Sumber : Majalah I Luv Islam 10 - 16 Disember 2010 / 4-10 Muharram 1432 H
“Jufitri, kerja di ABIM ni, walaupun gajinya agak relatif sederhana tetapi rezeki itu bukan hanya dalam bentuk wang ringgit tapi juga dalam bentuk lain”, pesan mentor saya. Agak lama juga saya berfikir tentang kata-kata ini, namun setelah lama berkecimpung dalam dunia perjuangan belia dan dakwah secara sepenuh masa, saya mulai memahami dan menghayati makna sebenar rezeki tersebut. Benar, rezeki bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit tapi rezeki kurniaan Allah datang dalam pelbagai bentuk seperti dalan bentuk ma’nawi ketenangan, kebahagiaan, rasa cukup dengan apa yang ada mahupun dalam bentuk fizikal seperti diberi peluang mengembara tanpa sebarang bayaran dalam erti kata lain percuma!
Saya tidak pernah merancang mahupun terfikir untuk mengembara ke enam buah negara sekaligus tanpa sebarang bayaran. Namun dengan terpilihnya saya dalam Program The Ship for the Southeast Asian Youth Program (SSEAYP) memungkin saya membelah samudera, merentas enam buah negara dari Jepun sehinggalah ke Singapura dengan sebuah kapal Nippon Maru. Semuanya berlaku adalah dengan keizinan dan kehendakNya.
SSEAYP merupakan sebuah program besar mempertemukan peserta muda Jepun dan peserta muda dari 9 buah negara-negara Asia Tenggara dalam sebuah kapal setinggi 8 tingkat. Nippon Maru atau dalam bahasa Melayu bermaksud ‘kapal Jepun’ dilengkapi dengan pelbagai kemudahan selayak kapal persiaran meliputi dewan besar, gymnasium, panggung wayang, kabin tidur, dewan makan, restoran, kedai gunting rambut, ruang rehat dan perbincangan dan bilik sauna.
Nippon Maru belayar selama 2 bulan membawa seramai lebih 360 peserta yang mewakili 10 kontinjen negara yang berkampung seolah-olah dalam bandar terapung di tengah-tengah kawasan perairan yang seolah-olah tidak bertepi. Langkah pertama kami bermula dari Pelabuhan Yokohama Jepun merentas samudera biru untuk singgah di Pelabuhan Manila, Pelabuhan Ho Chi Minh, Pelabuhan Bangkok, Pelabuhan Jakarta dan Pelabuhan Singapura. Semasa kami belayar, kami melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti perhimpunan rasmi mingguan, diskusi kumpulan, malam kebudayaan negara, aktiviti kebudayaan, pameran dan aktiviti rekreasi dan kelab. Apabila singgah di sesebuah negara selama 3 ke 4 hari, kami diberi sambutan rasmi negara dan di berikan sebuah keluarga angkat bagi memahami gaya hidup dan budaya masyarakat setempat. Di samping itu kami diberikan ruang untuk berinteraksi dengan belia tempatan, melawat institusi-institusi strategik dan penting, mengunjungi pimpinan negara, melakukan persembahan memperkenalkan budaya negara masing-masing dan melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah.
Selesai singgah di sesebuah negara, kami akan meneruskan perjalanan ke destinasi atau negara seterusnya meneruskan rutin yang sama seperti sebelumnya. Namun, apa yang bagi penting bagi saya sepanjang permusafiran ini ialah saya dapat menjalankan tugas yang baik selaku duta kecil negara dengan menggambarkan sikap sebenar saya sebagai seorang generasi muda Malaysia kepada mata dunia. Saya juga tidak lupa menggambarkan keindahan akhlak selaku seorang pemeluk agama Islam dengan melakukan tugas yang diamanahkan selaku Ketua Disiplin dan Agama bagi kontinjen Malaysia dengan cekap dan berintegriti. Saya bertindak selaku Khatib Solat Jumaat, penjaga masa kontinjen Malaysia agar kontinjen sentiasa menepati masa dan memanfaatkan ruang menyebarkan risalah keindahan Islam melalui diskusi informal berkaitan agama bersama peserta-peserta negara lain. Masih terngiang di benak saya lagu…Nippon Maru sailing the blue, blue ocean…., namun ia kekal tersemat di memori kenangan terindah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan