Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Jumaat, Mei 01, 2020

Cabaran dan Strategi Ekonomi Pasca Pandemik Covid



Oleh: JUFITRI JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)


9 April 2020 lepas Majlis Belia Malaysia (MBM) telah dijemput oleh Profesor Dr. Noor Azlan Ghazali, Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara untuk menghadiri Mesyuarat Penyediaan Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19, Kumpulan Kerja Inklusiviti dan Kebajikan Sosial.

Isu utama yang dibincangkan adalah strategi untuk berhadapan dengan kemelesetan ekonomi dan pengangguran yang dijangka lebih teruk daripada Krisis Kewangan Asia 1997 dan Krisis Ekonomi Global 2008. Seluruh penduduk dunia merasakan kesusahan sewaktu wabak Covid-19 dan jangkaan bertambah perit seusai wabak Covid-19 untuk tempoh beberapa bulan mendatang.
Bank Negara Malaysia mengunjurkan pangangguran di Malaysia tahun 2020 mencecah 4.0%. Wabak Covid-19 sudah tentu memburukkan lagi keadaan ini apabila pengangguran semakin bertambah. Menurut sumber Malaysian Institute Of Economic Research (MIER), angka pengangguran mencecah 2.4 juta jiwa di Malaysia. Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) sebagai penyumbang utama pasaran buruh Negara turut terkesan dengan keadaan yang mencabar ini.

Terlalu banyak PKS terpaksa bergantung kepada Geran khas PRIHATIN yang diumukan oleh Kerajaan baru-baru ini. Kerajaan menyediakan RM3,000 kepada setiap PKS mikro. Jumlah keseluruhan geran mencecah RM 2.1 bilion dengan memberikan kelegaan kepada 700,000 PKS yang berdaftar dengan LHDN. Jika tidak mereka terpaksa gulung tikar lalu ramai akan hilang pekerjaan. Keadaan ini juga mendedahkan fakta bahawa rata-rata pekerja di sektor PKS tidak mempunyai perlindungan sosial seperti KWSP kerana majikan tidak mencarum walaupun wajib. Sesuatu perlu dilakukan untuk melindungi mereka di masa hadapan.

Belia yang banyak terkesan juga adalah yang berniaga sendiri, penjaja kecil, pendapatan berdasarkan ‘job’, berpendapatan harian dan anak-anak seni. Ini adalah dapatan berdasarkan aduan yang diterima oleh Pusat Aduan MBM. MBM turut menerima aduan daripada jurulatih Taekwando yang terjejas pendapatan akibat kelas-kelas latihan yang terpaksa ditangguhkan. Pokoknya terdapat ramai kelompok belia yang terkesan dan terjejas akibat Covid-19. Segala aduan dan rintihan golongan ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah pun MBM bawa ke peringkat tertinggi kepimpinan Negara khususnya melalui Menteri Belia dan Sukan. Sebahagiannya telah ditangani sebaiknya oleh pihak Kerajaan.

Wabak Covid-19 juga menyaksikan banyak juga industri terkesan teruk seperti industri penerbangan, pelancongan, pembinaan dan automatif yang sudah tentu sedikit sebanyak menyumbang kepada pembuangan pekerjaan. Namun begitu terdapat juga industri yang menjana manfaat jangka pendek daripada keadaan sukar ini seperti industri E-dagang, makanan, pertanian dan perkhidmatan kesihatan.

Ini bermakna di sebalik kesusahan pastinya ada peluang-peluang baru yang timbul. Keadaan kebiasaan baharu (new normal) yang dipaksakan ini pasti menelurkan peluang peluang baharu dan tindakan-tindakan yang sebelum ini sukar untuk dijayakan secara serius seperti bisnes dalam talian, bekerja dari rumah, agenda kedaulatan makanan dan urusan transaksi dalam talian.

Namun apa yang penting adalah strategi praktikal bagi berhadapan bulan-bulan mendatang yang sukar. MBM harus sama-sama memerah otak dan menggembling tenaga bagi membela nasib belia menangani isu pekerjaan dan pengangguran. Tambah mencabar apabila diunjurkan oleh laporan Khazanah Research Institute (KRI) bahawa seramai 286 800 pelajar akan bergraduasi pada tahun ini. Sebahagian besarnya akan memasuki pasaran buruh dan hanya sekitar 15 % akan meneruskan pengajian. Graduan baharu terpaksa terus bersaing sengit dengan penganggur-penganggur sedia ada dan penganggur-penganggur semasa dan pasca Covid-19. Ini tugasan yang bukan mudah kerana jika ianya tidak ditangani sebaiknya maka ia akan menjadi bom jangka yang akan meletup bila-bila masa.

Untuk jangka masa segera ini, MBM telah mencadangkan kepada pihak Kerajaan dan para belia akan fokus menceburi beberapa sektor penting bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan. Inilah masanya untuk fokus kepada pertanian pintar bagi menjayakan agenda kedaulatan makanan. Dana Jamin Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Ransangan Ekonomi adalah menifestasi kepada kerisauan yang wajib ditangani. Para belia harus nekad menceburi bidang ini namun dengan menggunakan teknologi terkini dalam bidang pertanian selaras dengan revolusi industri keempat.

Selain itu fokus harus diberikan kepada ekonomi lejang (gig economy), keusahawan sosial (start-up), free agent, keusahawanan PKS, ekonomi digital dan perkhidmatan penjagaan dan khidmat kebajikan kepada golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit.

Di peringkat MBM melalui jawatankuasa pertaniannya, agenda kedaulatan makanan akan digerakkan bersungguh-sungguh bagi memastikan para belia memilih bidang pertanian sebagai bidang utama pekerjaan. Kerajaan wajib mempermudahkan proses kelulusan geran di bawah unit agropreneur muda yang pada hari ini dilihat sukar oleh usahawan muda. Skim mikro kredit kepada usahawan tani bermula RM5000.00 hingga RM10,000.00 untuk belia memulakan projek pertanian di kawasan rumah dan kawasan bersesuaian. Kerajaan juga perlu mengenalpasti sumber makanan utama untuk diusahakan oleh golongan usahawan belia tani khususnya apabila sekiranya 9 pintu sempadan Malaysia-Thailand yang ditutup menjejas sumber bekalan makanan negara seperti kes yang berlaku ketika PKP ini. Rakyat Malaysia juga digalakkan menanam sayur-sayuran di keliling rumah atau urban farming dalam konteks kependudukan padat di kotaraya.

MBM juga melalui JK Keusahawan akan menggalakkan usaha ekonomi digital dan baru-baru ini MBM telah memulakan Bengkel Pemasaran Digital iaitu belajar secara dalam talian dari rumah. Agenda ekonomi digital juga akan terus diperluaskan kepada usahawan belia PKS memandangkan masih banyak PKS Malaysia yang belum betul-betul menerokai bidang platform ini.

Untuk jangka masa panjang MBM telah menggerakkan agenda #MalaysiaKerja khususnya Graduan@Kerja. MBM telah membantu Kerajaan khususnya KWSP untuk mendapatkan dapatan-dapatan daripada belia akar umbi bagi menjayakan agenda #MalaysiaKerja yang menangani graduan yang menganggur lebih setahun. Selain itu Program Kemahiran Insaniah (PROKEN) digerakkan MBM bersama HSBC Malaysia bagi memperlengkapkan belia dengan kemahiran insaniah bagi memasuki alam pekerjaan. Pelatih juga akan diusahakan untuk mendapatkan peluang pekerjaan sejurus tamat latihan dengan bantuan beberapa pemain industri.

MBM juga menceburi dan meneroka dunia sukan elektronik atau ESport yang secara zahirnya bukannya hanya mampu memberikan pendapatan kepada pemain dan pengomentar (streamer) tetapi peluang-peluang industri hiliran yang mendokong ESport. Peluang ini harus cekap diterokai dan direbut oleh generasi muda. MBM telah pun bersama-sama menubuhkan ESport Medica bagi mempromosikan penjagaan kesihatan dan kerjaya dalam bidang ini.

Perjalanan masih jauh dan beranjau, MBM akan berganding bahu dan sendi dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia untuk terus mencari formula-formula baharu bagi membantu para belia boleh terus survive dengan pekerjaan yang berkualiti dengan gaji bermaruah, peluang perniagaan dan pendapatan yang pelbagai dan kemahiran-kemahiran yang berguna. Dalam era revolusi industri keempat pastinya lebih banyak peluang-peluang pekerjaan baharu yang bakal timbul. Kita tunggu, lihat dan eksplorasi.

Tiada ulasan: