Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Jumaat, Jun 28, 2013

Asia, Konflik dan Keamanan Dunia



Oleh: Jufitri Joha
Naib Presiden Antarabangsa ABIM


Asia merupakan sebuah benua yang unik. Asia juga merupakan benua terbesar dan paling ramai populasi penduduk merentas Jepun dan Indonesia sehingga ke Negara-negara Arab. Dengan kepadatan populasi 4.3 billion manusia, Asia menjadi tuan rumah kepada hampir 60 peratus daripada 7 billion penduduk dunia. Ia juga merupakan rumah kepada agama-agama besar dunia merangkumi Islam, Buddha, Konfucianisme dan Hindu. Asia juga mengandungi beberapa bangsa dan tamadun besar dunia seperti Islam, China, India, Melayu dan Babylon yang memperkayakan lagi warisan dan keunikannya.

Keunikan kepelbagaian berdasarkan agama, kasta, bahasa, etnik dan budaya ini juga kadangkala menjadi penyebab konflik yang disebabkan oleh kegagalan menguruskan dan meraikan kepelbagaian, perasan dendam, ketamakan dan kerakusan manusia, salah faham dan pelbagai lagi. Ini merupakan antara cabaran yang besar bagi masyarakat Asia bagaimana untuk mengurus dan meraikan kemajmukan masyarakat atau ‘plurality’.

Kebanyakan Negara-Negara mempunyai paradigm majoriti-minoriti. Cabaran dan dilema pertembungan antara kaum majoriti dengan kaum minoriti ialah berkaitan dengan jurang dalam menuntut hak-hak asasi yang dijamin dalam perlembagaan dengan penindasan dan penganiayaan terhadap kaum minoriti dan penduduk pribumi.

Benua Asia menyaksikan konflik Palestin-Israel yang telah tercetus semenjak 15 Mei 1945 masih berterusan sehingga kini seolah-olah dunia dan masyarakat Asia gagal untuk memberikan jawapan dan solusi kepada konflik ini. Asia Barat juga menyaksikan kebangkitan rakyat Arab pada 2011 yang mencetuskan ketidakstabilan rantau ini bahkan di sesetengah negaranya seperti Syria masih berterusan konflik sehingga bertukar menjadi perang saudara yang menyaksikan lebih 100 000 jiwa yang tidak berdosa terbunuh. Asia Barat merupakan kunci kepada keamanan Asia bahkan Dunia. Jika rantau ini dapat distabilkan maka keseluruh masyarakat dunia akan merasai kestabilan dunia.



Ketegangan juga berlaku di wilayah Parsi yang berkaitan dengan isu nuklear Iran. Ia juga mampu menambahkan lagi ketidakstabilan di kawasan Asia Barat tersebut. Di bahagian Asia Timur juga tidak terlepas daripada sebarang konflik. Isu nuklear Korea Utara hangat diperkatakan. Isu perebutan pulau Diaoyu-Senkaku antara Jepun dan China juga mampu mewujudkan ketegangan di kawasan lingkungan yang mungkin memberikan kesan langsung kepada kestabilan dan keamanan rantau Asia. Konflik harian yang berlaku di Asia Selatan khususnya di Pakistan, Sri Lanka, India dan Bangladesh turut menyumbang sedikit sebanyak kepada ketidakstabilan Asia.
Pendek kata, pelbagai jenis bentuk dan kategori konflik yang berlaku di sekeliling kita setipa hari khususnya di Asia termasuk perang, konflik kelas, konflik agama dan etnik, konflik politik dan konflik antara dan intra komuniti. Tidak harus juga kita lupa konflik dalaman yang berlaku hampir setiap hari dalam diri kita sendiri juga memerlukan perhatian dan penyelesaian kerana setiap konflik luaran berlaku adalah natijah atau cerminan daripada konflik dalaman hati yang bermasalah.

Walaubagaimanapun, selagi mana watak yang terlibat bernama manusia, konflik akan terus berlaku dan bakal berlaku di mana-mana sahaja bahkan konflik kemanusiaan telah berlaku jutaan tahun lampau semenjak awal kejadian manusia iaitu ketika pergaduhan antara Habil dan Qabil. Kita tidak mampu menghalangnya namun kita mampu menghadapinya bahkan mengelakkannya berulang semula pada masa depan Sebagai masyarakat sivil yang cintakan keamanan, kita harus terus berusaha memastikan keamanan berkekalan khususnya di Asia untuk generasi masa depan kerana seperti kata pepatah Inggeris, “Kita tidak mewarisi dunia ini daripada generasi nenek moyang tetapi kita meminjam dunia ini daripada generasi masa hadapan” atau “We are not inheriting this world from our past generation but indeed we are borrowing it from our future generation.

Komitmen Dunia Pada Keamanan

Justeru amat penting masyarakat Asia berusaha mengekalkan keamanan dan meminimakan konflik kerana Asia menyumbang kepada 60 peratus kepada keamanan dunia berdasarkan kedudukan populasi semasa. Penting juga untuk penduduk Asia turut bersama-sama masyarakat dunia untuk menunjukkan komitmen dan iltizam yang tinggi untuk mendokong prinsip keamanan sejagat.
Antara initipati penting Deklarasi Hak Asasi Manusia ialah menjamin kemanan dan keselamatan. Ini menggambarkan iltizam dan komitmen yang tinggi masyarakat dunia dan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) khususnya ke arah mewujudkan keamanan sejagat. Sebagai contoh komitmen tersebut, mantan Setiausaha Agung PBB Boutros-Boutros Ghali antara yang terawal menggagaskan idea pembangunan keamanan atau peace building pada 1992 di mana beliau membentangkan inisiatif antarabangsa untuk mewujudkan keamanan di Negara-negara yang baru bebas daripada peperangan dan konflik berdarah. PBB kemudiannya telah mengadaptasi kemapanan pembangunan keamanan atau sustainability in peacebuilding dengan pembentukan Suruhanjaya PBB untuk Pembangunan Keamanan pada 2005 di mana ia mempromosikan strategi pembangunan keamanan yang lebih mapan dan mantap.

Pada September 2000, pimpinan telah berkumpul dan berikrar untuk menerima sebulat suara United Nations Millennium Declaration 2000 yang akhirnya dikenali sebagai Millennium Development Goals (MDG) yang bermatlamatkan untuk mengurangkan kemiskinan tegar dengan mensasarkan matlamat mengikut masa yang telah ditetapkan menjelang 2015. Perkara 8 dalam deklarasi jelas menyebut komitmen kepada keamanan, keselamatan dan perlucutan senjata yang bermatlamatkan untuk membebaskan manusia daripada perang, menyelamatkan nyawa tidak berdosa, dan membuang bahaya yang dating daripada senjata pemusnah besar-besaran (WMD).
MDG secara ringkas memfokuskan 8 perkara iaitu; membasmi kemiskinan tegar dan kelaparan; mencapai sasaran pendidikan asas pertama; mempromosikan keseimbangan gender dan menghakupayakan wanita; mengurangkan kematian kanak-kanak; membaiki kesihatan keibuan; memerangi HIV/AIDS, Malaria dan pelbagai penyakit; memastikan kemapanan alam sekitar; dan membina rakan perlaksana global untuk pembangunan.

Kesemua-semua lapan perkara merupakan penyebab utama atau root cause kepada terhalangnya sebuah dunia yang aman dan makmur. Jika semua perkara ini dapat ditangani bersama oleh semua masyarakat Asia dan dunia, maka risiko berlakunya peperangan dan konflik akan dapatkan diminimakan kerana punca utama kepada terhalangnya keamanan dan kemakmuran sudah dapat ditangani sehingga ke akar umbi. Kata kunci kepada MDG adalah pembangunan seimbang antara fizikal dan sumber insan.

Sebagai komitemn bersepadu, PBB juga telah mengisytiharkan 21 September setiap tahun sebagai International Day of Peace. Hari Keamanan Sedunia ini disambut setiap 21 September setiap tahun to mengiktiraf pihak yang bekerja keras untuk menamatkan konflik dan mempromosikan keamanan. Hari Keamanan Sedunia adalah hari tanpa keganasan. Dengan adanya hari yang penting ini, UN telah memfokuskan segenap usahanya untuk mewujudkan keamanan global dan menggalakkan masyarakat dunia untuk bekerja ke arah menjayakannya.

Sebagai meperkukuhkan iltizam dan komitmen masyarakat dunia juga, Pertubuhan Kerjasama ASEAN juga turut tidak ketinggalan untuk menyatakan komitmen dan azam yang sama. Ini terzahir in dalam Asean Declaration of Human Rights 2012 khususnya Artikel 38 yang menjamin warga Asean dengan hak untuk menikmati keamanan dalam kerangka keselamatan dan kestabilan Asean serta menggalakkan pengukuhan semangat setiakawan dan peningkatan kerjasama di kalangan Negara anggota atau dalam klausa English lengkapnya,
“Every person and the peoples of Asean have the right to enjoy peace within an Asean framework of security and stability, neutrality and freedom, such that the rights set forth in this Declaration can be fully realized. To this end, Asean Members States should continue to enhance friendship and cooperation in the furtherance of peace, harmony and stability in the region.”
Inilah semangat Asean yang mahukan komuniti rantau Asia Tenggara hidup secara aman, stabil dan penuh setiakawan yang akhirnya menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran benua Asia. Namun apa yang paling penting ialah terjemahan deklarasi dan komitmen dalam bentuk tindakan yang lebih konkrit dan mapan.

Sekali lagi ditegaskan bahawa Asia merupakan kunci kepada keamanan dunia. Namun yang sedang dan bakal dirintis merupakan jalan yang berliku dan mencabar. Namun ianya tidak mustahil jika komitmen keamanan dunia diterjemahkan dan diterapkan secara beransur dalam sistem pendidikan kepada generasi muda agar nilai-nilai keunggulan keamanan, kestabilan dan keharmonian dapat dihayati dan dipertahankan oleh generasi muda Asia. Mungkin Pendidikan Keamanan atau Peace Education ini adalah jawapan terbaik untuk melihat 50 tahun mendatang, konflik di benua Asia akan dapat diminimakan serendah mungkin, maka wujudlah dunia aman yang diidamkan semua insan.


Tiada ulasan: