Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Mei 20, 2013

Bangsa Amerika, Agama dan Politik.

Sumber: Majalah Al Islam Jun 2013

Oleh : Jufitri bin Joha
Naib Presiden Antarabangsa ABIM



Saya selalu menyangka bahawa Amerika Syarikat (US) merupakan sebuah negara sekular yang pegangan agamanya sudah longgar. Ini mungkin saya cuba menyamakan suasana di UK dan Eropah yang merupakan sebahagian negara barat yang sudah tidak berpegang kuat kepada ajaran agama khususnya Kristian.

Persepsi dan sangkaan saya ternyata meleset apabila berkunjung ke US baru-baru ini sempena peristiwa bersejarah Pilihanraya Presiden Amerika. Pengamatan terkini saya mungkin membawa kepada pengamatan Alexis de Tocqueville, pemikir Perancis yang melawat Amerika pada abad ke-19 yang mendapati bangsa Amerika adalah yang paling kuat beragama di kalangan dunia Barat.

Pengamatan ini juga membawa kita kepada satu kajian the Pew Forum on Religion & Public Life 2010 bertajuk ‘Religion and Politics in the US’. Saya berkesempatan berkunjung dan berbincang di Pew Research Centre di Washington D.C. bersama penyelidik seniornya berkaitan tajuk ini. Ketika itu dua minggu sebelum berlangsungnya Pilihanraya Presiden Amerika yang dijadualkan pada 7 November.
Perbincangan tersebut memang menarik kerana agama khususnya Kristian amat melatari kehidupan bangsa Amerika khususnya mempengaruhi siapa bakal Presiden Amerika. Bangsa Amerika merupakan bangsa beragama atau ‘a nation of believers’ dengan 92 peratus rakyatnya percaya kewujudan Tuhan atau ‘universal spirit’ manakala hanya 6 peratus sahaja yang tidak percaya kewujudan Tuhan dan seumpamanya. Jika dibandingkan dengan UK, seingat saya kelompok Atheis mewakili 20 peratus daripada jumlah penduduknya. Ia sedikit tinggi berbanding US. Ini mungkin kerana kesan jangka panjang daripada sejarah kematian Tuhan yang diumumkan oleh pujangga Jerman Friedrich Nietzsche dan Renaissance yang berlaku di benua Eropah.

Kajian lebih terperinci Pew pada tahun 2007-2010 berkenaan sama ada ‘Religion is “Very Important” in my life’ mendedahkan bahawa 56 peratus penduduk Amerika mengatakan Ya berbanding negara barat lain seperti Kanada hanya 29 peratus, UK 17 peratus, Jerman 25 peratus dan Perancis hanya 7 peratus. Ini membuktikan bahawa bangsa Amerika merupakan negara yang paling ‘religious’ di kalangan negara Barat.

Agama Kristian merupakan agama terbesar di Amerika mewakili 73 peratus penduduk Amerika cuma mereka agak terpecah kepada sudut 7 mazhab utama iaitu Evangelical, Mailine Protestant, Black Protestant, Katolik, Mormon, Jehovah’s Witness dan Kristian Ortodox. Evangelical merupakan mazhab terbesar mewakili 19 peratus dan banyak mewarnai latarbelakang politik Amerika khususnya ketika tim Neo-Con menguasai White House di bawah George Bush Junior.

Dr. Gary Nordlinger, seorang konsultan media aliran Demokrat yang saya temui di Washington D.C. baru-baru ini menyebut bahawa masyarakat Kristian Amerika merupakan masyarakat yang religious dan menghadiri upacara di gereja secara mingguan. Menurut Dr Gary, tujuh daripada 10 penganut Kristian hadir secara tetap. Kebanyakkan yang komited dengan ajaran Kristian khususnya Evengelis ini berada dalam parti Republikan atau menjadi penyokong kuat Republikan. Mereka antara kelompok majoriti yang komited hadir ke gereja seminggu sekali. Republikan yang beraliran konservatif memang kuat berpegang kepada agama maka sebab itulah mereka menentang amalan kahwin sesama jenis dan pengguguran janin kerana ajaran bible jelas menentangnya. Ini jelas disebut oleh calon Republikan Mitt Romney semasa siri kempen pilihanraya Presiden baru-baru ini.

Ia amat bertentangan dengan Demokrat yang beraliran liberal, sekular dan sosialis yang menyokong kahwin sesama jenis bahkan Obama secara jelas menyokong amalan songsang ini.

Menurut kepercayaan hari kiamat atau eskatologi Kristian, golongan Kristian mazhab Evengelis memang mempercayai bahawa dengan cepatnya tertubuh negara Israel maka akan cepatnya turun Jesus untuk memenangkan Kristian. Dalam buku bertajuk ‘Yahudi Mengapa Mereka Berprestasi’ menyebut bahawa para Evengelis itu amat yakin bahawa berdirinya negara Yahudi adalah bukti nyata terpenuhnya ramalan Bible,

“…American evangelicals believe Israel is the fulfillment of biblical prophecy” atau maknanya para Evengelis beriman bahawa penubuhan negara Israel adalah manifestasi dan realisasi ramalan Bible.

Justeru tidak hairanlah mengapa mereka begitu bersungguh-sungguh mempertahankan Israel walaupun seganas mana pun tindakan mereka terhadap penduduk Palestin semenjak 1948. Rakyat Palestin terus menderita dan pada 15 Mei 2013 yang lepas merupakan ulangtahun hari malapetaka atau hari nakbah Palestin yang ke-65.

Ramai orang khususnya di dunia Islam dan Asia mengharapkan Obama akan meneruskan penggal kedua sebagai Presiden kerana dasar luarnya yang agak sedikit berdiplomasi dengan dunia Islam berbanding Republikan.

Melalui perbualan saya dengan Ketua Republikan di Tucson Arizona juga mendapati sebahagian pendokong Republikan agak anti Islam dan ketika itu saya amat terkejut apabila beliau mempersoalkan bagaimanakah rakyat Amerika boleh memilih seorang Presiden yang mempunyai nama Hussein di tengah-tengah antara Barack dan Obama. Oleh itu, agama sebenar Obama terus menjadi bualan hangat di kalangan rakyat Amerika khususnya yang meragui beliau sebagai Kristian sejati kerana beliau pernah dibesarkan dalam keluarga Islam. Obama berkali-kali menafikan beliau adalah Muslim bahkan menegaskan beliau adalah penganut Kristian.
Menyorot tulisan Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, mantan Presiden ABIM ketika bertemu dengan Malik Obama (abang tiri Barack Obama) di Sidang Dakwah Afrika di Khartoum, beliau antara lain menyebut,

“Pertemuan saya dengan Malik telah membuatkan saya terfikir Presiden Obama mempunyai akar sejarah keturunan Islam yang agak kuat. Ayahnya seorang Muslim, ayah tirinya juga seorang Muslim dari Indonesia. Walaupun media Barat cuba menggambarkan keIslaman mereka berdua hanyalah nominal, tetapi hakikatnya Presiden Obama terdedah kepada Islam sejak kecil. Beliau berdarah campuran Afrika dan Caucasian. Keluarga besar beliau di Kenya ada yang Islam dan ada yang Kristian”.

Justeru, tidak hairanlah identiti sebenar agama Obama menjadi persoalan dan perbualan hangat rakyat Amerika yang tidak sanggup melihat seorang Islam menjadi Presiden Amerika yang biasanya didominasi oleh Protestan.

Jika dilihat sekali lagi kepada data Pew Research Center pada 2010-2011 mendapati White Evengelical Protestant merupakan penyokong utama calon Republikan Senator John Mc Cain sebanyak 73 peratus semasa Pilihanraya Presiden Amerika 2008. Tren ini berterusan dalam pilihanraya terbaru di mana Romney mendapat dokongan penuh daripada kelompok ini. Manakala Obama secara perbandingan banyak didokong oleh golongan muda yang liberal, Hispanic, wanita dan African American. Kelompok pengundi yang unik inilah yang banyak membantu Obama mengekalkan penggal kedua beliau sebagai Presiden.

Dapatan yang menarik juga didedahkan oleh Pew Research Center pada 2012 apabila ditanya kepada rakyat Amerika sama ada Presiden Amerika harus mempunyai pegangan agama yang kuat atau ‘It’s Important to me that a President have Strong Religious Beliefs..” menunjukkan bahawa 67 peratus respondan bersetuju manakala hanya 29 peratus tidak bersetuju. Namun keputusan Pilihanraya Presiden 2012 berlaku sebaliknya apabila Romney yang kuat diperkenalkan identitinya sebagai penganut Kristian Mormon tidak terpilih sebagai Presiden. Ini mungkin disebabkan sistem ‘electoral college’ di mana undi popular tidak diambil kira sebagai pemenang walaupun undi popular Romney hampir menyamai Obama.

Walaupun upacara angkat sumpah Presiden Amerika menggunakan Bible, namun saya dapati pentadbiran kerajaan Amerika masih bersifat sekular. Ini bermakna, dasar-dasar Kerajaan Amerika tidak dipengaruhi sangat oleh elemen-elemen keagamaan khususnya agama Kristian. Justeru penggunaan Bible ketika upacara angkat sumpah hanya bersifat ‘ceremonial’.

Secara kesimpulan, peranan agama Kristian khususnya Protestan amat signifikan dalam mewarnai politik dan rakyat Amerika dan fenomena ini dijangka akan berterusan sehingga beberapa tahun mendatang. Senario perkembangan agama Islam yang amat pesat di Amerika juga dijangka menyumbang kepada label Amerika sebagai bangsa beragama dan diramal bakal mewarnai dan menentukan landskap politik dan masa depan Amerika.

Tiada ulasan: