Perjalanan dari Durham di utara UK ke Cardiff di selatan mengambil masa lebih kurang empat jam dengan menaiki keretapi. Di tengah perjalanan saya sempat singgah di Birmingham untuk menghadiri mesyuarat Jawantankuasa Pelajar Community and Youth Work Union (CYWU). Justeru perjalanan tidaklah berasa jauh dan menjemukan. Selain menziarahi sahabat lama dan rakan seperjuangan di sekolah dahulu, tujuan utama berkunjung ke Wales adalah untuk menjejaki perkembangan umat Islam di sini dan juga membina hubungan silaturahim bersama pertubuhan Islam setempat dan pelajar Malaysia yang menimba ilmu di sini.
Cardiff merupakan ibukota Wales yang dihuni oleh pelbagai etnik dan boleh dikategorikan sebagai bandar yang sangat ‘simple’. Mengikut bancian Statistik Kebangsaan United Kingdom April 2001, jumlah penduduk umat Islam di Wales ialah seramai 21 738 yang mewakili 0.8 peratus daripada keseluruhan penduduk Wales. Ia juga merupakan jumlah penduduk Islam ketiga teramai di United Kingdom (UK) selepas England dan Scotland. Jumlah tersebut diyakini bertambah dari semasa ke semasa memandangkan 9 tahun telah berlalu. Secara ringkasnya, Islam merupakan agama bukan Kristian terbesar di Wales.
Walaupun sebahagian besar penduduk UK umumnya dan Wales khususnya beragama Kristian namun mereka sebenarnya sudah lama meninggalkan ajaran Kristian bahkan mereka adalah orang yang tidak lagi percaya kepada agama. Lebih menggemparkan lagi mereka mengisytiharkan kematian kepada ‘tuhan’ mereka. Sesetengah saintis terkenal di UK seperti Richard Dawkins yang terkenal dengan karya God Delusion, membenci agama dan mendakwa agamalah yang membawa penganutnya bersifat kurang toleransi, taklid buta, jahat, ekstrem, menyalahguna sesuatu dan prejudis. Agama di sisi mereka hanya tersudut untuk urusan perkahwinan dan kematian sahaja. Sebahagian besar urusan hidup mereka berpandukan hak asasi manusia, Etika Kantian (Immanuel Kant) dan undang-undang ciptaan manusia. Dari kacamata barat, individu merupakan subjek utama dalam kehidupan dan ianya datang bersama hak dan tanggungjawab. Walaupun ada fatwa membenarkan memakan sembelihan ahli kitab, tapi awas bila berada di UK dan berhajat memakan daging atau ayam, mereka bukan ahli kitab kerana mereka adalah orang yang tidak beragama. Justeru, sembelihan mereka tidak halal!
Menurut bancian 2001 juga, terdapat seramai 537 935 orang atau 18.5 peratus daripada keseluruhan penduduk Wales dikategorikan sebagai tidak beragama dan sebenarnya mereka ini adalah golongan yang berpotensi untuk didekati dan diajak untuk beriman. Ini adalah kerana golongan atheis ini menurut Dr. Zakir Naik, pendakwah terkenal India adalah golongan yang suka berfikir dan membaca. Justeru, golongan ini agak mudah diajak berbincang dan berdialog khusus berkenaan dengan subjek agama Islam.
Saya singgah di Pusat Islam dan Kebudayaan al-Manar Cardiff untuk solat Zohor dan beramah mesra bersama pelajar Malaysia. Namun apa yang menggembirakan saya, jemaah Zohornya amat menggalakkan dan meriah. Pusat Islam merangkap Masjid ini benar-benar berperanan menghidupkan semangat beragama dan ukhuwwah Islamiyyah di kalangan Umat Islam setempat. Dikhabarkan Masjid ini menurut sejarahnya merupakan Masjid terawal bertapak di bumi UK ini. Ianya diasaskan oleh pelayar dan pengembara berketurunan Yaman yang berlayar dari Aden sehingga ke Cardiff Docks dan akhirnya ianya didaftarkan sebagai tempat ibadah pada 1860. Zaman beredar dan Masjid ini terus beroperasi secara sah dalam bangunan rumah yang diubahsuai dan dinamakan sebagai Al-Manar Islamic & Cultural Centre. Hari ini, Wales sudah mempunyai lebih kurang 40 buah Masjid dan kebanyakkannya terletak di Cardiff dah selebihnya seperti di Aberystwyth, Lampeter, Swansea, Wrexham dan Newport.
Seusai solat Zohor berjemaah di Al-Manar, kelihatan kelibat para pelajar Malaysia yang turut sama bersolat. Saya sempat bertemu dan berdialog dengan mereka seperti yang dirancang. Saya lebih banyak mendengar dari berbicara kerana lebih suka mendengar maklumbalas dan perkongsian idea sekitar perkembangan isu semasa di Malaysia dan aktiviti pelajar Malaysia di UK khususnya berkaitan dakwah dan belia di Wales. Saya masih ingat ketika berbicara dengan saudara Javed, Pengarah Andalus Centre Glasgow yang mana beliau menyatakan pelajar Malaysia adalah antara kelompok pelajar asing yang bertanggungjawab mengembangkan dakwah Islamiyyah ke serata pelosok dan ceruk rantau bumi UK terutamanya sekitar tahun 60an dan 70an. Hal yang sama juga turut dinyatakan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman, Pengarah Institut Islam Hadhari UKM dalam pertemuan penulis bersama beliau April lalu bahkan Institut tersebut berminat membuat kajian lanjut berkenaan peranan pelajar Malaysia mengembangkan dakwah Islamiyyah di UK.
Pelajar Malaysia juga satu ketika dahulu pada tahun 1962 bertanggungjawab menubuhkan Persekutuan Persatuan Pelajar Islam (FOSIS) di mana cawangan-cawangan terdapat hampir di setiap universiti di UK dan dikenali sebagai Durham University Islamic Society (DUIS) sebagai contoh. Persatuan-Islam di universiti-universiti inilah bertanggungjawab menggerakkan masjid universiti, aktiviti-aktiviti keagamaan dan kempen memperkenalkan Islam kepada pelajar universiti dan penduduk setempat. Namun dewasa kini, pelajar Malaysia amat kurang terlibat bersama FOSIS dan mereka lebih selesa menggerakkan usaha-usaha memperkenalkan Islam melalui persatuan-persatuan Islam yang khusus untuk pelajar Malaysia sahaja seperti Malaysian Islamic Study Group ABIM (MISG) dan Majlis Syura Muslimun (MSM) yang berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di London.
Di samping memburu kegemilangan menggenggam segulung ijazah, diharap para pelajar Malaysia harus terus berperanan menerangkan tentang keindahan Islam kepada penduduk setempat Wales dan UK atau setidak-tidaknya menunjukkan akhlak yang mulia melalui dakwah bil hal agar Islam terus subur di persada tanahair UK. Ziarah saya di Wales mencapai sasaran matlamt apabila mendapat kenalan baru dan strategik, Brother Salah yang mewakili sayap belia Muslim Association of Britain (MAB) dan menetap di Wales.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan