Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, Mei 12, 2020

SURAT TERBUKA KEPADA KEPIMPINAN POLITIK NEGARA : MBM SERU REKONSILIASI NASIONAL



Kenyataan Media Majlis Belia Malaysia (MBM)
12 MEI 2020 / 19 RAMADHAN 1441 H


SURAT TERBUKA KEPADA KEPIMPINAN POLITIK NEGARA : MBM SERU REKONSILIASI NASIONAL

Majlis Belia Malaysia (MBM) ingin berkongsi kegusaran dan kebimbangan dengan senario politik yang berterusan tidak menentu dan bergolak tatkala belia dan rakyat sedang berhempas pulas berhadapan dengan perjuangan hidup khususnya mendepani cabaran wabak Covid-19 yang disifatkan oleh Antonio Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai paling mencabar semenjak penubuhan PBB.

Belia dan rakyat berdebar menanti liku-liku detik 18 Mei di mana Parlimen bakal bersidang buat kali pertama selepas penubuhan Kerajaan baharu dengan pelbagai tanda tanya tentang kestabilan Kerajaan dek ura-ura usul tidak percaya kepada Perdana Menteri. Kegoncangan politik sudah pun kelihatan di satu dua buah negeri dengan antaranya kekecohan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sehingga kelihatan menjengkelkan.

Sesetengah ahli politik dan pihak berkepentingan mungkin mempunyai alasan yang kuat untuk berbuat demikian namun bagi belia dan rakyat terbanyak berasa kebingungan bahkan tidak ada masa pun memikirkan alasan tersebut dek kerana berhempas pulas memikirkan periuk nasi mereka yang perlu dipanaskan setiap hari. Ahli politik berkata mereka prihatin dengan masalah rakyat namun terjemahan kepada tindakan amat menghampakan. Pertelingkahan dan perseteruan sesama ahli politik termasuk sesama blok nampaknya bukan lagi suam-suam kuku tetapi sudah hampir mencapai takat didih.

Pertelingkahan politik yang tajam ini jujurnya masih didominasi oleh tokoh-tokoh senior sehinggakan ahli politik generasi baharu juga mula turut rasa jelik dan jengkel sehingga ada yang tegas mencadangkan agar sebuah parti politik generasi baharu ditubuhkan bagi memberikan ‘signal’ yang jelas kepada pihak-pihak tersebut untuk segera berhenti bercakaran sebaliknya menumpukan kepada agenda menstabilkan negara dan merawat ekonomi negara yang meleset atau jika tidak maka generasi baharu terpaksa melakukan gerakan mengambil alih kepimpinan politik Negara.

Pertelingkahan yang tidak menguntungkan ini turut memberikan mesej teladan yang buruk kepada majoriti generasi muda sekaligus mengagalkan usaha mendekatkan mereka dengan partisipasi politik dan demokrasi yang sihat dan progresif. Ia juga turut serba sedikit mencacatkan usaha dan tumpuan pembinaan karakter dan potensi belia untuk masa depan Negara selaras dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) apabila ada ahli politik tidak mempamerkan contoh teladan yang baik dan ketinggian akal budi dengan carutan-carutan dan makian-makian secara terang-terangan yang sudah pun tular di media sosial.

Akibat pertelingkahan ini juga, turut merenjatkan fokus dan tumpuan utama untuk menangani isu pekerjaan dan pengangguran yang dijangka mencecah 2.4 juta dan paling penting kita semua tidak sempat pun menyusun strategi memikirkan masa depan negara apatah lagi berperanan lebih besar di pentas global apabila politik negara masih berlegar-legar dengan soal pertelingkahan sesama sendiri, soal remeh-temeh dan senario politik lapuk. Malaysia masih jauh untuk bangkit menjadi Harimau Asia semula.

Selaku majlis yang menaungi belia merentas kaum, agama, geografi, gender, fahaman politik dan aliran pemikiran yang sudah tentu ada dalam kalangan mereka yang sugul, sedih, marah, kecewa dan meluat dengan senario semasa politik Negara maka MBM berasa amat bertanggungjawab, penuh rasa insaf dan terpanggil untuk menggesa dan merayu kepada semua ahli politik sama ada di blok Kerajaan dan mahupun di blok pembangkang membuat gencatan senjata serta-merta dan segera menjalankan rekonsiliasi nasional buat sementara waktu bagi mengerah kudrat membantu belia, rakyat dan Negara berhadapan dengan situasi yang amat sukar ini.

Walaupun masing-masing mempunyai hujah dan alasan tersendiri, belia dan rakyat tidak langsung punyai masa buat masa ini untuk memahaminya kerana tumpuan mereka hanya kepada survival kehidupan dan ekonomi bahkan mereka menganggap ahli politik hanya mementingkan diri sendiri dan hanya memikirkan agenda politik peribadi mereka sahaja.

MBM menyeru agar ahli politik berjiwa besar dengan mengenepikan buat sementara waktu titik bengit, sakit hati dan rasa tidak puas hati tersebut demi belia dan rakyat yang sedang menderita bagi membentuk kerjasama dwi-partisan sekaligus menstabilkan semula negara dan ekonomi dalam tempoh setahun dua ini. Selepas ekonomi pulih sedikit masa nanti, wajarlah parti-parti politik all-out membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 yang tidak pun sampai dua tahun setengah lagi. Perlu diingat generasi muda akan menjadi king maker pada PRU ke-15 dan mereka sedang memerhatikan gelagat anda. Jika anda semua sudi menjayakan rekonsiliasi nasional ini di semua peringkat maka belia dan rakyat akan mengenang jiwa besar anda ini dalam lipatan sejarah Negara.

MBM juga menyeru agar pihak media turut sama memainkan peranan rekonsiliasi nasional ini dan bukannnya turut sama menyimbah minyak menyemarakkan api pertelingkahan.

Bagi MBM, kami akan terus berkerja keras bagi menumpukan kudrat membantu ekonomi belia. Kami bersuara ini adalah semata-mata ingin melihat Malaysia lebih aman, sejahtera, stabil, makmur dan menjadi kuasa besar dunia pada masa depan.

MBM menyeru semua belia dan rakyat sama-sama berganding bahu mendokong gesaan ini.

#Rekonsiliasi Nasional

JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)

Tiada ulasan: