Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Januari 09, 2012

Catatan di Persidangan Tahunan DAP 2012


Apabila saudara Raimi, Setiausaha Agung ABIM menawarkan kepada Exconya sesiapa boleh mewakili ABIM untuk ke Persidangan Tahunan Parti DAP, saya tanpa ragu menawarkan diri untuk hadir bersama seorang lagi Exco saudara Syahrir Azfar. Jarang bahkan tidak pernah saya menulis entri politik, saya boleh sebutkan ini merupakan kali pertama saya menulis entri seumpamanya.

Kehadiran saya sebagai satu usaha ‘engagament’ untuk mendekati sebuah parti yang kurang di gemari sebahagian orang Melayu atas andaian dan persepsi sebagai sebuah hanya untuk orang Cina dan sebuah parti perkauman. Walhal segelintir kita menyedari DAP turut dianggotai orang India, Sikh dan segelintir orang Melayu, bahkan salah seorang daripada Naib Pengerusinya merupakan bekas Presiden Transparency International iaitu Tunku Abdul Aziz. Satu ketika dahulu Almarhum Ahmad Nor pernah menjadi ayat tambatan DAP bagi menggambarkan DAP adalah untuk semua kaum. Bagi saya mungkin ini satu cabaran besar bagi DAP untuk menarik minat orang Melayu khususnya generasi muda untuk menyertai DAP. Walaupun DAP amat agresif dan komited dalam memperjuangkan isu rakyat namun yang menjadi penghalang bagi sesetengah generasi muda seperti saya ialah DAP kosong dari segi aspek kerohanian. Adakah DAP bersedia memberikan ruang-ruang kerohanian bergerak dalam nadi denyut dan urat saraf DAP? Mungkin soal kerohanian itu harus mempunyai satu tajuk khususnya dalam menerangkan apa yang dimaksudkan ruang-ruang kerohanian dalam parti. Seperkara lagi, DAP juga masih kelihatan keras pendirian mereka terhadap isu hudud dan negara Islam. Sejauh mana mereka dapat menangani persepsi atau fakta ini di samping keluar dari imej chauvanisme yang kelihatan masih menebal di minda masyarakat Melayu.

Walaupun suasana di luar tempat berlangsungnya persidangan iaitu di Bangunan SUK Selangor tidak ‘happening’ dan tidak semeriah persidangan parti-parti lain namun kelihatan mood dan semangat perwakilan DAP di bahagian dalam dewan begitu luar biasa. DAP sudah bertapak dan mempunyai cawangan di semua negeri. Satu perkembangan positif DAP. Permulaan yang baik apabila mereka memulakan dengan satu persembahan kreatif youtube ‘Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia!’

Walaupun Karpal dengan kerusi rodanya dan Dr Chen Man Hin yang sudah lanjut dimamah usia, mereka begitu bertenaga ketika menyampaikan ucapan aluan. Dr Chen dengan tagline “we survive because we believe” menegaskan bahawa DAP tiada tempat bagi orang yang mempunyai agenda peribadi untuk mendapatkan jawatan. Inilah semangat perjuangan orang-orang lama yang sebenarnya telah luntur daripada sebahagian jiwa anak anak muda.

Diikuti ucapan Setiausaha Agung Lim Guan Eng yang sarat dan padat fakta-fakta pencapaian-pencapaian Kerajaan Pulau Pinang di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Dan paling dibanggakan oleh beliau ialah kejayaan mengurangkan hutang Kerajaan Negeri daripada 630 juta pada Mac 2008 kepada 29 Juta pada September 2011. Tawaran menarik daripada Pakatan Rakyat ialah menghapuskan tol PLUS yang didakwa beliau telah menguntungkan syarikat yang menguruskan PLUS sebanyak 24.3 billion. Ini satu tawaran menarik!

Dalam banyak penegasan Guan Eng yang menarik ialah strategi DAP untuk memenangi hati pengundi muda baru berjumlah 2 juta. Saya dapat lihat kesungguhan DAP dalam mendaftarkan sebanyak mungkin generasi muda yang layak untuk mengundi. 

Berbalik kepada soal kehadiran saya di Persidangan DAP tadi ialah untuk mewujudkan ‘engagement’ positif dengan pimpinan DAP khususnya dengan pimpinan mudanya. Bukan ‘level’ saya untuk mendekati Kit Siang, Karpal Sing mahupun Tan Seng Giaw, tapi sasaran saya ialah membina ‘rapport’ dengan pimpinan mudanya seperti Ketua DAPSY iaitu Loke Siew Fook. Saya masih mencari ruang-ruang ‘engagement’ yang bersesuaian bagi membolehkan ABIM mempunyai ‘locus standi’ bagi memudahkan interaksi yang lebih aktif masa depan dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan. 

Ini kali kehadiran pertama ABIM di bawah kepimpinan baru setelah sekian lama tidak dijemput oleh DAP.

Tiada ulasan: