Rayuan untuk Syria
Ahad, Januari 24, 2021
Kata Sambutan Presiden Majlis Belia Malaysia untuk Buku " 'A Brave New World' Isu-Isu Sekitar Pemuda, Ilmu dan Pemikiran"
Kata Sambutan
A Brave New World: Isu-Isu Sekitar Pemuda, Ilmu dan Pemikiran
JUFITRI BIN JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) yang ke-22
بسم الله الرحمن الرحيم
Apabila saudara Beta Pujangga Mukti mengusulkan kepada saya untuk menulis kata sambutan kepada karyanya ni terus saya bersetuju disebabkan maudhu’nya amat dekat dengan jiwa sementelah saya amat meminati subjek kepemudaan, pengajian belia dan pembangunan belia ditambah pula pergulatan saya dalam arena pergerakan belia nasional bersama Majlis Belia Malaysia (MBM). MBM adalah rakan serumpun dengan teman-teman di Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI).
Maudhu’ atau tema buku ini juga bertepatan dengan fokus saya dan teman-teman pimpinan MBM untuk mengembalikan ruh dalam pembentukan jiwa insani dalam batang tubuh belia yang sebelum ini banyak terfokus hanya kepada pembangunan materialisme seperti ekonomi dan bakat berbanding idealisme dan jati diri. Justeru buku yang sedang saya berikan kata sambutan ini amat cocok dengan agenda semasa MBM walaupun ia banyak menyorot misalan-misalan dalam konteks KeIndonesiaan tanpa menafikan terdapat banyak contoh-contoh yang bersifat universal. Indonesia bukanlah asing dengan Malaysia kerana kita serumpun dan sebangsa bahkan senusantara dan satu ummah.
Apa yang dicicip dan dinukilkan dalam buku A Brave New World ini adalah untuk mengembalikan semula kepada asas-asas kekuatan kepada pembinaan jiwa insani belia agar seimbang dan tampil menjadi pimpinan ummat bertaraf dunia. Menarik apabila penulis menyoroti bahawa tokoh tokoh pemudalah yang menjadi proklamator kemerdekaan dan apa yang diistilahkan oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi sebagai ‘tulang punggung’ (al-amud al-faqri) kepada kemerdekaan Indonesia. Para pemudalah yang sanggup bersusah payah menyingsing lengang untuk menuntut dan mengisi kemerdekaan watan.
Untuk menulis dan mencetak pemuda pemudi ummat ini, maka pemegang taruh utama seperti KNPI, MBM, KBS (Kementerian Belia dan Sukan Malaysia) dan KEMENPORA (Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia) harus menilai semula dasar, pelan, modul dan silibus pembangunan belia agar benar-benar diyakini melahirkan para belia yang berkualiti. Dalam konteks Dasar Belia Malaysia (DBM) ‘outcome’ yang mahu dilahirkan oleh Negara ialah belia yang mempunyai kualiti 8 C – Penyanyang (Caring), Cekap (Compentent), Perwatakan (Character), Keyakinan (Confident), Kerjasama (Cooperation), Bertimbang Rasa (Considerate), Kompetitif (Competitive) dan Sumbangan (Contribution). Terlebih penting lagi adalah misi besar untuk melahirkan belia menjadi ‘Insan Adabi’ dan ‘Insan Seimbang’ seperti diistilahkan oleh pemuka ilmu seperti Profeser Syed Naquib al-Attas dan Profesor Dzulkifli Abdul Razak.
Justeru sebagai sektor pendidikan informal, pembangunan belia dan pergerakan belia menjadi ‘feeder’ yang amat penting kepada sektor pendidikan formal seperti sekolah, kolej, institut kemahiran dan universiti untuk memanusiakan manusia. Inilah tujuan umum pendidikan bukan semata-mata melahirkan ‘robot’ untuk mencari kerja dan mengisi tembolok di kala manusia semakin hilang sifat manusiawinya dan tidak membudayakan ilmu.
Sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk membuat cetusan awal kepada gagasan dan wawasan (wagas) baru dalam dunia pembangunan belia dengan menggagaskan kepentingan wagas ‘Falsafah Pengislahan Belia’ (FPB) agar pemegang taruh pembangunan belia benar-benar jelas dan fokus untuk melahirkan insan dalam kerja amal mereka seharian khususnya teman-teman dalam pergerakan belia. Saya menggunakan terma pengislahan dan bukannya pembangunan kerana saya tertarik dengan idea Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud dalam lewat karyanya Pembangunan Di Malaysia (2005) di mana istilah islah lebih holistik di mana ia merangkumi aspek membangun kebaikan dan meruntuhkan kerosakan.
Falsafah bukan sekadar mainan istilah untuk nampak lebih ‘jargon’ dan cerdik tetapi sebagai wagas futuristik atau pernyataan misi dan visi besar bagi memandu sebuah kebangkitan dan perjuangan yang jelas sekaligus membuahkan hasil yang didambakan. FPB wajar dibaca dan dirujuk bersekali dengan DBM dan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 / Akta 668 bagi memandu segala jenis perancangan pembangunan belia Negara.
Buku karya saudara Beta ini wajar dijadikan sebahagian rujukan asas bagi memandu dan mengisi wagas FPB ini serta diwacanakan secara meluas oleh pendokong pembangunan belia agar dihadami dan difahami bagi menghasilkan tindakan berimpak dan ‘end product’ yang betul.
Selain Dialog Pemuda Indonesia – Malaysia (MALINDO) yang sedia terjalin di antara KNPI dan MBM dan juga kolaborasi melalui OIC Youth Forum (ICYF), saya berharap karya ini juga mampu menjambatani hubungan silaturahmi belia Malaysia dan pemuda Indonesia agar bangkit berkolaborasi menjadi anak muda serumpun yang kuat untuk masa depan ummah.
Syabas saudara Beta Pujangga Mukti!
Nilai
25 Oktober 2020 / 8 Rabiulawaal 1442 H
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan