Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Disember 11, 2017


SELAMAT MENYAMBUT HARI HAK ASASI MANUSIA
10 DISEMBER 2017


Dunia hari ini menyambut satu hari yang penting iaitu Hari Hak Asasi Manusia yang mengiktiraf dan mengangkat kemuliaan insan atau karamah insaniyyah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) telah mengangkat agenda kemuliaan insan ini melalui Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR) semenjak 10 Disember 1948. Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa Asia Tenggara (ASEAN) turut mengangkat agenda ini melalui Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) 1990 dan Deklarasi Hak Asasi ASEAN (ADHR) 2012.

Di Malaysia, komitmen Kerajaan mengangkat agenda hak asasi ini yang dizahirkan melalui penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) serta penglibatan Kerajaan di peringkat ASEAN melalui ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR). Rekod hak asasi manusia Malaysia dinilai setiap empat tahun sekali melalui proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia UN Geneva.

Walaupun agenda ini diangkat di peringkat global namun penafian dan pencabulan terhadap hak asasi manusia sering berlaku. Kemuliaan insan sering dinafikan bahkan semakin berleluasa berlaku melalui siri-siri konflik dan perang saudara seperti yang berlaku di Syria dan Yaman. Rantau Asia Tenggara juga tidak terkecuali daripada berlakunya pencabulan hak asasi manusia apabila etnik Rohingya disifatkan oleh UN sebagai the most persecuted ethnic in the world kerana dinafikan hak kewarganegaraan oleh Kerajaan Myanmar.

Sudah tentu sebahagian besar mangsa pencabulan hak asasi ini adalah di kalangan anak muda iaitu kanak-kanak dan belia. Hak asas mereka untuk mendapatkan pendidikan juga ternafi sekaligus menyebabkan masa hadapan yang tidak menentu dan paling membimbangkan apabila mereka bakal terlibat dalam dunia terrorisme. Apa pilihan yang ada apabila mereka berada di dalam keadaan tersepit dan tidak berpendidikan.

Berdasarkan prinsip dan realiti yang berlaku, maka pendidikan hak asasi manusia adalah amat penting diterapkan di kalangan generasi muda memandangkan nilai ini semakin terhakis. Di dalam dunia kerja belia profesional, pendekatan hak asasi manusia adalah pendekatan utama yang dikenali sebagai "right based approach".

Pendekatan ini mengutamakan agar pekerja belia memelihara dan memperjuangkan hak-hak belia. Suatu ketika di United Kingdom (UK), apabila belanjawan untuk perkhidmatan pembangunan belia dipotong oleh kerajaan tempatan, maka pekerja belialah yang bangkit memprotes dan menuntut hak tersebut dikembalikan.

Kita sering mendengar hak asasi wanita, pekerja dan kanak-kanak dan jarang sekali hak asasi berkaitan belia. Hak asasi belia atau seperti hak potensi belia untuk diserlahkan dan suara mereka didengari antara perkara yang harus dipromosikan dan diperjuangkan memandangkan belia merupakan aset terpenting sesebuah Negara. Agenda hak asasi belia wajar diwacanakan agar idea ini dapat diperkembangkan menjadi sebuah agenda yang menjadi panduan pemegang taruh di dalam pembangunan belia dan Negara.

Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) komited untuk memperjuangkan agenda hak asasi manusia dan juga agenda hak asasi belia sekaligus menyeru agar hak asasi manusia sejagat dipertahankan demi keamanan dan kestabilan penduduk dunia. FKPB berazam memantau hak asasi manusia berkaitan belia di Malaysia agar golongan ini terbela serta mengharapkan Malaysia akan mengkodifikasikan hak belia di dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).

Tiada seorang pun insan yang hak asasi mereka dinafikan, mereka wajib diraikan sebagai insan yang mulia.

JUFITRI JOHA
Pengerusi
Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB)

Tiada ulasan: