Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Ahad, Mac 24, 2013


KENYATAAN MEDIA
23 Mac 2013 / 11 Jamadilawwal 1434H

Ucapan Takziah dan Ekspresi Kesedihan oleh MLL4S dan ABIM

Malaysia Life Line for Syria (MLL4S) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin merakamkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada keluarga ulama tersohor Dr. Sa’id Ramadan al-Bouti khususnya kepada anakdanya Dr. Taufiq Ramadan atas pemergian Almarhum Dr. Sa’id dalam kuliah mingguan beliau di Masjid Iman di Damsyik baru-baru ini kesan daripada pengeboman oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan kejam. Pihak MLL4S dan ABIM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap dan zalim ini dan mendoakan semoga Allah memberikan balasan yang setimpal terhadap pihak yang bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut yang turut menyebabkan kematian dan kecederaan di pihak jemaah masjid.

Almarhum Dr. Sa’id yang berbangsa Kurdis ini bukanlah asing di dunia Islam termasuk kerana ketokohan dan kejaguhan beliau dalam ilmu agama. Kitab ‘magnum opus’ beliau iaitu Fiqh as-Sirah an-Nabawiyyah yang menjadi rujukan dan muqarrar atau silibus dalam pengajian sirah di universiti-universiti yang menawarkan bidang pengajian sirah Nabi termasuklah di Universiti Islam Antarabangsa. Beliau juga menghasilkan puluhan kitab termasuk al-Jihad fi al-Islam: Kaifa Tafhamuh? Wa kaifa Numarisuh?, al-Lamazhabiyyah: Akhtar Bid’ah Tuhaddid al-Syari’ah al-Islamiyyah dan yang telah diterjemahkan oleh pihak ABIM iaitu Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyat: Wujud al-Khalid wa Wazifah al-Makhluk atau dalam versi terjemahannya iaitu Kejayaan Hakiki.

Budaya ABIM yang merujuk dan menimba ilmu dengan ulama-ulama mu’tabar dan tokoh cendekiawan seperti Profesor Dr.Yusuf al-Qaradhawi, Almarhum Sheikh Abul Hasan Ali an Nadawi, Profesor Dr. Syed Muhd Naquib al-Attas dan Almarhum Dr.Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki membawa pertemuan dan perhubungan yang baik dengan Almarhum Dr. Sa’id Ramadan al Bouti. Acapkali pertemuan dan perbincangan ilmu dengan Almarhum Dr Sa’id ketika berkunjung ke Malaysia termasuk kali terakhir di Subang ketika kunjungan beliau pada 2010 ketika Dr. Muhd Razak Idris sebagai Presiden ABIM. Saudara Ahmad Azam Abdul Rahman mantan Presiden ABIM juga antara pimpinan ABIM yang bertanggungjawab membawa perkenalan dan pertemuan ABIM bersama Almarhum Dr. Sa’id.


Dalam isu kebangkitan rakyat Syria pada Mac 2011, ramai pihak mendakwa Almarhum Dr. Sa’id merupakan tokoh ulama yang cenderung kepada Rejim al-Assad bersama Mufti Syria iaitu Dr. Ahmad Badruddin Hassoun. Sepanjang MLL4S dan ABIM terlibat dalam kempen advokasi dan kemanusiaan Syria, kami mengambil sikap berdiam diri daripada memberikan komen tidak bersandarkan ilmu dan bersangka baik atas sikap dan pendirian Almarhum Dr. Sa’id yang dilihat tidak menyebelahi kebangkitan rakyat Syria untuk menentang Bashar al-Assad.

Pada telahan kami, pendirian Almarhum Dr. Sa’id ini diambil berdasarkan sikap Almarhum Dr. Sa’id yang tidak mahu pertumpahan darah berlaku di pihak rakyat Syria kerana umum mengetahui kebrutalan dan kekejaman keluarga al-Assad ini. Sejarah telah mencatatkan Hafiz al- Assad telah menyebabkan kematian 40 000 jiwa di bandar Hama pada 1982 atas penentangan terbuka rakyat Hama yang dikenali sebagai kubu kuat pembangkang yang dikuasai Ikhwan al-Muslimin. Walaupun Almarhum Dr Sa’id merupakan anggota Ikhwan al-Muslimin, beliau amat percaya kepada pembaharuan dari dalam kerana jika pendekatan penentangan secara terbuka diambil maka dikhuatiri akan menyebabkan lebih ramai jiwa yang terkorban seperti mana terbukti ketika ini apabila lebih 70 000 jiwa telah terkorban.

Namun di saat akhir, kami difahamkan bahawa apabila ramai yang sudah terkorban kerana kekejaman rejim al-Assad, maka Almarhum Dr. Sa’id dipercayai bakal mengambil pendirian mendokong perjuangan rakyat dan keluar dari Damsyik. Dipercayai perkembangan ini menyebabkan Almarhum Dr. Sa’id dibunuh bagi mengelakkan gelombang kebangkitan yang lebih besar akan berlaku, wallahua’lam.

Pihak MLL4S dan ABIM mengambil kesempatan merakamkan kesedihan ini atas kehilangan sebutir permata dan pemuka Ilmu yang amat berharga dalam dunia Islam. Ini bermakna sedikit lagi ilmu telah diangkat oleh Allah Taala dengan kematian ulama atau dalam hadis disebut sebagai ‘bi qabdhil ulama’. Al-fatehah buat Almarhum Dr. Sa’id Ramadan al-Bouti yang dikasihi.

JUFITRI JOHA
Pengerusi Malaysia Life Line for Syria (MLL4S) merangkap
Naib Presiden Antarabangsa
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Tiada ulasan: