa.
Bukan sahaja Negara, individu elit seperti Elon Musk dan Richard Branson sudah pun melancarkan projek kapal angkasa mereka sendiri untuk membawa manusia melancong dan menjelajah angkasa lepas yang amat luas dengan pakej space hotel yang terapung mengelilingi Bumi. Muncul juga di sana space start-up yang dipelopori oleh anak-anak muda.
Untuk menjadi dua puluh kuasa besar dunia dan menjadi bangsa hebat, bidang angkasa wajar diberi perhatian sementelah Kerajaan melalui Majlis Sains Negara telah pun bersetuju mewujudkan Dasar Angkasa Negara bagi memandu arah tuju utama dan masa depan bidang angkasa. Usaha meramaikan lagi generasi muda yang minat di dalam astrofizik dan astronomi harus dipertingkatkan di kala Malaysia berjaya melahirkan individu seperti Hafizah Ibrahim yang terlibat dalam pasukan penyelidik Teori Gravitasi Albert Einstein dan Adlyka Annuar yang mengkaji Supermassive Black Hole.
Justeru bersempena Hari Belia Negara 2017 pada tahun ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) akan menganjurkan Konvensyen Belia Kebangsaan (KBK) pada 15 Mei 2017 (Isnin) di Grand Ballroom, Hotel Marriot Putrajaya dengan memberikan fokus kepada TN50, atau Transformasi Nasional 2050 ini.
Tema yang diangkat KBK iaitu “Transformasi Nasional 2050 : Aspirasi Kepimpinan Bangsa Angkasa” dengan hasrat untuk mengupas dan berbincang tentang agenda kepimpinan bangsa angkasa. Kepimpinan belia yang dicitrakan ialah kepimpinan yang mempunyai ciri-ciri bangsa yang maju yang menguasai angkasa. Mereka mempunyai kualiti dan kekuatan kepimpinan seumpama angkasawan yang disifatkan sebagai profesyen yang tough dan bukan sebarangan orang yang terpilih.
- “Bangsa Angkasa” atau Space Nation adalah bangsa yang sentiasa mempunyai impian tertinggi. Bangsa Angkasa mempunyai tamadun yang hebat. Oleh itu bangsa Melayu dan bangsa Malaysia akan terus kita angkasakan. Kita perlu menggali Sains dan teknologi, memiliki pengetahuan dan kemahiran, menguasai pelbagai bahasa, menjana ilmu, mengukuhkan iman, berbudaya cemerlang dan bercita-cita setinggi angkasa. -
“Petikan ini oleh YAB Perdana Menteri Malaysia ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri semasa ucapan perhimpunan UMNO 2007”.
MBM mengambil inisiatif menampilkan dalam KBK panelis seperti Dato’ Dr Sheikh Muszhapar Shukor yang meneroka alam ciptaan Tuhan mengharumkan nama Malaysia pada 10 Oktober 2007. Kejayaan sempena 10 tahun ke angkasawan ini tercatat dalam liputan sejarah dengan tinta emas yang terukir sepanjang zaman kerana berjaya berada di Stesen Angkasa ISS. Ke arah TN50 akan terus melangkah ke era penerokaan baru untuk memahami ilmu dan teknologi aeroangkasa. Usaha ini bukan sekadar menghantar seorang angkasawan, tetapi adalah simbol impian satu bangsa yang boleh mencapai kejayaan untuk menggalakkan anak muda minat dalam bidang angkasa. Justeru kita amat menanti kelahiran angkasawan kedua dan seterusnya.
MBM turut membariskan dua orang panel lagi yang mempunyai kepakaran masing-masing iaitu Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim dan Encik Syukran Idris akan berbincang tentang cabaran-cabaran yang bakal dihadapi belia menjelang tahun 2050, khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Ia mengubah corak pemikiran generasi muda agar mereka lebih melibatkan diri dalam sains angkasa dan juga melahirkan sebuah negara yang rakyat bersemangat dan berdedikasi yang percaya kepada diri untuk membawa negara ke satu tahap status yang lebih berkesan dan lebih tinggi. Dr Amani merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabngsa Malaysia (UIAM) dan wanita pertama negara yang terlibat dalam penghantaran projek penyelidikan ke Marikh melalui Agensi Angkasa Amerika (NASA) dan Encik Syukran merupakan perunding latihan Generasi Marikh yang melatih para pelajar mempunyai kualiti kepimpinan seperti seorang angkasawan dan minat dengan bidang angkasa.
MBM mengharapkan penyertaan seramai mungkin para belia bagi mendengar perkongsian yang hebat di KBK ini sekaligus terus mengharapkan idea dan aspirasi belia mengenai masa depan bidang angkasa dan perbincangan penerapan ciri-ciri bangsa angkasa kepada kepimpinan belia Negara.
Kami mengalu-alukan kedatangan semua dan boleh mendaftar di www.belia.org.my.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan