Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Julai 11, 2022

MAJLIS APRESIASI PELAJAR CEMERLANG SPM 2021 PORT DICKSON DAN PENYERAHAN KOMPUTER RIBA SERTA BANTUAN SARA HIDUP MAHASISWA ANAK NEGERI SEMBILAN B40

Assalamualaikum dan salam sejahtera. ~ Salutasi ~ Tuan tuan, puan-puan dan anak-anak sekalian, Marilah kita sama-sama merafa’kan rasa tasyakkur dan tahmid kepada Allah Taala atas keizinanNya dapat kita menjayakan Majlis yang sangat penting bagi meraikan pelajar cemerlang SPM 2021 dan penyerahan komputer riba serta bantuan sara hidup mahasiswa anak Negeri Sembilan. Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan salam Pengarah Yayasan Negeri Sembilan (YNS), Y.Bhg Tuan Haji Muhammad Nazri bin Kassim yang sedang berada di luar negara menghadiri majlis konvokesyen anakanda beliau dan akan pulang sehari dua ini InsyaAllah. Bagi pihak Yayasan, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Ahli Parlimen Port Dickson, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson, Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson dan Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson atas kerjasama menjayakan majlis bagi mengiktiraf pencapaian akademik anak-anak Port Dickson dan membantu mereka untuk terus belajar secara selesa dan fokus untuk berjaya. Tuan tuan, puan-puan dan anak-anak sekalian, Sudah menjadi tanggungjawab pihak Yayasan untuk menyokong segala usaha berkaitan pendidikan untuk anak negeri sebegini bersesuaian dengan mandat Yayasan menjalankan aktiviti sosial dan ekonomi terutama dalam aktiviti menaja dan memajukan peluang mendapat pendidikan di kalangan rakyat Negeri Sembilan melalui pinjaman pendidikan, biasiswa dan bantuan kewangan. Yayasan sangat komited dengan usaha mendokong agenda pendidikan kerana ianya merupakan agenda pencerdasan anak bangsa dan menjadikan anak-anak Negeri Sembilan sebagai insan adabi di mana insan adabi menurut Profesor Syed Muhammad Naqib al-Attas ialah insan yang memahami tujuan kewujudannya sebagai hamba Allah, memahami dan menjalankan tanggungjawab dan menegakkan keadilan terhadap diri dan masyarakat dan sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi insan adabi. Pengertian dan tujuan sebenar pendidikan adalah bukannya hanya untuk mengejar segulung ijazah tetapi untuk menjadi Hamba Allah yang bertaqwa, warganegara yang efektif, pemimpin yang adil di semua peringkat dan paling penting menyumbang semula ilmu dan kemahiran mereka ke dalam masyarakat. Justeru, Yayasan ingin menasihati kepada para ibu bapa dan anak-anak semua agar menjadikan pendidikan sebagai agenda penting dan agenda sepanjang hayat dalam keluarga dan masyarakat demi masa depan yang lebih baik kerana menurut Malcom X, “Education is the passport to the future, for tomorrow belongs to those who prepare for it today”. Dan ini juga saya percaya apa yang diyakini oleh YB Ahli Parlimen sewaktu menjadi aktivis ketika mengasaskan Yayasan Anda di Kuala Lumpur dan beberapa institusi pendidikan informal di beberapa buah negeri. Tuan tuan, puan-puan dan anak-anak sekalian, Di peringkat Yayasan, pihak kami akan terus mendokong usaha ini dengan beberapa bantuan, peruntukan dan inisiatif Yayasan Negeri untuk 2022 untuk pendidikan anak Negeri Sembilan: 1.) Bantuan laptop peruntukan keseluruhan mencecah RM 1.4 juta. Sebahagian telah diagih dan sebahagian lagi akan terus diagih sebagaimana yang dapat disaksikan hari ini; 2.) Bantuan Sara Hidup (BSH) Mahasiswa sebulan RM 100.00 untuk seorang mahasiswa, peruntukan mencecah RM 2.4 juta. Telah diluluskan dan sedang diagihkan kepada Mahasiswa sebagai meringankan beban kos sara hidup; 3.) Bantuan aktiviti untuk Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (PERMANIS) di seluruh 20 universiti awam di Malaysia, peruntukan mencecah RM 350,000.00; 4.) Peruntukkan Program Khidmat Masyarakat Siswa di 36 DUN mencecahkan RM 250 000.00 dan telah dilancar dan dimulakan dengan DUN Sikamat pada hari ini yang saya rasmikan sendiri; 5.) Peruntukkan Anugerah Pelajar Cemerlang tahun 2022 untuk 400 pelajar cemerlang ijazah kepujian kelas pertama di universiti dengan setiap seorang mendapat RM 5000.00. Peruntukan keseluruhan mencecah RM 2 juta. Dua siri anugerah telah dijalankan dan pihak Yayasan akan menjalankan dua lagi siri anugerah tahun ini termasuk yang akan berlangsung 12 Julai ini; dan 6.) Pihak Yayasan juga sedang berterusan memudahcara peluang-peluang kerjaya untuk mahasiswa dan anak Negeri Sembilan untuk bekerja dalam Negeri Sembilan termasuk dengan Seremban Engineering, Gemencheh Granite Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Seremban. Tuan tuan, puan-puan dan anak-anak sekalian, Berkat tatakelola dan pengurusan yang baik di bawah YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, pihak Yayasan telah berjaya menjana kewangan yang baik melalui aktiviti pelaburan dan segala keuntungan dipulangkan semula sebagai amanah untuk pendidikan anak-anak Negeri Sembilan. Semoga usaha kita bersama yang sedikit ini akan menjadi amal soleh kita untuk anak negeri dan semoga usaha pendidikan berterusan ini akan terus mengekalkan Negeri Sembilan sebagai negeri paling bahagia di Malaysia sebagaiman kajian Indeks Kebahagian yang dikeluarkan oleh PLANMalaysia pada 2021. Sudah tentu Port Dickson sebagai Bandar Pelancongan menyumbang ke arah pengiktirafan ini. Tuan tuan, puan-puan dan anak-anak sekalian, Pihak Yayasan ingin merakamkan ucapan syabas kepada adik-adik yang berjaya dalam SPM yang lalu. Teruskan tradisi kecemerlangan ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi yang menerima bantuan lap top, gunakan sebaiknya untuk pelajaran dan bagi penerima BSH diharapkan ia dapat meringankan sedikit beban dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin naik. Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan usaha murni pada hari ini. Terima kasih. Sekian. Anjuran : Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson, Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson & Yayasan Negeri Sembilan (YNS) Tarikh: 30 Jun 2022 KHAMIS 11 pagi Tempat: Tasik Villa Resort, Port Dickson

Tiada ulasan: