Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Ogos 22, 2011

Sepetang Bersama Profesor Dr. Chandra Muzaffar, Presiden International Movement for a Just World (JUST)



Catatan oleh : JUFITRI JOHA
Naib Presiden Antarabangsa ABIM

Profesor Dr. Chandra Muzaffar merupakan antara tokoh yang saya minati sejak beberapa tahun kebelakangan ini atas ketajaman dan ketepatan beliau membahas isu-isu antarabangsa. 20 Ramadhan yang lepas saya berkesempatan membuat kunjung hormat Prof Chandra yang juga merupakan Profesor Pengajian Ilmu-ilmu Global di Universiti Sains Malaysia (USM). Pelan asal saya sepatutnya ditemani oleh dua orang lagi ahli Biro Antarabangsa ABIM namun, saat akhir mereka terpaksa menguzurkan diri atas sebab-sebab kesihatan dan urusan keluarga. Ini memberikan kelebihan kepada saya kerana perbincangan menjadi lebih telus, menjurus dan eksklusif.

Prof. Chandra memulakan bicaranya dengan memandu ABIM agar memfokuskan 3 isu utama global iaitu ‘kebangkitan dunia arab’ di mana beliau berpesan agar kita berhati-hati melihat isu ini dengan pemikiran yang lebih ‘articulative’. Isunya adalah campurtangan kuasa asing yang mendokong sesetengah pemberontakkan di negara-negar Arab dengan menagguk di air keruh menjadikan perjuangan sudah tidak lagi asli atau ‘genuine’. Justeru Prof. Chandra dalam tulisannya bertajuk “Quit Gadaffi Quit!’ menggesa Gadaffi segera meletak jawatan atas alasan “It would be ironic if because of his stubbornness he unwittingly opens the door to some nefarious neo-colonial intruder”. Justeru Prof. Chandra menegaskan Dunia tanpa Hegemoni! sebagai slogan utama kita.

Fokus kedua ialah kepada isu konflik Palestin-Israel yang berpanjangan yang dianggap sebagai anak kunci kepada isu-isu lain. 

Manakala fokus ketiga yang harus diberikan perhatian oleh ABIM ialah ‘kemelut ekonomi dunia’ yang semakin meruncing. Prof. Chandra menyeru generasi muda dan ABIM agar tampil kehadapan dengan menawarkan sistem ekonomi Islam sebagai jawapan kepada semua kemelesetan yang berlaku. Namun ia harus ditampil dengan pendekatan tidak langsung ya’ni tanpa terlalu memaparkan imej fizikal Islam seperti slogan Negara Islam sebaliknya menampilkan ruh Islami atau ‘substance’. Justeru Prof. Chandra mengesyorkan agar ABIM menampilkan tokoh-tokoh ekonominya yang mempunyai padangan alam yang jelas serta kerangka analisis agar terkehadapan dalam menjuarai isu ini di pentas ekonomi dunia. 

Perkara-perkara sisipan yang harus dibincangkan ialah, testimoni kerjasama sosialisme dengan Islam dalam memerangi kapitalis. Ini merupakan fenomena yang kelihatan di negara-negara barat khususnya.

Prof. Chandra juga berpesan agar membaca tulisan-tulisan Richard Falk dan Noam Chomsky dalam memahami isu-isu global serta merujuk juga kepada tokoh-tokoh tempatan seperti Profesor Muhammad Abu Bakar  dan Profesor Madya Shakila Parween Yacob di mana kedua-duanya dari Universiti Malaya.
Selain membaca media utama, Prof. Chandra juga meminta kita agar membaca media-media alternatif global seperti Znet (http://www.zcommunications.org/znet) yang berhaluan kiri bagi mengimbangi maklumat berita yang diperolehi. Prof. Chandra mencadangkan agar ABIM menjalinkan kerjasama dengan International Action Center (http://www.iacenter.org/) yang berpengkalan di New York, Movement for Justice and Peace, Attac Perancis (http://www.attac.org/), Focus on Global South (http://www.focusweb.org/) dan Peace for Life (http://www.peaceforlife.org). Ini ruang-ruang baru dalam mempersiapkan ABIM untuk ‘engage’ di pentas yang lebih global dan rencam sifatnya.
Bagi memahami, menganalisa dan mengadvokasi isu antarabangsa dengan lebih tajam, Prof. Chandra mengesyorkan agar aktivis ABIM menggandakan usaha pembacaan, menjalani latihan advokasi, menonton VCD dan DVD berkaitan isu-isu global dan menjalani pelbagai pendedahan di peringkat antarabangsa.
Pertemuan berakhir dengan harapan agar kerjasama JUST dan ABIM sudah terjalin sekian lama sebelum ini agar diteruskan terutamanya kerjasama strategik melibatkan isu-isu antarabangsa.

Tiada ulasan: