Ahad, Ogos 13, 2017

Pemencilan Qatar : Rantau Teluk Bergolak Lagi Majalah Al-Ustaz Siri 64 2017



Oleh: JUFITRI BIN JOHA

Dunia Islam dikejutkan dengan pemutusan hubungan diplomatik yang begitu sudden oleh Arab Saudi dan Negara GCC atau Gulf Cooperation Council kecuali Bahrain yang masih kekal berkecuali. Amat memelikkan apabila Yaman yang sedang bergolak dan berperang pun turut mengambil tindakan yang sama memulaukan Qatar. GCC ditubuhkan pada tahun 1981 di Riyadh bertujuan memupuk perpaduan di kalangan Negara anggota yang mempunyai identiti agama, politik dan budaya yang sama.

Tindakan drastik Saudi benar benar ini tidak menggambarkan setiakawan dan perpaduan serantau bagi membentuk kekuatan dan kestabilan serantau sebagai mana yang termaktub di dalam artikel 4 Piagam GCC kerana ia tidak dibincang dan dirungkaikan dalam semangat pemuafakatan syura bagi mengatasi konflik ini. Tindakan sebaliknya diambil ialah memutuskan hubungan diplomatik dan ukhuwwah Islamiyyah dan lebih malangnya ia berlaku dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Tindakan ini ironinya juga berlaku selepas Sidang Kemuncak Riyadh atau Arab Islamic American Summit pada Mei 2017 lepas yang turut dihadiri oleh Presiden Trump yang banyak membincangkan berkaitan agenda dan komitmen memerangi keganasan.

Selepas Trump menghadiri sidang kemuncak tersebut yang merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke luar Negara, beliau terus terbang ke Israel membuat kunjungan rasmi ke Negara haram tersebut. Trump yang terkenal dengan barisan kabinetnya yang kebanyakkan dibarisi oleh tokoh beraliran kanan keras membuat lawatan kontroversi ke Dinding al-Buraq sebelum mesyuarat Kabinet Israel yang turut diadakan di dalam terowong di bawah Dinding al-Buraq Masjid al-Aqsa. Ini merupakan sokongan jelas kepada rejim Zionis untuk menguasai Baitul Maqdis sekaligus mengalihkan pusat pentadbiran dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis.

Kesemua peristiwa mempunyai kaitan langsung kerana matlamat akhirnya adalah untuk memastikan sekuriti Israel dan menghapuskan segala ancaman yang berpotensi terhadap Israel dan dominasi Amerika di Rantau Teluk. Tindakan pemencilan Qatar ini juga menurut Ahmad Azam Abdul Azam, Penolong Setiausaha Agung Union of Ngos in the Islamic World (UNIW) sebagai tindakan yang menguntungkan musuh Islam.

Terdapat 3 sebab mengapa Qatar diboikot menurut David Hearst ketika menulis di middleeasteye.net. Sebab yang pertama ialah apabila Mohammed bin Salman, Timbalan Putera Mahkota Saudi dan Mohammed bin Zayed, Putera Mahkota Abu Dhabi melihat Trump berpotensi besar untuk menyempurnakan tugasan melenyapkan saki baki pengaruh Ikhwan Muslimin (IM) selepas Morsi digulingkan di Mesir. Sesungguhnya dinasti-dinasti pemerintahan beraja Arab melihat IM berpotensi menggunakan ruang demokrasi untuk menggugat kestabilan pemerintahan monarki mereka. Qatar terkenal sebagai hub melindungi pimpinan Hamas seperti Khaled Mishaal selepas base Hamas ditutup di Damsyik berikutan perang meletus di Syria. Ini adalah kerana Hamas tidak bersetuju dengan kezaliman yang dilakukan oleh Assad terhadap rakyatnya sendiri. Qatar kelihatan mendokong Islam versi IM bagi mengimbangi Islam versi Wahhabi oleh Arab Saudi.

Qatar juga dilihat melindungi Sheikh Yusuf al-Qaradhawi bahkan mengangkatnya sebagai penasihat Emir di mana al-Qaradhawi dianggap sebagai pengganas walhal al-Qaradhawi terkenal dengan manhaj wasatiyyahnya dan memerangi sebarang gejala ekstremisme dalam memperjuangkan Islam. Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh al-Qaradhawi turut terletak di Doha. Walaupun mungkin berbeza, faktor ini berjaya menyatukan Saudi, UAE dan Mesir sebagai paksi utama dalam gerakan pemboikotan Qatar ini. Sisi di Mesir sudah menganggap al-Qaradhawi sebagai ancaman yang harus dihapuskan memandangkan al-Qaradhawi pernah menganggotai IM, berasal dari Mesir dan membuat penampilan sulung berucap di khalayak ramai sejurus selepas kebangkitan rakyat Mesir berjaya menumbangkan Hosni Mubarak. Dengan menumbangkan Emir Qatar maka akan menghapuskan pengaruh IM yang dilindungi Qatar. Hamas yang merupakan kumpulan dalam keluarga besar IM di Palestin konsisten dalam memerangi kezaliman Zionis bahkan turut diperangi oleh pelampau IS yang diyakini dicipta oleh Amerika untuk melambatkan kemenangan Islam di bumi Syam. Tuduhan Qatar pendokong keganasan bukanlah perkara baru bahkan ianya cubaan berterusan untuk menjatuhkan reputasi Qatar.

Motif yang kedua menurut Hearst ialah motif bersifat politik dalaman yang dimainkan Mohammed bin Salman, Timbalan Putera Mahkota Saudi dan Mohammed bin Zayed, Putera Mahkota Abu Dhabi untuk merapati Trump sebagai sekutu utama mereka di Rantau Teluk. Mereka bercita – cita untuk mendaki puncak kekuasaan dengan menjadi hubungan baik dengan Trump sebagai suatu jaminan mereka akan mendapat tampuk kekuasaan sekaligu membunuh saingan politik dalaman yang mampu menggungat kedudukan mereka. Pemboikotan Qatar atas slogan memerangi pengganas diharap menjadi bukti kesetiaan dan kepatuhan kepada Negara Uncle Sam tersebut. Namun mereka lupa, kedudukan Trump tidaklah sekukuh mana berikutan krisis dalaman politik Amerika berkaitan siasatan terhadap Michael Flynn, Penasihat Keselamatan Kerajaan Amerika yang memungkinkan Trump kehilangan jawatan.

Manakala motif yang terakhir ialah untuk memusnahkan Qatar sebagai negara merdeka dan regional player. Qatar seperti yang digambarkan oleh Mehran Kamrava, Profesor di Georgetown University sebagai Small State, Big Politics. Qatar harus tunduk kepada kemahuan dan kehendak GCC yang amat pro kepada Amerika. Saluran Tv Aljazeera cuba dilumpuhkan kerana kelihatan banyak membuat liputan berkaitan gerakan perubahan yang dipelopori oleh rakyat di Negara-Negara Arab. Ini mendatangkan keresahan di kalangan mereka kerana ia mampu membongkar salah urus tadbir negara sekaligus menggugat kedudukan kuasa. Qatar juga dilihat bersama-sama dengan Turki banyak memberikan bantuan kemanusiaan kepada umat Islam seperti di Syria, Palestin dan Arakan. Selain itu, UAE amat berharap agar lobi mereka untuk mengeluarkan pengkalan tentera Amerika terbesar Timur Tengah di Doha sehingga 2024 berhasil sekaligus mungkin mengharapkan ianya dipindah ke UAE atau Saudi.

Motif-motif ini jelas memperlihatkan kerakusan dan ketamakan Negara-Negara GCC sehingga sanggup menganiayai saudara seIslam yang dilihat agresif melindungi pejuang-pejuang Islam yang berjuang untuk kebangkitan Islam. Apabila dunia menguasai mereka maka tiada apa lagi yang dapat diharapkan melainkan perpecahan umat dan ketidakstabilan rantau Asia Barat akan berterusan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan