Oleh: Jufitri Joha
Naib Presiden Antarabangsa ABIM
Sumber: Majalah Al Islam September 2013
Ketika artikel ini ditulis, Mesir bumi Kinanah masih terus bergolak. Semenjak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada 1924 Mesir tidak terlepas daripada terus bergolak dan menjadi perhatian dunia. Dalam sejarah negara moden Mesir, sekurang-kurangnya telah berlaku 4 kali revolusi termasuk revolusi 18 hari pada 25 Januari 2011 bersamaan 21 Safar 1432H yang menumbangkan Hosni Mubarak yang telah berkuasa selama hampir 30 tahun.
Awal Julai yang lalu, Morsi pula ditumbangkan melalui satu rampasan kuasa yang amat dramatik oleh pihak tentera yang diketuai oleh Jeneral Abdul Fatah Sisi hanya selepas satu dua hari pihak anti Morsi atau kumpulan Tamarroud mendesak beliau untuk melaksanakan baki 54 janji politik untuk perubahan dan penyelesaian masalah rakyat. Tindakan tentera tersebut seolah-olah dirancang dan didalangi oleh tangan asing kerana tindakannya begitu cepat dan pantas sekali. Perlu diingat, tragedy ini didahului dengan dua peristiwa penting yang berlaku di sekitar rantau bergolak tersebut seolah-olah ia dirancang dengan baik dan tersusun. Peristiwa pertama ialah demonstrasi di Dataran Taksim Istanbul yang dimanipulasi untuk menumbangkan Perdana Menteri Turki Erdogan secara pilihan jalan raya. manakala peristiwa kedua ialah peralihan Amir Qatar daripada Sheikh Hamad Khalifa at Thani kepada anaknya Sheikh Tamim yang dilihat lebih pro Barat. Peralihan kuasa sebegini dilihat sesuatu yang jarang berlaku kecuali mempunyai ‘grand design’ yang tersembunyi.
Justeru, rampasan kuasa di Mesir mempunyai pertalian rapat dengan dua peristiwa sebelumnya yang dilihat sebagai 3 peristiwa berbeza namun jika diamati secara cermat ia mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain.
Ada beberapa sebab mengapa peristiwa kematian demokrasi Mesir ini berlaku. Pertama adalah kerana pihak Barat khususnya Amerika yang tidak menyenangi kepimpinan Morsi yang bercitrakan gerakan Islam Ikhwanul Muslimin. Di saat gerakan Islam sudah bersedia terlibat secara aktif dalam demokrasi pilihanraya atau dalam konteks Ikhwanul Muslimin semenjak 1984 dan mereka memang, maka meminjam kata-kata Profesor Tariq Ramadan, ‘adakah Barat sudah bersedia menerima demokrasi Arab?’. Jawapannya sudah jelas tidak dan buktinya rampasan kuasa yang menumbangkan Morsi. Barat tidak akan membiarkan sahaja perubahan landskap politik dunia Arab dikuasai oleh pemimpin gerakan Islam. Menyorot lebih awal kejayaan Ikhwanul Muslimun di Sudan sebagai contoh dalam berpartisipasi dalam demokrasi, Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, Penolong Setiausaha Agung Kesatuan Ngo Islam Sedunia (UNIW) menyebut bahawa,
“Sudan sebagai Negara yang paling awal dikuasai oleh Ikhwanul Muslimin telah menghadapi sekatan ekonomi yang sangat parah dan berakhir dengan diputuskan bekalan minyak Sudan dengan memaksakan kemerdekaan Sudan Selatan yang memiliki 90 peratus minyak Sudan pada 9 Julai 2011. Kemerdekaan Sudan Selatan bermakna Sudan Utara yang majoriti penduduknya beragama Islam telah dilumpuhkan daripada segi ekonomi keseluruhannya”.
Ini belum lagi mengambil kira perpecahan di bahagian Barat Sudan iaitu Darfur yang turut mendapat liputan negatif daripada media antarabangsa. Sudah tentu ini semua dirancang bagi melumpuhkan kepimpinan yang mempunyai citra Islam dan semangat kepimpinan yang mahu mengembalikan kegemilangan dunia Islam. Erdogan juga diganggu sedemikian rupa namun sokongan padu rakyat dan reformasi ekonomi yang dilakukan olehnya tidak berjaya memburukkan imejnya apatah lagi menjatuhkannya. Barat tidak mahu gandingan D8 dunia Islam (yang digagaskan oleh Erbakan sebelumnya) yang terdiri dari Turki, Mesir, Nigeria, Pakistan, Iran, Bangladesh, Malaysia dan Indonesia akan membentuk kekuatan dan kejituan luar biasa untuk dunia Islam. Pastinya konspirasi dirancang bagi memastikan tiada pemimpin bercitra Islam dan ummatik naik melalui sistem demokrasi yang sah.
Sebab kedua kejatuhan Morsi adalah sekuriti kewujudan Negara Haram Zionis. Semenjak kejatuhan para diktator Negara-negara Arab yang berjiran dengannya, Zionis menjadi seolah-olah cacing kepanasan. Ini adalah kerana tiada lagi sekutu-sekutu Arab yang boleh diperkudakan dan diperbudakkan olehnya untuk terus menindas Palestin. Negara Arab monarki seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, UAE dan Qatar turut tidak senang dengan kejayaan Ikhwanul Muslimin menguasai Mesir kerana dikhuatiri impaknya akan meresap ke negara-negara mereka yang akhirnya akan menjatuhkan mereka daripada takhta. Qatar mungkin sedikit bernasib baik kerana adanya Profesor Yusuf al-Qaradhawi yang sentiasa menjadi ‘check and balance’ kepada Amir Qatar namun selepas peralihan kuasa kepada Sheikh Tamim mungkin berlaku sebaliknya. Tidak hairanlah sebagai contoh sejurus selepas kejatuhan Morsi, Kuwait mengumumkan pakej bantuan kewangan kepada Mesir dengan menghantar bantuan bekalan minyak dan diesel bernilai $200 juta sebagai sebahagian bantuan Negara Teluk yang pro Amerika dan anti Ikhwanul Muslimin. Perkara ini tidak berlaku semasa adanya Morsi sehingga Morsi terpaksa berhutang bergadai $4.8 billion dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Morsi dan Kerajaan Freedom and Justice Party (FJP) amat komited membantu Gaza yang dikuasai Hamas. Sepanjang setahun yang lalu, derita rakyat Gaza sedikit berkurangan kesan kelonggaran dan pembukaan sempadan Mesir-Gaza di Rafah. Ngo kemanusiaan dari pebagai dunia Islam termasuk Malaysia seperti Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Aqsa Syarif sedikit mudah untuk menghantar bantuan kemanusiaan langsung ke dalam Gaza. Beza serangan besar-besaran Zionis ke atas Gaza pada 2009 dan 2012 ialah serangan 2009 dilancarkan oleh Tzipi Livni, Menteri Luar Israel dari Kaherah manakala 2012 Israel sudah tidak lagi diberi muka oleh Morsi.
Ini sudah tentu tidak menyenangkan Zionis. Justeru Morsi harus disekat dan dihentikan agar Hamas tidak terus bernafas. Maka pakatan sulit berlaku antara rejim Zionis dengan tentera Mesir bagi menjatuhkan Morsi. Kepimpinan tertinggi tentera Mesir didakwa berada di Tel Aviv sejurus selepas kejatuhan Morsi. Mungkin ada misi rahsia tetapi untuk apa mereka berada di sana? Kita semua sudah boleh menekanya. Kejatuhan Morsi dan Ikhwanul Muslimin melalui FJP jelas mendukacitakan rakyat Gaza kerana pelindung mereka selama hampir setahun telah tumbang secara tragis. Benarlah kata-kata Sheikh Raed Solah Ketua Gerakan Islam di tanah Palestin yang terjajah bahawa kemusnahan yang berlaku di Mesir (merujuk kepada kejatuhan Morsi) akan memberikan kesan negatif kepada agenda pembebasan Masjid al-Aqsa.
Sebab ketiga sudah jelas ialah faktor tentera Mesir. Profesor Ridzuan Othman, Pakar Sejarah Asia Barat dalam satu program ‘talk show’ menyebut bahawa hubungan keruh antara tentera Mesir dan Ikhwanul Muslimin Mesir sudah berlarutan semenjak 1954 lagi. Ia bermula apabila Ikhwanul Muslimin diharamkan dan beberapa pimpinan utamanya dihukum gantung. Ia terus berlarutan sehingga zaman pemerintahan Mubarak di mana Ikhwanul Muslimin terus ditindas, diseksa dan dibunuh hanya kerana mereka mahu mendaulatkan Islam di bumi Mesir. Selepas kejatuhan Mubarak, kuasa dan pengaruh tentera cuba dikurangkan agar Mesir kembali sepenuhnya kepada pemerintahan sivil sedangkan tentera yang memerintah Mesir sebelum ini bukan sahaja menguasai politik Mesir bahkan menguasai 40 peratus ekonomi Mesir merangkumi tepung gandum, janakuasa elektrik, minyak dan Terusan Suez. Tentera juga diberikan bantuan tahunan khas oleh Kerajaan Amerika berjumlah 1.5 billion USD. Rampasan kuasa ini dilihat usaha dan cubaan tentera Mesir untuk mengembalikan semula pengaruh mereka dalam politik Mesir selepas terpinggir beberapa ketika.
Faktor terakhir ialah kegagalan konsep perkongsian kuasa atau ‘power sharing’ di kalangan parti politik di Mesir. Masing-masing berasa merekalah yang paling layak mengetuai Mesir menyebabkan tiada persefahaman dan perpaduan untuk sekurang-kurangnya memberikan sedikit laluan dan masa kepada Morsi dan FJP memerintah sehingga mencapai asas kestabilan dan sehingga pilihanraya yang seterusnya diadakan. Namun sebahagian kecil rakyat Mesir tidak mampu bersabar lalu memilih jalanraya yang akhirnya membuka ruang kepada tentera untuk campur tangan.
Sesungguhnya rampasan kuasa yang jelas ini harus dikutuk oleh masyarakat dunia khususnya masyarakat Malaysia. Ia jelas mencemarkan semangat dan ruh demokrasi di mana Amerika seakan-akan ‘buat-buat’ keliru dalam hal ini. Pertubuhan masyarakat madani di Malaysia seperti ABIM, IKRAM dan Ngo-Ngo lain akan terus menyertai masyarakat antarabangsa memberikan tekanan melalui ‘civil superpower’ kepada pihak-pihak berkaitan seperti Kerajaan Haram Mesir dan Amerika agar mengembalikan semula kuasa sah kepada Morsi atau Mesir akan terus ketinggalan 60 tahun ke belakang sebagaimana yang disifatkan oleh ahli fikir dunia Islam dari Mesir Dr. Muhammad ‘Imarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan