Khamis, Januari 02, 2020

Catatan & Minda Presiden MBM

Minda Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)
Oleh: JUFITRI BIN JOHA



Belia adalah golongan yang akan menentukan corak dan perkembangan sesebuah negara, bukan sahaja kerana jumlah para belia yang merupakan majoriti penduduk yang membentuk 14 juta individu, tetapi kerana golongan belia inilah yang akan mengisi dan mencorakkan gaya hidup serta idealisme yang amat diperlukan terutamanya dalam pembentukan sesebuah Negara bangsa seperti Malaysia. Sehingga kini Malaysia masih belum mempunyai jati diri dan bangsa Malaysia yang utuh.

Semua harapan baik yang kita sandarkan kepada golongan belia ini tidak akan menjadi kenyataan sekiranya masalah belia hari ini seperti pedofilia, pengguguran kandungan secara haram, pembuangan bayi, seks bawah umur, pengaruh LGBTIQ (lesbian, gay, biseksual, transgender, interseksual dan queer), penagihan dadah, alkohol, aplikasi telefon bimbit, permainan atas talian, penggunaan laman sosial, ejen carian di Internet, pengaruh rakan, komik, majalah, filem, drama televisyen, semuanya banyak mendedahkan golongan belia ini kepada unsur yang boleh merosak dan melemahkan jatidiri mereka, dan sekiranya masalah sosial di kalangan belia ini tidak dirawat dan dikawal dengan sempurna, kita sudah boleh menggambarkan bagaimana bentuk kehidupan masa hadapan generasi ini kelak.

Menyedari hakikat bahawa golongan belia adalah juga penyumbang idea yang akan mencorakkan masa depan negara seperti kata pujangga "Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara" maka segala usaha untuk mendekati golongan ini perlu dipertingkatkan dengan mengenal pasti kaedah-kaedah yang sesuai dengan keperluan semasa mereka di zaman kini. Terdapat pelbagai kaedah atau mekanisme mendekati dan mendidik belia seperti penyertaan di dalam persatuan belia, kegiatan kesenian dan kebudayaan dan seni mempertahankan diri seperti silat dan taekwando.

27 Disember lepas saya berkesempatan melawat satu tapak gelanggang silat bersama Pengerusi Majlis Belia Daerah Rembau, saudara Rafi Murad dan Pengerusi Youth Power Club (YPC) Rembau, saudara Luqman. Saya telah melawat Gelanggang Panji Hitam al-Husna yang telah mengorak langkah, mengambil pendekatan untuk menarik golongan belia dengan kaedah pengajian seni silat. Gelanggang ini terletak di Pedas, Negeri Sembilan dan dikendalikan oleh tenaga pengajar Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia

Pengajaran dan pembelajaran silat yang diterapkan di dalam dunia persilatan amat besar sumbangannya dari aspek pembinaan jasmani dan rohani atau pembentukan ilmu dan kehidupan dunia dan akhirat.
Sejarah telah membuktikan bahawa silat telah berhasil membentuk masyarakat Melayu tradisional yang serba kekurangan dapat mempertahankan nilai diri, budaya dan agamanya dari pengaruh penjajah yang silih berganti. Pendidikan cara hidup pendekar silat yang seimbang daripada aspek ilmu, amal dan kemahiran silat dapat membentuk kesempurnaan hidup atau insan. Menurut Profesor Dr. Supyan Hussin daripada Institut Tamadun Alam Melayu (ATMA), seni silat Melayu merupakan satu perlambangan akal budi Melayu yang di dalamnya mencerminkan falsafah, pemikiran, perlakuan, emosi dan gaya hidup orang Melayu di rantau Nusantara ini. Ini bermakna silat bukan sekadar ritual aktiviti tetapi sarat terkandung falsafah tinggi yang mampu membentuk jatidiri dan watak belia.

Pendidikan silat menumpukan kepada pembangunan manusia dari luaran dan dalaman yang dapat membentuk masyarakat berdisiplin, berakhlak, kendiri, ikhsan, patriotisme, satria, jati diri dan kewarganegaraan yang boleh menyumbang kepada pembangunan pemikiran dan tenaga bangsa, agama dan negara.

Sukacita untuk dipertegaskan semula bahawa Gelanggang Panji Hitam al-Husna ini matlamat utamanya adalah untuk melahirkan generasi muda khususnya mempunyai jati diri yang mantap, kekuatan jasmani, kekuatan emosi, kekuatan rohani, kekuatan intelektual dan pemantapan sahsiah.


Selain itu ianya dapat mengisi masa senggang dengan aktiviti berfaedah dan juga dapat mencungkil dan menggilap bakat dan kemahiran seni tempur khususnya ilmu persilatan kepada golongan muda. Bintang ini akan digilap dengan menyertai pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Ia juga selaras dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha kemenjadian murid yakni bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi dalam bidang jasmani, koko, persatuan dan kelab melalui PAJSK atau Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum.

Selain itu silat juga boleh dijadikan salah satu model penting pembentukan bakat belia dalam pembangunan belia dan pertubuhan belia bertepatan dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) yang berteraskan Pembangunan Belia Positif (PYD).

Dengan bimbingan jurulatih silat yang betul dan berhikmah (youth-adult partnership), ianya juga diyakini dapat melahirkan golongan belia yang jitu dan berketrampilan sahsiahnya dan sekaligus dapat membantu pihak berkuasa dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh dan menjauhkan diri belia daripada sebarang gejala sosial dan jenayah.

Gelanggang ini juga antara satu-satunyanya gelanggang silat dalam dearah Rembau yang mendapat kebenaran atau permit daripada pihak polis. Gelanggang ini beraktiviti setiap Jumaat malam Sabtu. Sesi pertama wanita dan kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dari jam 08.00 malam - 10.00 malam manakala golongan belia dan dewasa berumur 15 tahun dan ke atas bermula dari jam 10.00 malam - 12.00 tengah malam.

Saya syorkan lebih banyak gelanggang-gelanggang silat yang akan tampil bekerjasama dengan pergerakan belia bagi sama-sama menjayakan agenda pembangunan belia melalui seni mempertahankan diri sebagaimana kerjasama Majlis Belia Daerah Rembau dan Gelanggang Panji Hitam al-Husna

Tiada ulasan:

Catat Ulasan