GPTD-Sepanyol ( Jufitri bin Joha )
Menelaah & Mengambil Pengajaran Daripada Andalus; Berkongsi Pengalaman di Durham, Menebar Ruang & Jaringan Eropah & Amerika Latin & Pengalaman Diri

Kota Metropolitan Leeds

By Jufitri bin Joha

Walaupun sibuk dan menerima jemputan saat akhir ke Federation of Student Islamic Socities' (FOSIS-http://fosis.org.uk/) Winter Conference, namun saya tetap berminat untuk hadir. Selain jaraknya dekat daripada Durham iaitu hanya memakan masa sejam 20 minit menaiki keretapi laju (124mph sejam) ke Leeds, tujuan saya ke persidangan ini adalah untuk membina jaringan dan mengetahui perkembangan terkini badan pelajar Islam berpengaruh di United Kingdom ini. Teringat apabila UK bercadang membina keretapi lebih laju iaitu 250mph sejam, mungkin Durham ke London hanya makan masa sejam berbanding 3 jam sebelum ini. Durham ke Leeds mahu 20 minit sahaja.

Walaupun kehadiran saya amat singkat selama hanya setengah hari, Alhamdulillah saya berjaya bertemu dan berkenalan dengan Presiden FOSIS iaitu saudara Faisal Hanjra, para pembentang seperti Ustaz Uthman Lateef, Pengarah Hittin Institute - http://www.hittininstitute.com/.

Dalam bengkel, perbincangan berkenaan Islam dan Media ditekankan sebagai persiapan kepada pelajar Islam untuk menjernihkan imej Islam dan umat Islam terutamanya dalam arus media perdana UK seperti BBC, Sky News, Times, The Independent dan lain-lain. Pendedahan sebegini amat penting bagi melengkapkan para pelajar dan belia Islam dengan skil bagaimana mendekati dan menangani media barat dalam isu-isu berkaitan Islam terutamanya kejadian pengeboman 7/7 di London dan beberapa insiden berkaitan umat Islam. Saya juga mendapat manfaat daripada bengkel tersebut apabila didedahkan bagaimana untuk menghadapi dan menjawab soalan temuramah di televisyen berkaitan isu umat Islam.

Antara lain tips apabila ditemurah oleh televisyen :
a.) Beware of loaded questions;
b.) Do not feel the need to answer the question yes or no;
c.) Know the format of the discussion;
d.) Be confident;
e.) Remember what the Prophet went through and remember the greatest of all questions.

Pemerhatian saya tiada pelajar Malaysia yang menghadiri persidangan ini, adakah mereka kurang berminat dengan FOSIS atau sertai persatuan lain? Sedangkan FOSIS ini merupakan badan pelajar Islam yang amat berpengaruh di UK dan harus dimanfaatkan kehebatannya. Saya juga mengambil peluang bersiar-siar di kota Leeds selepas meninggalkan bangunan persidangan iaitu di Leeds Metropolitan University

 

Mufti Perlis

By Jufitri bin Joha

"Salam Shaikh, seronok dapat chat dengan enta malam tadi. Bila cadang nak ke Oxford? Wsalam", begitulah bunyi sms Dr. Juanda Jaya, Mufti Perlis kepada saya. Saya rasa gembira kerana pertemuan kedua di Newcastle semalam bersama Sohibus Samahah mendatangkan banyak faedah terutamanya perbincangan berkaitan isu umat.

Pertemuan pertama bersama Sohibus Samahah kali pertama ketika membuat visa pelajar ke UK di Suruhanjaya Tinggi Britain ke Malaysia. Sohibus Samahah ketika itu memohon visa untuk program 'Fellowship Chevening' di Universiti Oxford manakala saya memohon visa pelajar untuk program Master di bawah Biasiswa Chevening. Kami diberikan keistimewaan membuat visa di Suruhanjaya dan bukan di Pusat Visa UK di Wisma MCA Ampang kerana kami mendapat biasiswa kerajaan Britain. Jadi suasana ketika membuat visa amat selesa membolehkan kami berkenalan.

Berkenalan dengan tokoh-tokoh di kalangan Muftti atau Timbalan Mufti amat menarik. Setakat ini saya mengenali Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Sohibul Fadhilah Ustaz Norazamir Alias yang juga merupakan Yang Dipertua ABIM Rembau di mana saya merupakan Naibnya. Selain itu bekas Mufti Perlis, Y,Bhg Dr. Asri Zainul Abidin dan bekas Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Y.Bhg Ustaz Mohd Zaidi Ramli.

Ketika mendengar ceramah Sohibus Samahah Dr Juanda di Newcastle, persepsi saya kepada beliau berubah kerana saya yang cenderung pada aliran tradisi menganggap beliau yang beraliran 'salafi' tidaklah begitu 'keras' terhadap beberapa perkara dalam agama. Perbezaan ini juga tidak mengahalang untuk saya terus menyambung perbualan dengan beliau di rumah Dr.Suhaimi di Newcastle selepas ceramah beliau. Banyak juga saya 'istifadah' atau mengambil faedah daripada ceramah beliau.

Kami berbual tentang banyak isu berkaitan umat daripada soal semasa, aqidah, politik, sosial, perubatan dan banyak lagi selama hampir 5 jam. Banyak perkara menarik tapi yang paling menarik bagi saya apabila Dr Juanda menceritakan apabila Aznil Nawawi (Pengacara dan Selebriti Astro) pulang daripada Mekah, beliau berkehendak menbuat rancangan agama dan lebih menarik menurut Dr. Juanda, Aznil tidak tinggal puasa sunat Isnin dan Khamis, kita?

 

Kembara Ilmu di Bumi Durham.

By Jufitri bin Joha

Setelah memimpin Grup Penjejak Muda Tamadun Dunia (GPTD) selama hampir 8 tahun semenjak awal penubuhannya pada 2001, saya tidak pernah terfikir untuk berada di perantauan selama setahun menyambung belajar. Saya biasa menghantar sukarelawan ke luar negara dalam tempoh setahun atau lebih, namun saya masih tidak berpeluang berada di luar negara dalam tempoh yang lama kerana saya bertugas menjaga pengkalan di Malaysia.

Misi menyambung belajar melalui GPTD sudah pun dipelopori oleh saudara Faiz di Istanbul, Turki selama dua tahun dan saya mengikut jejak langkah beliau di Durham, United Kingdom bersama rakan-rakan lain seperti saudari Puteri dan lain-lain. GPTD juga akan meneruskan usaha melalui pendidikan. Seingat dulu GPTD ditawarkan mencari calon ahli untuk dihantar ke Belanda menyambung Master dan PhD serta menguasai bahasa Belanda.

Saya pada awalnya juga jarang mendengar nama Durham. Nama Durham juga ada di Amerika Syarikat dan Australia. Bila saya memberitahu orang bahawa saya akan sambung belajar di Durham, secara spontan mereka kata “Kat mana tu”?. Mungkin kerana Durham tidak ada dalam senarai Liga Perdana Inggeris (EPL) sebab itu mereka tidak mengenali Durham. Kalau saya kata sambung belajar kat Manchester ke, London ke, atau Newcastle ataupun Sunderland pasti ramai yang tahu. Durham hanya terkenal dengan permainan kriket sahaja. Nak menyebut Durham pun susah, ia harus dilafazkan sebagai ‘Darem’ bukan secara baku Durham!

Durham terletak di Utara Timur England berjiran dengan Newcastle. Sunderland dan Middlesborough. Jika naik keretapi laju dari London, ia akan mengambil masa 3 jam setengah. Durham merupakan bandar orang putih (white area) yang tidak dihuni oleh immigran daripada negara lain atau disebut Black and Minority Ethnic (BME). Tidak seperti Bradford yang dipenuhi oleh orang Pakistan sehingga digelar ‘Bradfodstan’. Durham merupakan bandar universiti yang tidak terlalu besar seperti bandar London, Sheffield, Leeds atau Newcastle. Durham merupakan bandar lama yang amat terkenal dengan Norman Cathedral dan 11th-century Castle.

Durham dilatari dengan sebatang sungai besar yang merentangi bandarnya. Pemandangannya amat cantik terutamanya di musim luruh kerana dedaun yang kekuningan menambahkan lagi kecantikan landskapnya. Bahasa Inggeris yang digunakan di sini amat sukar difahami kerana mereka menggunakan slanga ‘Jodi’ iaitu bahasa orang Newcastle di bahagian utara England. Saya menghadapi kesukaran apabila dalam kelas untuk memahami bahasa Jodi ini. Berbanding jika saya ke London (selatan England) bahasa Inggeris yang digunakan standard dan amat mudah difahami. Cuaca di Durham sentiasa sejuk walaupun musim panas. Cuaca sekarang iaitu dalam musim luruh antara 10-15 darjah celcius. Sejuk, kadang-kadang saya perlu memakai baju tebal berlapis di tambah dengan sarung tangan.

Durham berasal dari perkataan lama Inggeris iaitu ‘Dun’ bermakna bukit dan ‘Holme’ diterjemahkan sebagai pulau. Bishop Durham mengambil variasi kalimah Latin sehingga dinamakan ‘N.Dunelm’. Ada setengah riwayat menyatakan, Durham diambil namanya dari lagenda ‘Dun Cow’ dan pengembala lembu yang mana mereka dalam hikayat lagenda memandu pendeta Lidisfarne membawa tubuh St Cuthbert ke tapak pengebumian yang dikenali sekarang sebagai Durham. Hari ini Dun Cow dikatakan merupakan jalan pertama diasaskan di Durham, dan di situ sekarang terletaknya Masjid Durham yang serba sederhana. Itulah satu-satunya masjid di Durham.

Saya tidak berniat menceritakan sejarah Durham lebih lanjut kerana saya yakin ramai tak minat nak membacanya. Saya walaupun minat sejarah dan dapat A1 dalam SPM pun tak minat nak baca sejarah terlalu panjang. Saya lebih berminat menceritakan apa yang saya lihat secara langsung dan ‘live’. Saya pun nak cerita ‘live from Durham’ ala-ala Mikael Jackson live from Munich dalam History Tour – You Are Not Alone!

Di Durham lahirnya tokoh seperti Tony Blair bekas Perdana Menteri Britain yang digantikan oleh Gordan Brown. Selain menjadi PM, Tony Blair pernah menjadi ‘Menteri Luar’ George Bush. Katanya Tony Blair sekarang diusahakan untuk menjadi Presiden Kesatuan Eropah (EU) namun ada suara menyatakan, “With the hatred steaming out of the ears of many former followers, the appointment of Blair to E.U. President would be the ultimate insult to the oppressed people of Britain.” Di Durham juga lahir seorang tokoh komedi bernama Rowan Atkinson, siapa tu? Mr Bean la!.

Berbicara berkenaan kembara ilmu saya di Universiti Durham memang amat mengujakan dan mengesimakan. Teringat saya apabila menghadiri Jamuan Hari Raya dan Deepavali anjuran Durham University Malaysian Society (DUMAS), semasa tu ada kuiz dan mereka tanya apa makna terkesima dalam bahasa Inggeris, maka saya abrupt. Jawapannya betul dan masa tu saya hentam sahaja sebab ada jawapan pilihan a, b, c, atau d. Sekadar selingan!

Durham merupakan tertua di UK selepas Oxford dan Cambridge. Durham juga dikategorikan antara universiti terbaik di UK dan baru-baru ini Universiti Durham memenangi anugerah Outstanding Support for Early Career Researchers oleh Times Higher Education (THE) United Kingdom. Sistem Universiti Durham menggunakan ‘term’ bukan semester seperti universiti-universiti lain di dunia. Hanya Oxford, Cambridge dan Durham setahu saya yang menggunakan sistem ‘term’. Sekarang saya berada di ‘Michaelmas term’ dan dua lagi adalah Easter dan satu lagi saya lupa apa ‘term’nya.

Saya mengambil keputusan menyambung pelajaran dalam Community and Youth Work di sini bagi meneruskan kajian saya dalam bidang belia dan kesukarelaan ini. Saya berhasrat untuk menjadikan aktiviti kajian dalam GPTD menjadi satu urusan yag serius dan didasari dengan dunia akademik. Kursus yang saya ambil amat menarik bagi saya kerana kita belajar tentang orang muda dan bagaimana hendak mendekati orang muda secara professional dan beretika. Di sampang itu saya cuba mempelajari budaya kesukarelaan dan kerja belia di UK agar dapat diserap dalam sistem dan budata GPTD. Selain itu juga saya amat sibuk membina jaringan dengan agensi, persatuan, individu dan ahli akademik yang ada kaitan dengan belia dan aktiviti kesukarelaan agar jaringan yang sedia berkembang besar dan ianya amat berguna di masa hadapan.

Kembara ilmu saya di Durham masih jauh dan saya masih ada 11 bulan untuk menghabiskan masa saya di bumi Durham ini. Doakan kejayaan saya

 

Penulis berasa gembira dan bersemangat apabila pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Eropah Timur iaitu Kosova. Tiba sahaja di Lapangan Terbang Pristina, hati menjadi risau kerana khuatir payah untuk memasuki sebuah negara bekas komunis walaupun mempunyai surat jemputan rasmi dari pihak penganjur mesyuarat iaitu Persatuan Budaya dan Pendidikan (AKEA) Kosova. Telahan saya meleset apabila mudah sahaja melepasi pintu imigresen kerana rupanya Malaysia amat disanjung oleh rakyat Kosova. Kehadiran saya di bumi Balkan ini adalah mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menghadiri mesyuarat Union of Ngos in the Islamic World (UNIW) yang beribu pejabat di Turki.

Ketika Bosnia, Macedonia, Montengero, Slovenia, Crotia, sudah merdeka daripada Yugoslavia dan ketika Kosova dinafikan kemerdekaannya oleh bekas penjajahnya Serbia, Malaysia antara negara terawal mengiktiraf kemerdekaan Kosova. Malaysia terpaksa membayar harga pengiktirafan tersebut apabila pejabat kedutaan Malaysia di Kosova ‘dihalau’ keluar oleh pihak Serbia semenjak setahun yang lalu. Ketika pertemuan ramah mesra bersama Mufti Kosova, Sheikh Naim Ternava kerap kali menyebut nama Malaysia kerana rasa terhutang budi dengan sumbangan Malaysia terhadap kemerdekaan Kosova. Ketika pertemuan dan interaksi dengan ratusan belia Islam Kosova saya sempat berkenalan dengan Imam Masjid Hamidije, Sheikh Irfankrasn di mana pembinaan masjid tersebut hasil biayaan dan sumbangan kerajaan Malaysia sepenuhnya. Sebagai rakyat Malaysia, kita sudah tentu bangga dengan sumbangan ini seperti mana yang dilakukan Malaysia di Bosnia satu ketika dahulu.
Negara bekas pengaruh komunis ini kecil sahaja. Bagi saya ia lebih kurang besar negeri asal saya iaitu Negeri Sembilan. Saya sempat mengelilingi ke utara di Mitrovica dan selatan di Prizren hanya mengambil masa kurang dari sehari. Namun negara kecil ini mempunyai tekad yang kuat untuk terus menjadi sebuah negara umat Islam merdeka dan berdaulat. walaupun masih diperhatikan oleh Serbia di sebelah utara.

Perjuangan darah dan air mata menjadi kelaziman bagi pejuang kemerdekaan. Kosova juga telah menyaksikan ribuan pejuang kemerdekaan Kosova gugur syahid ketika menghalau Serbia keluar daripada bumi mereka. Nama-nama seperti Adam Jashari, Hamzah Jashari, Syaaban Jashari dan Zahir Beyazid menjadi kebanggaan rakyat Kosova kerana mereka inilah yang menggerakkan kebangkitan perjuangan rakyat menentang penindasan dan kezaliman yang akhirnya mereka sendiri gugur bermandikan darah syahid. Saya sempat bertanyakan Haydar Mziu, pelajar Kosova yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kebetulan balik bercuti tentang kehidupan zaman kecilnya di bawah cengkaman Serbia, beliau lantas menjawab bahawa kehidupan mereka berada dalam ketakutan dan dinafikan hak sebagai seorang manusia merdeka. Mereka susah bergerak bebas kerana pos kawalan tentera Serbia berada di merata-rata. Penindasan inilah yang menyebabkan rakyat Kosova bingkas bangun dan melawan kekufuran. Haydar Mziu merupakan antara belasan pelajar Kosova yang ditaja setiap tahun oleh Yayasan AlBukhary Malaysia untuk belajar di UIAM. Satu lagi kebanggan Malaysia.

Serbia akhirnya akur dan keluar daripada bumi Kosova ini apabila mereka dibom oleh tentera Perjanjian Pakatan Antlantik Utara (NATO) 10 tahun yang lampau dimana Richard Holbrooke (Bekas Duta Amerika Syarikat ke Balkan) berhujah, “NATO's air attack on the former Yugoslavia a decade ago was "the right thing to do" and had improved the lives of Kosovo Albanians and Serbs.” Akhirnya Februari 2008, Kosova mengisytiharkan mereka sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat daripada kediktatoran Serbia. Kosova diiktiraf oleh 56 buah negara termasuk Amerika Syarikat dan Malaysia serta 22 daripada 27 buah negara ahli Kesatuan Eropah.

Kosova dan negara Balkan lain pernah hidup di bawah keadilan pemerintahan empayar Turki Uthmaniyyah dan kesan pengaruh Turki amat kuat mempengaruhi kehidupan harian masyarakat Kosova. Kesannya boleh dilihat dengan jelas pada senibina masjidnya yang mirip dan serupa dengan masjid yang ada di Turki. Di Prizren sebagai sebuah fakta, masyarakat di sana bertutur dalam bahasa Turki dengan fasih. Di Kosova terdapat maqam Sultan Murad 1, iaitu Khalifah Turki Uthmaniyyah dan maqamnya dipelihara oleh kerajaan Kosova setelah Serbia membiarkan sahaja monumen bersejarah ini. Setengah riwayat menyatakan maqam Sultan Murad 1 juga berada di Turki tapi saya dimaklumkan secara tidak pasti kebenarannya, jasad Sultan Murad 1 tanpa isi dalam badan berada di Turki dan di Kosova hanya ada isi dalaman sahaja dikuburkan. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Saya berasa gembira kerana berada di bumi Kosova kerana sebagai seorang umat Islam, kita menghulurkan salam persahabatan dengan umat Islam Kosova khususnya generasi mudanya yang penuh bersemangat. Pimpinan muda belia Kosova fasih berbahasa Arab menggambarkan iltizam mereka mendalami agama dan mengembangkannya di bumi Eropah. Peluang yang terhidang, diambil oleh saya untuk mengadakan kerjasama erat dan solidariti Belia Islam Malaysia dengan Belia Islam Kosova. Dengan kerjasama ini, bakal menaikkan lagi aroma keharuman nama Malaysia di mata rakyat Kosova. Umat Islam harus optimis dan yakin dengan suasana semasa bahawa Islam akan terus berkembang di bumi Eropah dan tidak mustahil 100 tahun akan datang Eropah akan menjadi Kesatuan Islam Eropah bermula dengan 3 negara asas umat Islam di Eropah Timur iaitu Albania, Bosnia dan Kosova

 


Bulan ini pada 19 November – 22 November 2009 / 2-5 Zulhijjah 1430 H, Kapal Fuji Maru akan berlabuh di Kuala Lumpur untuk meneruskan pelayarannya dalam program The Ship for Southeast Asia Youth Programme (SSEAYP). Kapal ini menghimbau saya 5 tahun lepas ketika mewakili Malaysia dalam 31st SSEAYP (2004). Setiap kali kapal singgah di Malaysia, pastinya ada majlis ROB atau 'Reunion on Board' untuk bekas peserta program. Saya beritahu kawan dalam batch 2004 saya tidak dapat hadir kerana berada di UK sambung belajar. Rutin tahun-tahun sebelumnya saya pasti akan hadir setiap ROB kerana di situ kita dapat 'refresh' memori, hubungan dan 'networking' untuk seluruh Asia Tenggara dan Jepun. Program ini bermula semenjak 1974, bayangkan sehingga 2009 sudah ada 36 batch. Kalau nak tengok macam mana programnye boleh cari dalam youtube - http://www.youtube.com/watch?v=cg-Fft9ZXDs (Dibuat oleh kontinjen Brunei)

Banyak pengalaman dan suasana baru saya dapat. Ketika itu kapal yang digunakan adalah 'Nippon Maru' setinggi 7 tingkat dilengkapi pelbagai kemudahan seperti meliputi dewan besar, pawagam, dewan makan, kolam renang, gimnasium, dan kabin tidur. Kami bermula program di Tokyo sebagai 'assembly point' untuk seluruh peserta kapal daripada setiap negara Asia Tenggara dan Jepun. Kami bermula berlayar di Pelabuhan Yokohama selama lebih dua bulan dan singgah di "Port of the Call" termasuk Manila, Ho Chi Minh City, Bangkok, Jakarta dan Singapura.

Ketika berada dalam kontingen Malaysia, saya berperanan sebagai AJK Disiplin dan Agama. Ini bermakna saya menjadi 'the third man' dalam kontinjen selepas 'Youth Leader' (YL) dan ' Assistant Youth Leader' (AYL). Saya menjadi Imam, berkhutbah dan menjaga disiplin untuk kontinjen Malaysia dan juga untuk peserta Muslim daripada Indonesia, Brunei, Thailand dan Filipina. Pengalaman berdakwah amat menarik dalam Nippon Maru ini sehingga ada seorang peserta wanita Jepun amat meminati Islam turut hadir ketika saya berkhutbah Jumaat atas kapal!

Selepas menjadi alumni, saya juga aktif melatih batch seterusnya untuk SSEAYP ini terutamanya dalam memastikan kekuatan rohani dan jati diri mereka ketika menyertai program tersebut, maklumlah banyak 'cabaran' apabila berada di atas kapal dan di negara orang. Ketika batch saya dulu, ada peserta Muslim yang tak pernah teguk arak tapi apabila berada atas kapal mula meneguk arak. Semoga Allah memberi hidayah kepada beliau dan kita semua. Disko usah cerita la, hampir setiap malam ada..Hanya yang kuat iman dan jatidiri (macam saye he he..gurau aje..tapi memang betul pun..) yang mampu menghadapi cabaran hebat di atas kapal! Kehadiran saya atas kapal mewakili 'ABIM' serba sedikit membawa satu harapan kerana 'title' Islam yang dibawa. Saya cuba tunjukkan disiplin saya yang tinggi terutamanya bab 'punctuality' dan sikap ramah. Sehinggalah saat akhir program saya didekati oleh salah seorang peserta Malaysia (Kristian) dalam kontinjen lalu berkata, "I thought you are orthodox Muslim but now I realize that I'm wrong". saya berjaya dengan izin Allah membawa imej Islam yang sentiasa positif dan progresif. Ini adalah 'entry point' untuk dakwah!

Nippon Maru membelah samudera biru dengan membawa lebih 300 peserta 'on board'. Kami beraktiviti di atas kapal dan singgah di "Port of the Call" selama 3 hari untuk homestay, interaksi dengan belia setempat, lawatan ke institusi penting dan tempat menarik dan membeli belah.

Program ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Jepun dan saya hanya membawa diri dan dilengkapi dengan 7 jenis pakaian yang diperolehi secara percuma. Inilah rezeki ketika saya bekerja di ABIM, rezeki dalam bentuk duit tak banyak tapi Allah beri rezeki dalam bentuk lain kepada saya. Sekarang saya merupakan ahli alumni kepada SSEAYP yang dikenali SSEAYP International - http://www.sseayp.com/ dan ahli alumni SSEAYP Malaysia yang dikenali sebagai KABESA - http://www.sseayp.com/people_malaysia.html. Saya harus berperanan semula dalam KABESA bantu Kak Sham dan rakan-rakan lain apabila pulang daripada UK kelak InsyaAllah.

 

Road To Cuba

By Jufitri bin Joha


Peluang saya untuk ke negara Cuba bertambah cerah apabila saya menyertai Student Conference of Community and Youth Work Union baru-baru ini di Sheffield. Kehadiran saya di sana mewakili Universiti Durham dan saya dibiayai sepenuhnya oleh pihak universiti. Community and Youth Work Union (CYWU) http://www.cywu.org.uk/ merupakan antara kesatuan sekerja yang mempunyai pengaruh yang agak kuat di UK dalam memperjuangkan isu pekerja belia dan isu penindasan global. Saya mendapat banyak pelajaran dan informasi bagaimana mereka bergerak dan agresif dalam banyak isu. Paling penting saya dapat berada dalam kelompok sosialis! Bagi saya kelompok 'Islamist' harus 'engaged' dengan pelbagai kelompok agar kita dapat belajar dari mereka manakala kita dapat menyampaikan mesej Islam itu sendiri. Dengan cara itu, ia boleh menjadikan pemikiran kita terbuka dan lebih horizonnya.


"I thought that traditionally this union is linked and associated with leftist, I mean with sosialism", tanya saya kepada Richard (student convener untuk CYWU) dan beliau menjawab Yes! tanda setuju. CYWU juga turut aktif membantu kempen solidariti untuk Cuba http://www.cuba-solidarity.org/, Venezuela, Columbia dan Palestin. Tokoh-tokoh seperti Che Guevera dan Fidel Castro menjadi sanjungan dan pujaan mereka. Saya juga kagum dengan perjuangan rakyat Cuba terutamanya dalam 50 tahun mereka telah diblok ekonominya oleh Amerika Syarikat. Namun apa yang menakjubkan : "...according to World Health Organization (WHO) Cuba has the best health system in the world..". Ketika saya berada di Balakot (Pakistan), Cuba telah menghantar lebih 2000 doktornya untuk membantu mangsa gempa bumi di situ! Sebab itu GPTD akan ke sana mengkaji 'Cuba' dan saya sendiri akan merealisasikannya melalui 'network' CYWU InsyaAllah.


Di akhir pertemuan di Wortley Hall, Sheffield tersebut, saya juga berpeluang mendengar 'talk' dari Mr. Bernard Davis (lihat gambar) yang merupakan orang kuat dan senior dalam 'youth work'. Beliau banyak menulis berkenaan tajuk tersebut. Saya bertuah dapat bertemu dengan beliau untuk membina 'rapport'. Terkini beliau sedang aktif dalam kempennya "In Defence of Youth Work" http://indefenceofyouthwork.wordpress.com/.

Saya juga dilantik menjadi 'rep' (wakil) pelajar daripada Durham dalam Student Committee of CYWU sekaligus menjadi ahli CYWU. Saya rasa ini pintu permulaan untuk saya mempopularkan kerja belia sebagai kerjaya penting di Malaysia dan seterusnya menubuhkan Kesatuan Pekerja Belia jika Allah izinkan. Di UK kerjaya sebagai pekerja belia amat penting dan dikategorikan sebagai antara 5 kerjaya 'most stressful' di UK selain Guru, Polis dan Pekerja Sosial!. Road to Cuba semakin dekat bila menyertai CYWU. Ya Allah kabulkan hajatku...amin..

 


Ini kali pertama saya berada di Eropah Timur khususnya bumi Pristina, ibu negara Kosova. Tujuan saya ke sini adalah mewakili ABIM menghadiri mesyuarat Union of Ngos in the Islamic World.

Siye? Faleminderit! Dua perkataan Kosova yang banyak membantu komunikasi saya dan sahabat saya saudara Khairul Arifin di Kosova. "Kalau abang nak mudah berkomunikasi dan mudah diterima masyarakat setempat, abang kena hafal beberapa perkataan asas di sini", syor saya kepada saudara Khairul. Ini adalah kerana masyarakat setempat akan bangga dan kagum kalau kita boleh bertutur menggunakan bahasa mereka terutamanya ketika memperkenalkan diri.


Ketika saya memperkenalkan diri sewaktu pertemuan ramah mesra dengan Belia Muslim Kosova saya menggunakan Siye? (Apa khabar?) Faleminderit! (Terima kasih!) dan ternyata saya mendapatkan tepukan gemuruh dari hadirin yang hadir. Faktor kedua saya mendapat tepukan gemuruh kerana saya datang daripada Malaysia. Ini adalah kerana Malaysia amat dekat di hati rakyat Kosova. Malaysia antara negara terawal mengiktiraf kemerdekaan Kosova selepas Serbia enggan membenarkan 'wilayahnya' taklukannya merdeka. Malaysia banyak membantu Kosova termasuk membina masjid untuk rakyat Kosova. Antarannya Masjid Bair dan Imamnya Sheikh Irfankrasn (lihat gambar)- http://www.xhamiabair.com/. Xhamia dalam bahasa Kosova bermakna Masjid.


Kosova merupakan negara umat Islam ketiga di Eropah selepas Bosnia dan Albania. Umat Islam terlepas untuk terus bertapak di Eropah Barat iaitu di negara Sepanyol selepas Islam jatuh hampir 500 tahun yang silam. Islam juga pernah sampai sejauh selatan Perancis iaitu di Poitiers. InsyaAllah pada catatan kedua saya akan ceritakan lebih lanjut suasana masyarakat Islam Kosova. Saya harus bergegas ke Sheffield sekarang untuk hadiri seminar...bersambung

 

Kembara ke SOAS

By Jufitri bin Joha


Minggu lepas saya menghabiskan masa ke London selama tiga hari untuk membuat "Good Conduct Letter" di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di samping menghadiri seminar 'The Qur'an, Text, History and Culture' di School of Oriental and African Studies (SOAS) University of London - http://www.soas.ac.uk/.

SOAS merupakan antara sekolah pengajian Islam, pengajian Timur Tengah dan pengajian Afrika yang berprestij di UK bahkah di dunia. Di sini terdapat pensyarah-pensyarah yang hebat dan bak kata Abang Md Noh (calon PhD SOAS) " Di sini, mereka suka mengkaji benda-benda yang eksotik yang mana orang tak nak kaji". Di sini juga terhimpun pelbagai bahan-bahan berkenaan pengajian Islam, pengajian Melayu dan lain-lain. Saya dimaklumkan, SOAS menghimpunkan segala khazanah-khazanah manuskrip Islam dan Melayu dan mereka membelanjakan ribuan pound untuk membeli bahan-bahan berkaitan setiap tahun. SOAS juga merupakan sekolah pengajian Islam termashyur di UK selain di Lempiter (Wales), Durham dan Edinburgh.

Dulu di SOAS, para orientalis menubuhkannya bagi mengkaji khazanah negara-negara di Timur dan Afrika. Mereka mengumpul semua khazanah ilmu berkaitan di situ. Saya tanya abang Md Noh, "Buku-buku Almarhum Sheikh Wan Soghir berkaitan ulama Melayu ada juga di SOAS?", Ya jawab abang Md Noh. SOAS mengumpul semuanya berkaitan kalau boleh. Jika di Malaysia ada usaha mengaktifkan kajian berkenaan Barat dan ia dinamakan kajian Oksidental. Di UKM, Prof. Dr. Shamsul Amri telah memulakan usaha menubuhkan Institut Kajian Oksidental (IKON) - http://www.ikon.ukm.my/. GPTD sempat berkunjung ke IKON dua tahun lepas untuk membina jaringan dan kerjasama.

GPTD harus mengaktifkan bidang kajian dan sebab itulah saya semasa di Malaysia sudah memulakan tradisi dalam GPTD dengan mengumpul bahan-bahan ilmiah dari negara-negara yang dikunjungi GPTD dan mewujudkan satu perpustakaan mengumpul bahan-bahan ilmiah. GPTD juga harus mewujudkan satu benua satu 'desk' bagi mengkaji setiap benua-benua tersebut.

Selain itu saya juga membuat kunjung hormat ke Jabatan Penuntut Pelajar Malaysia (MSD) London dan juga Atase Agamanya iaitu Ustaz Erfino Johari.