Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, Jun 12, 2018

Arthur Wagner dan Transformasi Keimanan - Majalah al-Ustaz Isu 74 / 2018



Oleh: JUFITRI JOHA

Islamofobia sudah lama menjadi “industri” dan senjata yang ampuh di Barat. Islamofobia merujuk kepada perasaan kebencian dan kewujudan ancaman oleh pihak masyarakat bukan Islam terhadap masyarakat Islam di seluruh dunia. Fenomena ini berkembang pesat tatkala cahaya Islam pantas tersebar dan terbias khususnya di dunia Barat.

Penulis dapat merasai suasana Islamofobio ketika menyambung pelajaran di United Kingdom selama setahun. Penulis pernah dalam satu permusafiran ke sebuah Negara di Eropah sewaktu cuti hujung bulan membawa mushaf dan membaca al-Quran di dalam penerbangan sehingga menyebabkan penumpang tua di sebelah penulis berasa kurang selesa dan melihat penulis seolah-olah ancaman yang berbahaya.

Sebuah ketakutan yang berlebihan terhadap masyarakat Islam yang majoritinya beraliran wasatiyyah dan cintakan keamanan. Ketakutan tersebut semakin menebal dan berkerak apabila peningkatan laju kemasukan rakyat Britain dan Eropah ke dalam Islam sehingga timbulnya istilah European Muslim Union yang dikatakan Islam bakal menawan benua Eropah.

Zafar Iqbal dalam kajiannya Islamophobia or islamophobias: Towards developing a process model seperti yang tersiar di dalam sebuah jurnal pada 2010 menyebutkan bahawa terdapat 3 faktor utama Islamofobio iaitu faktor budaya, politik dan keselamatan.

Daripada sudut budaya, umat Islam dilihat membawa imej “no mercy” terhadap masyarakat bukan Islam dan Islam dipotretkan sebagai punca yang membawa kepada kemunduran tamadun Barat. Daripada sudut politik pula, Islam dipersepsikan sebagai tidak kompeten dengan demokrasi yang dipelopori Barat, maka umat Islam tidak akan menyumbang secara aktif dalam politik dan ekonomi negara yang didiami mereka. Faktor terakhir iaitu faktor keselamatan berkait rapat dengan imej keganasan terhadap Islam akibat keganasan dan terrorisme yang dilakukan oleh segelintir kecil umat Islam seperti grup ISIS dan al-Qaeda. Beberapa siri letupan di Eropah dan Amerika dijadikan alasan bagi mesinonimkan imej Islam dengan keganasan walhal Dr. Patrick Maclnerney dari Columban Centre for Christian-Muslim Relations Australia mendedahkan dalam kertas kerja yang dibentangkan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini bahawa terdapat 746 serangan terrorisme di Eropah antara 2011 sehingga 2014, hanya 8 kes atau satu peratus serangan berinspirasikan agama.

Disebalik kesan negatif yang diterima oleh umat Islam khususnya di Amerika dan Eropah apatahlah lagi apabila ianya bersifat state sponsored islamophobia, namun terdapat kesan promosi yang positif terhadap Islam seperti peningkatan rasa simpati sesetengah masyarakat Barat bahkan sebahagiannya mula berminat mengkaji tentang ajaran sebenar Islam bahkan ada sesetengah tokoh politik berhaluan kanan yang kuat menentang Islam sebelum ini secara tiba-tiba tunduk dan memeluk Islam.

Di sebalik peningkatan kempen gerakan politik berhaluan kanan yang anti Islam, ramai yang tidak menyangka perkembangan terbaru ahli politik Jerman berhaluan kanan Arthur Wagner memeluk Islam. Terkadang kita terfikir perkara yang berlaku seolah-seolah tidak masuk akal namun hidayah Allah mengatasi segala-galanya. Masakan tidak kerana Wagner sebelum ini menganggotai Parti Alternative für Deutschland (AfD) yang berhaluan kanan (far right) dan menjadikan kempen “Islam tiada tempat di Jerman” dan “Katakan tidak pada Islamisasi Jerman” semasa pilihanraya umum Jerman 2017. AfD telah berkempen untuk membenci kebanjiran pelarian Muslim di Jerman. AfD menggunakan pendekatan populis sehingga berjaya buat pertama kalinya menjadi parti ketiga terbesar di dalam Parlimen Jerman atau Bundestag. AfD menjadi pembangkang utama di dalam Bundestag selepas Parti Angela Merkel membentuk Kerajaan campuran bersama Social Democrats. Ini memberikan keutamaan dan kelebihan kepada AfD untuk berdebat selepas ahli parlimen Kerajaan.

Wagner yang merupakan ahli penting parti AfD di Negeri Brandenburg, Timur Jerman dan kuat berkempen berunsurkan anti-Muslim telah memeluk Islam sambil bertindak keluar parti pada Januari 2018 yang lepas. Wagner dipercayai sebagai bekas ahli AfD yang memeluk Islam. Wagner sebelumnya merupakan ahli parti Christian Democrats sebelum menyertai AfD pada tahun 2015. Beliau ahli aktif dalam Komuniti Jerman-Russia dan merupakan Naib Pengerusi JK Serantau Komuniti Jerman-Russia. Beliau juga merupakan penterjemah kepada pelarian dari Chechnya.

Di sebalik keresahan yang dialami oleh umat Islam di Eropah disebabkan Islamofobia, perkembangan positif sebegini memberikan suntikan semangat optimisme yang luar biasa kepada umat Islam untuk terus bersabar dan bekerja keras menerangkan kebaikan dan keindahan Islam melalui wacana dan debat.
Wagner bukanlah tokoh politik berhaluan kanan yang pertama memeluk Islam, tokoh politik seperti Arnoud Van Doorn dan Daniel Strich telah lebih awal melakukan transformasi keimanan. Van Doorn adalah ahli parti anti Islam Dutch Freedom Party yang dipimpin oleh Geerts Wilders dan diberikan jolokan Dutch Trump. Van Doorn tertarik mengkaji Islam apabila filem Fitna yang menghina Islam yang diedarkannya mendapat reaksi hangat umat Islam seluruh dunia. Manakala Strich merupakan ahli Swiss People’s Party yang berkempen mengharamkan menara Masjid di Switzerland. Maxence Buttey daripada parti berhaluan kanan National Front di Perancis pada 2014 turut mengikut jejak langkah yang sama. Walaupun ia bukanlah trend di kalangan ahli politik berhaluan kanan namun ianya cukup “memeningkan” sesetengah pihak yang tidak dapat menerima kemunasabahan bahwa individu yang amat terkenal dan keras menentang Islam dengan secara tiba-tiba berubah 360 darjah secara total.

Terdapat juga pihak yang mentohmah transformasi keimanan mereka ini dengan berhujah bahawa individu-individu yang pernah menganggotai aliran keras kanan ini berubah memeluk Islam kerana Islam mempunyai persamaan elemen kekerasan yang ada di dalam aliran keras kanan. Walau apapun tohmahan tersebut, umat Islam wajib mencari jawapan terhadap persoalan tersebut untuk mempertahankan hujah kebenaran Islam secara ilmiah dan rasional. Dalam yang sama, kita sedar bahawa hanya dengan kefahaman dan pengamalan ajaran Islam yang sebenar sahaja yang mampu mentransformasikan secara menyeluruh Wagner, Van Doorn, Strich dan Buttey. Sebagai orang yang beriman kita meyakini bahawa ini adalah persoalan hidayah yang hanya Allah mengetahu hakikat sebenar. Ia juga adalah sirrun min asrarillah.

Transformasi keimanan Wagner mempunyai makna yang besar kepada bukan sahaja umat Islam tetapi kepada nilai keamanan sejagat. Berdasarkan perkembangan semasa tidak mustahil Islam akan terus mendapat tempat di hati masyarakat Barat kerana hanya Islam yang dapat merubah dan mentransformasikan sempadan keimanan.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

1xbet korean | legalbet.co.kr
1xbet korean in Playtech casino korean. If you like live poker and live 메리트 카지노 쿠폰 casino games, you will 바카라 love 1xbet our offer of free spins and welcome bonuses.