Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, Disember 19, 2017

Apa Sudah Jadi Kepada Tanah Tempat Hijrah Pertama Umat Islam?



Oleh: Jufitri Joha


Benua Afrika seperti yang pernah disebut oleh penulis dalam siri artikel terdahulu merupakan benua yang dijarang diketahui oleh masyarakat umum. Ini mungkin kerana persepsi buruk seperti kebuluran, perang saudara, kemiskinan dan perang saudara yang sering dilaporkan di dalam media arus perdana.

Kita sering mendengar perang saudara di Selatan Sudan, kebuluran di Somalia, rampasan kuasa di Mesir, pemerintahan diktator di Zimbabwe, wabak Ebola di Sirre Leone dan banyak lagi. Ini mungkin menyebabkan ramai yang kurang berminat mengambil berat tentang benua ini sedangkan benua ini diramalkan menjadi benua yang penting pada suatu hari nanti.
Eritrea sebuah Negara yang berada di kawasan tanduk Afrika yang juga jarang-jarang kedengaran melalui media massa.

Eritrea berjiran dengan Negara seperti Ethiopia, Sudan dan Djibouti. Eritrea suatu ketika dahulu merupakan sebuah wilayah di dalam Habsyah di mana tempat pertama berlaku hijrah umat Islam yang diketuai oleh Sayyidina Jaafar bin Abi Talib sebelum penghijrahan agung ke Madinah al-Munawwarah. Eritrea di dalam landskap peta moden merupakan sebuah Negara merdeka namun sayangnya Negara yang pernah melindungi kafilah umat Islam ini sedang dilanda dengan kemunduran demokrasi dan cengkaman kuku besi oleh Presiden Isaias Afwerki. Afwerki memerintah semenjak kemerdekaan Eritrea daripada Ethiopia pada 1993.

Daripada segi sejarah, Eritrea pernah dijajah oleh Itali dan British. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) telah memutuskan Eritrea digabungkan di dalam Ethiopia pada tahun 1952 dengan sedikit kuasa autonomi. Malangnya Kerajaan Ethiopia telah mencabul hak yang diberikan UN terhadap Eritrea di mana Parlimen Eritrea telah dimansuhkan sekaligus Eritrea dijadikan sebagai wilayah ke-14 Ethiopia pada tahun 1962.

Majoriti besar Muslim Eriteria daripada segi sejarahnya tidak bersetuju berada di bawah Ethiopia walaupun dengan kuasa autonomi kerana mereka mempunyai alas an yang kukuh berasa tertindas di bawah Kerajaan Ethiopia yang beragama Kristian. Justeru umat Islam Eritrea telah menubuhkan Liga Muslim pada tahun 1947 untuk memperjuangkan kemerdekaan sekaligus mengimbangi kempen umat Kristian yang cenderung kepada penggabungan.

Bermula pada tahun 1961 iaitu semenjak pencabulan Ethiopia, pemberontakan bersenjata telah berlaku selama hampir 30 tahun sehingga Eritrean People Liberation Front (EPLF) berjaya membebaskan Eritrea daripada cengkaman Ethiopia. Sejurus selepas pembebasan, suatu referendum telah dijalankan dan majority 99.8% penduduk Eriteria memilih untuk merdeka. Maka secara rasminya pada Mei 1993, Eriteria mengisytiharkan kemerdekaan.

Perjuangan kemerdekaan sejak awal dipelopori oleh umat Islam namun telah diambil alih sehingga Isais Afwerki menjadi Presiden. Ini merupakan agenda tangan ghaib yang tidak mahukan umat Islam menguasai dan memerintah Eriteria yang merupakan sebuah wilayah strategik di kedudukan laluan laut merah di samping kaya dengan sumber mineral. Dikatakan umat Islam telah mencapai jumlah hampir 70% daripada keseluruhan penduduk namun pihak aparat pemerintah menafikan dan menyatakan penduduk Kristian dan Islam seimbang.

Selepas Isais Afwerki mengambil alih Negara antara yang paling muda di Afrika ini, rakyat hidup dalam keadaan begitu mencabar dinafikan hak asasi kemanusiaan sehingga Eriteria mendapat jolokan Korea Utara Afrika.
Saeed Abdelrahman daripada NGO Ether Relief yang berpangkalan di Birmingham United Kingdom (UK) menceritakan kepada penulis keadaan rakyat Eriteria yang dicabuli hak asasi mereka sehingga ada yang masih menjadi pelarian selepas 25 tahun merdeka.

Isais Afwerki memerintah secara kuku besi semenjak proklamasi kemerdekaan. Satu Presiden dan hanya satu parti sahaja memerintah atas alasan rakyat Eriteria masih belum matang. Beliau menguasai keseluruhan jentera pentadbiran termasuk 16 Kementerian. Belia adalah Ketua Negara, Ketua Kerajaan, Ketua National Assembly dan Ketua Agensi Perisikan. Pokoknya rakyat Eriteria diperbodohkan oleh Rejim Afwerki yang menindas dan rakus.

Pelarian Eriteria terus menerus sengsara semenjak 1967 disebabkan perang saudara, perang serantau, kemarau dan pengabaian masyarakat antarabangsa. Hampir 500 000 pelarian Eriteria di Timur Sudan, 200 000 di Ethiopia dan 50 000 bertebaran di Djibouti dan Yaman. Tambah menyedihkan apabila Yaman pula dilanda dengan perang saudara dan perang serantau. Mereka ditinggalkan kebuluran, tiada perubatan asas, tiada air bersih dan peluang pendidikan.

Penulis yakin kita semua pasti merasa tidak masuk akal apabila seorang Presiden Afwerki sanggup bersenang lenang memerintah sedangkan rakyatnya menderita dan terbuang. Menyedihkan ada sebahagian rakyatnya tidak pernah menjejak kaki di tanahair sendiri dan terpaksa menumpang kewarganegaraan Sudan dan sebagainya. Eriteria menjadi sebuah Negara tertutup dan takut dengan bayang-bayangnya sendiri. UN pada tahun 2015 mendakwa Kerajaan Eriteria telah terllibat dalam jenayah kemanusiaan. Aktivis hak asasi kemanusiaan harus terus membongkar kezaliman dan Afwerki yang sudah pun menjangkau 70 tahun lebih harus sedar bahawa dunia beliau tidak selamanya akan berakhir dengan kemanisan. Muslim dan Kristian Eriteria yang pro kepada keadilan dan keamanan harus bekerjasama ke arah mewujudkan Eriteria yang lebih adil dan makmur.

Ngo Ethar Relief giat membantu pelarian Eriteria dengan projek anak yatim, pendidikan, kesihatan, air bersih dan makanan. Pembaca budiman yang berhasrat membantu boleh melayari laman www.etharrelief.org atau hubungi langsung COOnya Saeed Abdelrahman di director@etharrelief.org

Tiada ulasan: