Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Jumaat, Mac 18, 2011

Siri 9 : Menjejaki Mujahid Balkan


I Luv Islam : 25 Februari - 3 Mac 2011 / 23-29 Rabiulawwal 1432 H
Saya berasa seperti bermimpi pabila berada di tengah-tengah kota Sarajevo. Sarajevo yang diberi julukan Jerusalem Eropah mempunyai pemandangan dan panorama yang cukup memukau. Pasak-pasak bumi mengelilingi kota lama Sarajevo mengindahkan lagi suasana redup di sekitarnya. Kota Sarajevo terbahagi kepada dua kota yang terletak sebelah menyebelah, iaitu kota baru dan kota lama. Kota baru dihuni dan didominasi oleh Serbia manakala kota lama dihuni dan didominasi oleh umat Islam. Saya menyaksikan sendiri dualisme yang berlaku antara dua kota ini di mana yang satunya penuh dengan warisan tradisi ala Turki Uthmaniyyah manakala yang satu lagi merupakan kota batu yang amat moden. Ini satu keunikan yang menjadi tarikan utama di ibu kota Bosnia ini yang letaknya di wilayah Balkan, Eropah Timur.

Menyorot tragedi hitam antara 1992 sehingga 1995, penduduk Islam Bosnia telah menjadi mangsa kepada kekejaman dan kebrutalan penghapusan etnik angkara pengganas Serb tanpa mendapat pembelaan atau kepedulian sewajarnya daripada Eropah dan Barat, hanya semata-mata kerana penduduk Bosnia Herzegovina yang Muslim itu inginkan hak kedaulatan dan kebebasan negara mereka. 


Di tengah-tengah ujian yang amat dahsyat ini muncul seorang wira umat yang memimpin perjuangan rakyat Bosnia berjihad melawan pengganas Serb. Beliau yang saya maksudkan tidak lain tidak bukan ialah almarhum Alija Izetbegovic. Namun sayangnya  tidak ramai generasi muda Islam yang mengenali pemuka umat ini menyebabkan saya terpanggil memperkenalkan ketokohan dan keperwiraan Alija.

Saya tidak melepaskan peluang mengunjungi maqam suhadak Kovaci yang gugur mempertahankan maruah umat di pinggir kota lama Sarajevo. Daripada ribuan maqam suhadak yang saujana mata memandang, tersemadi di situ jasad Alija dengan penuh kedamaian dan kemuliaan. 

Alija Izetbegovic menurut Dr. S Balic, seorang cendikiawan Universiti Johann Wolfgang Goethe, Frankfurt, merupakan seorang peguam di Sarajevo yang berasal dari Selatan Slav yang ditadbir Islam selama lebih 500 tahun. Tahun 1983, Alija telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Sarajevo bersama 11 orang cendekiawan atas kesalahan ‘fundamentalist disgression’. Ini adalah semata-mata kerana Kerajaan Komunis Yugoslavia menganggap Alija sebagai ancaman kepada sistem kepercayaan dan pemerintahan mereka.  


Alija yang juga merupakan seorang aktivis masyarakat, penulis prolifik, ahli politik dan ahli falsafah pernah menjawat jawatan selaku Presiden Bosnia Herzegovina yang pertama bermula 1991 sehingga 1996 manakala selepas 1996 beliau menganggotai Majlis Presiden Bosnia Herzegovina sehingga 2000. Pada tahun 1992, Alija telah mengendalikan referendum atau kutipan suara rakyat Bosnia bagi menentukan kemerdekaan mutlak Bosnia sebagai syarat yang ditetapkan oleh Eropah untuk sesebuah negara merdeka. Walaupun menerima tentangan dan boikot daripada etnik Serbia, referendum berjaya mengutip 99.4 % yang pro kepada kemerdekaan Bosnia. Referendum ini akhirnya membawa kepada meletusnya perang saudara di mana Muslim Bosnia menjadi sebahagian besar kepada kekejaman pengganas Serbia. Menurut salah seorang sahabat Bosnia yang saya temui di Sarajevo menyatakan bahawa ketika tentera gabungan Islam Bosnia dan Croat pimpinan Alija hampir menang dengan menewaskan pengganas Serb, maka NATO mula bertindak dengan memaksa Alija Izetbegovic menandatangani perjanjian damai Dayton pada November tahun 1995. Perjanjian berat sebelah ini, memecahkan Bosnia kepada Republica Srpska (RS) yang dikuasai puak Serb dan Persekutuan Bosnia and Herzegovina (BiH) yang dikuasai umat Islam dan Croat. Ini bermakna pada hakikatnya umat Islam tidak menguasai sepenuhnya Bosnia walaupun mereka merupakan majoriti. Selepas 15 tahun merdeka Bosnia menikmati kedamaian namun yang menyedihkan umat Islam mula berpecah kerana berebut kuasa. Saya menyaksikan kesan-kesan peninggalan perang yang pernah menyatukan mereka dan juga mencari ruang-ruang meneruskan usaha-usaha ABIM yang pernah menghantar bantuan kemanusiaan ketika perang meletus melalui kerja-kerja kesukarelawanan dan khidmat sosial antarabangsa.


Alija yang terkenal dengan karya Islam between East and West ini meninggalkan alam fana ini pada Oktober 2003 kesan daripada kompilasi jantung akibat terjatuh di kediamannya. Bertafakur di kubur tokoh negarawan Muslim Eropah ini, saya sempat menghadiahkan samudera al-Fatehah dan mendoakan semoga Allah menempatkan hambaNya ini sebaris dengan mujahid-mujahid agama Allah.




Tiada ulasan: