Rayuan untuk Syria
Sabtu, November 11, 2017
PERUTUSAN MINGGU KERJA BELIA SEDUNIA (INTERNATIONAL YOUTH WORK WEEK) 2017
Setiap minggu kedua November, The Commonwealth Youth Program telah memperuntukkan minggu tersebut untuk menyambut Minggu Kerja Belia Antarabangsa atau International Youth Work Week (IYWW) di serata pelusuk Negara Komanwel. Sambutan ini telah dimulakan oleh National Youth Agency (NYA) United Kingdom sekitar 1993 sebelum disambut dan diperluaskan oleh Sekretariat Komanwel pada 2012.
Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat awam tentang kepentingan kerja belia dalam erti kata membangun aset dan potensi anak muda secara lebih serius dan profesional. Selain itu, minggu ini juga disambut bagi meraikan peranan, sumbangan dan pencapaian signifikan kerja belia, pekerja belia dan pertubuhan belia di seluruh dunia khususnya di Komanwel dalam merubah kehidupan anak muda ke arah yang lebih positif dan ceria. Tahun ini sambutan IYWW di peringkat Komanwel bertemakan “Promoting professional recognition for youth work“. Tema ini diangkat berdasarkan kajian terkini Commonwelth study bagi usaha melobi dan advokasi masyarakat mengiktiraf dan mengangkat pekerja belia sebagai suatu profesyen.
Di Malaysia, Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) turut menyambut IYWW sebagai tanda solidariti kepada masyarakat dunia yang prihatin dalam membangun dan menyerlahkan potensi belia. Tahun ini merupakan tahun kedua FKPB menjayakan sambutan IYWW.
FKPB komited bergerak ke arah mempromosikan kerja belia profesional sebagai bidang keutamaan pembangunan belia sebagaimana yang termaktub di dalam Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015 – 2035. Setakat ini FKPB telah pun mempunyai pejabat sendiri di Bandar Seri Putra, Bangi dan aktif menjalankan program – program pembangunan belia seperti “Cerita Kami” dan Kemahiran Insaniah (PROKEN). Terbaru Ketua Pegawai Eksekutif FKPB, saudara Rizan Hassan baru sahaja mengadakan perbincangan dan kerjasama bersama Datuk Seri Azman Ujang, Pengerusi Bernama bagi menangani isu remaja berisiko tinggi. Ini merupakan kerjasama strategik FKPB bersama pihak media.
Di kesempatan ini, FKPB ingin mengajak masyarakat keseluruhannya memberikan perhatian dan fokus kepada membangunkan anak muda. Tragedi sekumpulan remaja membakar Pusat Tahfiz Daruk Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat baru-baru ini wajar dijadikan iktibar betapa pentingnya Kerajaan, masyarakat dan keluarga memberikan perhatian kepada kerja belia. FKPB bersimpati dengan mangsa anak-anak tahfiz yang dibakar hidup-hidup namun kita juga harus simpati kepada remaja yang membakar pusat tahfiz tersebut dalam erti kata untuk merubah dan membimbing mereka agar tidak terjebak dalam aktiviti jenayah dan tidak bermoral.
Kerja belia adalah kerja mendidik dan membimbing serta memberikan harapan kedua kepada mereka untuk berubah menjadi baik. Pusat belia di bawah jagaan pekerja belia profesional harus diwujudkan khususnya di kawasan-kawasan kejiranan berisiko tinggi bagi menjadi tempat lepak dan pendidikan informal kepada mereka. Sekolah mungkin bukan lagi menjadi medan yang mereka percayai sebalik pusat belialah menjadi alternatif tempat mereka berteduh menumpang kasih. Sebagai permulaan mudah dan praktikal, rumah ibadah seperti masjid boleh dijadikan pusat belia dan komuniti ditambah dengan imam muda yang dilatih dengan kerja belia profesional bagi menyantuni belia dan remaja di dalam qaryah lingkungan masjid. Masyarakat lingkungan wajar mendokong pusat belia ini dalam bentuk kewangan dan sokongan moral. Pelaburan dalam kerja belia dan pembangunan belia merupakan pelaburan jangka panjang yang menguntungkan bagi melahirkan insan seimbang sekaligus mewujudkan zon bebas jenayah dan masalah sosial bagi kawasan kejiranan.
Kerajaan justeru wajar membuat pelaburan yang besar di dalam bidang kerja belia profesional demi mempersiapkan belia dan bangsa yang hebat menjelang 2050. Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam proses konsultasi Belanjawan 2018 yang lepas turut memperjuangkan agar Kerajaan mempertimbangkan peruntukkan dana 5 juta bagi meningkatkan kompetensi pekerja belia.
Justeru FKPB ingin mengajak seluruh entiti penting masyarakat, keluarga dan sekolah untuk sama-sama membangunkan anak muda.
Selamat menyambut Minggu Kerja Belia Sedunia.
#cwyouth @ #YWW17
JUFITRI BIN JOHA
Pengerusi Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB)
&
Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan