Isnin, Disember 11, 2017


SELAMAT MENYAMBUT HARI SUKARELAWAN ANTARABANGSA
5 Disember 2017


Setiap tahun Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UN) memperuntukkan 5 Disember sebagai Hari Sukarelawan Antarabangsa (IVD) sebagai tanda pengiktirafan dan solidariti kepada para sukarelawan yang menabur budi dan bakti di seluruh dunia. IVD diiktiraf dan dimandatkan melalui `Perhimpunan Agung UN (UNGA).

Sambutan tahun ini bertemakan “Volunteers Act First. Here. Everywhere” sebagai suatu gambaran jelas kepada sukarelawan yang sentiasa bersiap siaga berhadapan dengan krisis, menyelamatkan nyawa dan membantu insan yang mahu hidup dengan kemuliaan keinsanan atau karamah insaniyyah.

Sukarelawan adalah kelompok hero tidak didendang atau unsung hero yang banyak menyumbang kepada kesejahteraan dan keamanan dunia. Mereka sanggup mengorbankan kepentingan diri demi mendahulukan kepentingan umum yang lebih memerlukan.

Di dalam dunia yang penuh dengan konflik dan persengketaan ini, sukarelawanlah yang menggembleng tenaga membela nasib golongan yang tersepit dan tertindas sambil mengerah saki baki kudrat melawan kejahatan dan ketamakan demi mewujudkan dunia yang aman dan stabil.

Dunia amnya dan Malaysia khususnya memerlukan lebih ramai sukarelawan penggerak keikhlasan bagi mengembalikan agenda kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Sukarelawan Antarabangsa dan besar harapan FKPB agar lebih ramai belia dan rakyat Malaysia yang tampil menjadi sukarelawan khususnya dalam membantu menyerlahkan potensi anak muda Malaysia dan mengangkat agenda sosial Negara.

Tahniah kepada para sukarelawan!

JUFITRI JOHA
Pengerusi
Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan