Oleh: JUFITRI JOHA
Naib Presiden Antarabangsa ABIM
Sumber : Majalah Al Islam November 2011 / Zulhijjah-Muharram
Robert Bowker, Profesor di Centre for Arab and Islamic Studies, Australian National University (ANU) memberikan satu analisis yang menarik ketika penulis menghadiri syarahan beliau berkenaan Arab Spring di ANU. Saya menjangkakan beliau akan memberikan analisa berkenaan dengan sebab berlakunya Arab Spring khususnya di Mesir namun jangkaan saya meleset apabila beliau lebih kepada membuat analisa yang mendalam dan menarik berkenaan pasca Arab Spring di Mesir.
Profesor Bowker menyebutkan bahawa Indonesia dan Turki memberikan pengajaran yang menarik kepada dunia Arab tentang perubahan dari pemerintahan autokratik tentera kepada pemerintahan sivil yang lebih demokratik. Walaupun pengajaran ini sudah terhidang kepada mereka hampir sepuluh tahun namun pemerintah Arab gagal mengambil iktibar dan ibrah menyebabkan mereka terpaksa mengalami nasih buruk apabila dipaksa mengundur diri secara terhina bermula dengan Zine el-Abidine Ben Ali yang memerintah sejak 1987, Mubarak sejak 1981 dan Gadaffi sejak 1969 manakala keluarga Assad sejak 1970 dan Ali Abdullah Saleh sejak 1978 hanya retak menanti belah. Kebanyakkan pakar Timur Tengah tidak menjangkakan bahawa tentera negara-negara Arab akan bertindak menderhakai ketua mereka yang juga merupakan ketua negara bahkan atas andaian yang salah ini, penganalisa seperti Profesor F.Gregory Gause dari Universiti Vermont mencadangkan agar Amerika Syarikat tidak menggalakkan amalan demokrasi subur di negara-negara Arab kerana ia memberikan masa depan yang stabil untuk hubungan Amerika dengan sekutunya di Timur Tengah.
Arab Spring atau sesetengah penganalisa lebih suka menamakannya sebagai Arab Revolution benar-benar terjadi ketika sebahagian besar aktivitis gerakan Islam tidak meletakkan harapan besar kepada dunia Arab untuk memimpin perubahan dalam dunia Islam. Sebaliknya harapan diletakkan kepada 3 buah negara Islam iaitu Turki, Indonesia dan Malaysia. Namun harapan ini telah terbuka luas dengan terjadinya Arab Spring yang merupakan satu lembaran sejarah kepada dunia Islam khususnya landskap politik Timur Tengah. Namun persoalan timbul sama ada perubahan ini merupakan suatu perubahan yang didasari semata-mata perubahan politik atau turut melibatkan perubahan sosial yang berbentuk keagamaan? Walaupun ramai penganalisa lebih cenderung menyatakan ianya lebih kepada perubahan bersifat politik namun saya berpandangan ia turut melibatkan perubahan yang menuntut kepada negara Mesir yang lebih demokratik dan Islamik.
Walaupun Ikhwanul Muslimin bukanlah aktor utama kepada perubahan ini kerana ia menurut Dr. Max Lane dari Asia Institute, University of Melbourne merupakan ‘Leaderless Revolution’, namun kesedaran yang berteraskan agama kepada perubahan sudah dirintis oleh pertubuhan berpengaruh ini semenjak 4 tahun selepas kejatuhan sistem khalifah pada 1924. Kemuncak kepada kesedaran dan keberanian ini meletus selepas rakyat Mesir mendapat inspirasi dari negara jiran mereka Tunisia yang membawa kepada pengabsahan kepadaa teori domino.
Apa yang membezakan Arab Spring dengan Revolusi Iran 1979 ialah Revolusi Iran bukan sekadar membuat kepada perubahan secara besar-besaran tapi mereka bersedia untuk mengisi perubahan. Namun sayangnya Mesir, Tunisia dan Libya nampaknya kurang bersedia untuk mengurus perubahan tetapi apa yang penting perubahan sudah berlaku. Persoalan demokrasi bertentangan dengan Islam sudah tidak menjadi isu utama kepada dunia Islam namun apa yang lebih penting menurut Profesor Bowker ialah umat Islam telah mula memanfaatkan demokrasi bagi menegakkan perjuangan Islam. Mesir, Tunisia dan Libya harus mempergunakan demokrasi dan kreativiti bagi memacu perubahan bagi membawa keluar warganya dari garisan paras kemiskinan yang diwarisi sebelumnya dan juga menangani pertambahan penduduknya menjelang 2050. Paling penting dalam mencorakkan perubahan seterusnya, mereka harus bebas dari pengaruh luar khususnya Amerika sebaliknya lebih mandiri dan harus disokong oleh dunia Islam yang kelihatan Turki sedang memainkan sebagai pimpinannya. Profesor Bowker turut menegaskan bahawa pihak luar tidak akan diberikan ruang untuk campur tangan dalam menentukan masa depan pasca Arab Spring yang sedang berlaku di dunia Arab ketika ini. Arab Spring selepas kematian Osama Laden, menurut Profesor Tariq Ramadan akan menyaksikan perubahan yang lebih damai dan tidak akan melibatkan lagi pertumpahan darah dan keganasan seperti telahan beliau, “The Muslim-majority societies have a substantial responsibility for managing their own future. It cannot be stated strongly enough that the sirens of violence and extremism have never seduced the overwhelming majority of their peoples”.
Dua perkara yang menarik perhatian penulis dari Arab Spring ialah bagaimana peranan generasi muda dan ledakan teknologi maklumat banyak membantu dalam perubahan di negara-negara Arab. Dua faktor ini amat penting diberikan perhatian di saat ini kerana ia menjadi perkara utama mendasari kepada perubahan di mana-mana sahaja. Mengambil contoh Wael Ghonim seorang Eksekutif muda Google Mesir yang berpelajaran tinggi dari American University of Cairo telah memimpin perubahan dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat. Bahkan anak muda ini berani mempertaruhkan masa depannya dengan mengendalikan Facebook “We are all Khaled Said”. Ia sempena memperingati Khaled Said yang mati dipukul oleh polis Mesir dan menjadi sumber inspirasi yang utama kepada mobilasi rakyat Mesir untuk turun ke jalanan menentang rejim Mubarak.
Internet khususnya media sosial sudah begitu sinonim dengan generasi muda. Ia perkara yang tidak dapat dipisahkan antara dua entiti ini. Generasi muda mudah mengakses maklumat melalui internet dan mereka sudah tidak lagi berminat kepada media konvensional seperti televisyen dan suratkhabar untuk mendapatkan maklumat yang bersifat sehala. Justeru internet khususnya media sosial menjadi sumber mereka mendapatkan maklumat alternatif dan alat kepada memobilisasikan rakan-rakan sebaya mereka untuk melaksanakan sesuatu agenda. Dari sekecil-kecil agenda peribadi kepada sebesar-besar agenda perubahan demokrasi dimanfaatkan oleh generasi muda melalui saluran ini. Benarlah kata-kata Tony Benn, bekas Ahli Parlimen Britain dalam tulisannya di New Statemen, “Democracy itself depends on availability of information”. Akses generasi muda kepada maklumat dengan mudah melalui internet boleh membawa kepada perubahan dan amalan demokrasi yang subur. Maklumat yang mereka perolehi daripada media arus perdana diseimbangkan dengan maklumat yang diperolehi dari media alternatif bagi menghasilkan kepada kesimpulan akhir dalam membuat keputusan yang membawa perubahan dalam konteks politik sesebuah negara.
Generasi muda yang juga dikenali Generasi Y atau ‘the Net Generation’ sudah menjadi perhatian kepada mana-mana pihak berkepentingan di dunia ini. Pihak pemerintah, pembangkang dan pelbagai pihak memberikan fokus untuk mendekati dan memenangi hati golongan ini. Ini adalah kepercayaan mereka bahawa generasi muda merupakan tonggak yang amat penting kepada sesuatu perubahan kerana mereka adalah golongan yang kreatif, bertenaga dan sangat mesra internet. Mereka tidak lagi mudah digula-gulakan bahkan mereka bijak untuk membuat pilihan dan perubahan. Mahu tidak mahu Malaysia juga mengalami sedikit tempias Arab Spring dan pihak-pihak berkepentingan khususnya parti politik harus lebih kreatif dalam memenangi lebih 62 peratus pengundi muda atas pagar (menurut statistik Makmal Pemuda Barisan Nasional) yang bakal menentukan landskap masa depan politik dan demokrasi negara Malaysia yang tercinta. Secara ringkasnya generasi muda merupakan pemangkin kepada perubahan masa kini dan masa depan. Adalah menjadi tanggungjawab besar kepada kita khususnya ahli masyarakat madani dalam memandu dan mendidik mereka agar perubahan yang dibawa oleh generasi muda ini adalah berpaksikan ilmu dan bukan berdasarkan emosi dan semangat semata-mata.
Sesungguhnya Arab Spring memberikan banyak pengajaran kepada kita, namun sehingga kini dunia masih lagi menggosok-gosokkan mata mereka seolah-olah tidak percaya bahawa perubahan mampu berlaku di dunia Arab sebagai mana masyarakat di zaman Rasulullah tidak yakin Umar akan bertindak memeluk Islam sehinggalah tunggangan Umar dahulu yang masuk Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan