Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Julai 12, 2010

Pesanan Sempena Himpunan Relawan GPTD 2010


Assalamualaikum w.b.t.,

Salam perjuangan dari bumi Durham, United Kingdom,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak pengajur Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) atas inisiatif yang amat baik dalam penganjuran Himpunan Relawan 2010. Semoga perhimpunan ini dirahmati oleh Allah dan menatijahkan ilmu yang bermanfaat, pengalaman yang padat, kasih sayang yang hebat dan semangat yang mantap untuk terus menggerakkan misi rahmatallila’lamin.

Sedar atau tidak, GPTD sudah pun berusia 9 tahun sejak ia mula digagaskan oleh Encik Ahmad Azam Abdul Rahman pada tahun 2001 sekembalinya beliau daripada bumi Andalus. Telah banyak yang GPTD lalui begitu juga pelbagai rupa dan ragam relawan yang ditemui namun semuanya sudah menjadi satu memori suka duka yang tidak harus ditoleh ke belakang lagi. Apa sikap kita selaku bakal penggerak GPTD ialah terus melonjak kehadapan dan sentiasa membuat pembaharuan yang segar dan mewangi.

Saya amat mengharapkan GPTD terus kehadapan menjadi pelopor kepada agenda pengembaraan dan kesukarelaan antarabangsa khusus untuk generasi muda. Saya melihat pengembaraan dan kesukarelaan antarabangsa merupakan dua kebitaraan unik yang seharusnya terus menjadi tema utama GPTD dalam menawarkan program-program bermanfaat dan menarik untuk para remaja, belia dan mahasiswa. Negara-negara maju sudah kehadapan dalam menawarkan peluang-peluang sedemikian kepada generasi muda.

Mengambil contoh The Peace Corps America yang digagaskan idea penubuhannya oleh Presiden Amerika Syarikat yang ke-35, John F. Kennedy sudah bertapak di persada kesukarelaan antarabangsa semenjak 1960an lagi. Peace Corps bertemakan ‘love’ and ‘youth’ sebagai asas kekuatan visi dan misi mereka. Ketika berada di Universiti Michigan, Kennedy mencabar mahasiswa di sana dengan menyatakan:

“How many of you are willing to spend the years in Africa or Latin America or Asia working for the United States and working for freedom?. How many of you who are going to be doctors are willing to spend your days in Ghana; technicians or engineers, how many of you are willing to work in the foreign service and spend your lives travelling around the world? On your willingness to contribute part of your life to this country will depend the answer whether we as a free country can compete”.

Seharusnya cabaran yang sama saya lontar kepada saudara-saudari sekalian cumanya ia mungkin berbeza dari segi konteks kerana GPTD adalah hasil inisiatif pimpinan pertubuhan masyarakat madani (NGO) dan khidmat sumbangan saudara-saudari bukan sahaja untuk negara tetapi untuk agama dan umat. Selain itu, GPTD diformulasikan dengan pelbagai kreativiti dan inovasi yang menghasilkan pendekatan yang ilmiah, segar dan bersahaja. Justeru saudara-saudari harus mengambil manfaat dan peluang ini untuk mengembangkan potensi diri dan berkhidmat untuk umat.

Sebagai relawan dan aktivis GPTD, saudara-saudari harus mempunyai ketahuan, kemahuan, komitmen dan iltizam yang tinggi untuk sama-sama menggerakkan agenda GPTD itu. Untuk itu saudara-saudari harus menghayati sejarah, visi, misi dan objektif mengapa GPTD ditubuhkan. Selain itu saudara-saudari selayaknya mempunyai kepelbagaian kecekapan atau ‘multiple competencies’ yang harus dipersiapkan dan saya amat yakin dengan izin Allah sebahagian besar kecekapan ini bakal diperolehi ketika anda menyertai GPTD. Antara ‘multiple competencies’ meliputi a.) Intellectual competence, b.) Civic competence c.) Social competence d.) Cultural competence e.) Emotional health and employability dan yang paling penting ialah f.) Spiritual competence. Kecekapan yang tersenarai di atas melayakkan anda untuk terus bersaing dan mempunyai daya juang yang tinggi dalam era globalisasi ini.

Saya amat optimis dan positif GPTD akan maju kehadapan dengan a.) Mengeksplorasi dan mendokumentasi lebih banyak bidang kajian tokoh, tamadun dan kemasyarakatan; b.) Merangkai dan bertapak di negara-negara baru terutamanya Afrika, Oceania-Pasifik dan Amerika Latin; c.) Melahirkan lebih ramai relawan berkretampilan dan berkualiti berkhidmat sepenuh masa di luar negara walau walaupun setelah bergelar profesional; d.) Menguasai pelbagai bahasa asing dan skil-skil penting; e.) Bergerak secara mandiri melalui penerokaan peluang perniagaan global; f.) Menguasai isu-isu dan senario global; g.) Membina jaringan strategik dengan para belia dan organisasi strategik di seluruh dunia melalui pertukaran belia dan ziarah organisasi (Zigo); dan h.) Meneruskan usaha-usaha khidmat sosial dan kemanusiaan tanpa mengira agama, bangsa dan agama.

Semua gagasan dan harapan besar ini bisa membuatkan anda berfikir dan berjiwa besar! GPTD juga harus menjadi alternatif utama kepada remaja dan belia bagi menghidari diri mereka daripada terjebak dengan perkara yang tidak bermanfaat. GPTD harus terus menjelajah sekolah-sekolah dan ipt-ipt bagi menawarkan ruang dan peluang untuk mereka berbakti. Selain itu GPTD berperanan menginspirasikan tokoh-tokoh kajian kepada generasi muda untuk dijadikan suri teladan dalam mencari identiti dan matlamat hidup.

Ayuh, tunggu apa lagi perahu sudah di air, dayung sudah di tangan, mari kita sama-sama berjuang mendokong agenda murni ini bak lagak seperti anak jantan yang matinya di gelanggang, makannya di hujung yang panjang dan tidurnya di puncak gelombang. Kitalah penerus kesinambungan perjuangan Nabi sallallahualaihiwasallam sebagai pembawa rahmat dan penyebar kasih sayang ke sekalian alam.

Saya ingin sekali melihat saudara saudari sekalian di bawah kepimpinan baru saudara Muhammad Suhail Ahmad terus menjadi aktivis masyarakat yang aktif bukan sahaja di luar negara bahkan di dalam negara khusunya di tempat asal masing-masing.

Saya mendoakan daripada kejauhan semoga Himpunan ini menjadi himpunan yang dikategorikan sebagai mendapat keberkatan daripada Allah dan berupaya menghasilkan idea-idea bernas yang terjelma dalam tindakan yang menguntungkan umat.
Semoga semua usaha ini menjadi amalan soleh kita yang diterima oleh Allah Taala.

JUFITRI JOHA
Pengerusi GPTD
Durham, United Kingdom
10 Julai 2010 / 25 Rejab 1431 H

Tiada ulasan: