Rayuan untuk Syria
Ahad, November 17, 2013
Ke Mana Nasib Syria
Oleh: Jufitri Joha
Naib Presiden ABIM
Sumber; Majalah Al-Islam Disember 2013 / Muharram-Safar 1435H
Nasib rakyat Syria terus diselubungi awan gemawan mendung yang tidak pasti kesudahannya. 21 Ogos 2013 lepas dunia terus digemparkan dengan penggunaan senjata kimia yang memberikan kesan saraf kepada penduduk Timur Ghoutah iaitu kawasan pinggir Bandar Damsyik dengan 1400 kematian termasuk sebahagian besarnya kanak-kanak yang tidak berdosa.
Bashar al-Assad selaku Presiden Republik yang bobrok terus menafikan penglibatan rejimnya dalam tragedi yang jelas melanggar Konvensyen Senjata Kimia (CWC) yang telah ditandatangani oleh 189 negara di mana CWC telah memperuntukkan pengharaman penghasilan, penyimpanan dan penggunaan senjata kimia yang amat berbahaya. Amat memelikkan sejurus 2 minggu lebih selepas peristiwa Ghoutah, Menteri Luar Syria kelihatan tergesa-gesa menghantar notis kepada Organisation for the Prohibition of Chemical Weapons (OPCW) bagi menyatakan hasrat dan persetujuan Kerajaannya untuk menandatangani CWC. Dunia memerhatikan kepelikan ini dan terus mempersoalkan mengapa sekarang baru Syria sanggup berbuat demikian.
Dunia bertambah pelik apabila Amerika Syarikat mula kelihatan gelisah dan bertindak secara meroyan apabila mendakwa mempunyai bukti penggunaan senjata kimia oleh rejim Bashar dan mendesak agar senjata kimia tersebut dialihkan dari bumi Syria dan mengebom Syria. Amerika tidak risau dan peduli pun nyawa rakyat Syria yang terkorban sebelum penggunan senjata kimia ini tetapi kelihatannya mereka lebih risau jika senjata kimia jatuh ke tangan mujahidin Syria yang menentang Bashar yang bakal digunakan seterusnya untuk melawan Negara haram Zionis.
Nasib rakyat Syria kelihatan terus malap dalam mencari cahaya kemenangan dan sinar keamanan. Rakyat Syria terus bertempiaran lari mencari perlindungan di Negara jiran. Lubnan menerima kebanjiran yang luar biasa memandangkan sempadannya yang amat panjang dikongsi bersama Syria. Lubnan sahaja menjadi hos kepada 1.5 juta pelarian Syria manakala Jordan setengah juta dan Turki 300 000 jiwa. Nasib pelarian Syria di Jordan diberikan perhatian oleh Kerajaan Raja Abdullah namun bilangannya yang semakin meningkat menyukarkan lagi penyaluran bantuan di tambah pula dengan polisi Kerajaan Jordan yang tidak membenarkan Ngo kemanusiaan campur tangan membantu pelarian. Khemah pelarian Za’tari yang terletak di utara Jordan merupakan sebuah penempatan sementara di sebuah padang pasir yang tandus yang hanya layak diduduki oleh unta! Namun pelarian Syria tiada pilihan lain. Pelarian Syria juga bertebaran sekitar Amman dan mereka terpaksa ‘struggle’ bagi meneruskan kehidupan yang tidak menentu. Nasib pelarian Syria di Lubnan lebih mencabar kerana Kerajaan Lubnan langsung tidak mempedulikan mereka namun kecekapan dan keprihatinan Ngo-ngo kemanusiaan meringankan beban yang tidak berkesudahan.
Penulis berkesempatan melawat saksi hidup mangsa-mangsa perang dan pelarian serta para cendekiawan Islam di sekitar Lubnan dan Jordan dan bertanyakan kesahihan penggunaan senjata kimia oleh rejim Bashar dalam tragedi Ghoutah. Hampir kesemuanya yang penulis temui mengesahkan bahawa memang benar Bashar telah melakukannya. Ini menghimbau kita pada peristiwa Hama 1982 di mana lebih 40 000 rakyat Syria terkorban hasil penggunaan senjata kimia oleh bapa Bashar iaitu Hafez al Assad kerana dosanya mereka hanyalah semata-mata menentang kezaliman. Hama ibarat padang jarak padang terkukur dan kesan itu sengaja dibiarkan agar menjadi ‘pengajaran’ kepada rakyatnya yang ingin melakukan penentangan. Murah benar nyawa rakyatnya sendiri sehingga boleh dijadikan bahan bilangan untuk dikorbankan begitu sahaja.
Nasib rakyat Syria terus dicaturkan oleh kuasa-kuasa Barat. Rundingan damai Geneva 2 yang bakal berlangsung 23 November kelihatan terus samar. Ini berikutan keengganan pihak pembangkang berunding selagi Bashar masih enggan melepaskan jawatan sebagai Presiden.
Di tengah-tengah kesamaran ini kelihatan Arab Saudi yang menjadi aktor terpenting rantau Asia Barat dalam ‘check and balance of the regional power’ mula mencari formula dan arah baru khususnya dalam isu Syria. Arab Saudi memang terkenal sejak zaman berzaman merupakan sekutu rapat Amerika namun begitu ada perkembangan terbaru yang menarik tentang Arab Saudi. Raja Abdullah Arab Saudi dilaporkan telah menghantar Putera Bandar Bin Sultan, Ketua Perkhidmatan Perisikan Asing bertemu Presiden Rusin Putin Julai lepas. Menurut Ed Blanche dalam majalah ‘The Middle East’, pemergian Putera Bandar dikhabarkan adalah untuk menawarkan Putin kontrak pembelian senjata bernilai 15 billion dan berjanji tidak akan memberikan ancaman dan saingan kepada kedudukan Rusia sebagai pembekal utama gas ke Eropah. Tawaran tidak datang dengan percuma bahkan dengan syarat penting agar Rusia menarik sokongan terhadap rejim Bashar dan tidak akan membantah sebarang resolusi Majlis Keselamatan PBB berkenaan Syria pada masa hadapan.
Rundingan yang berlaku selama 4 jam ini jelas mempunyai petunjuk dan arah tuju politik luar Arab Saudi yang baru. Menurut sesetengah penganalisis politik dunia bahawa rundingan ini mempunyai kepentingan politik atau ‘political significance’ di mana Arab Saudi sudah mula mengurangkan jarak perhubungan intim dengan Amerika dan mula merapati Rusia. Paling signifikan, Arab Saudi bakal mengurangkan secara beransur pembelian senjata dari Amerika yang telah berlangsung sejak 4 dekad yang lalu bagi memperlengkapkan sistem pertahanannya. Selain itu, sogokan kontrak 15 bilion tersebut juga jelas menggambarkan Arab Saudi bersungguh-sungguh inginkan Rusia menggugurkan sokongan kepada Bashar dan dalam masa yang sama menggandakan usaha membekalkan senjata dan sokongan kepada pejuang rakyat Syria untuk menumbangkan rejim Damsyik.
Arab Saudi juga dikatakan bermain mata dengan Rusia adalah kerana untuk menyekat pengaruh Iran yang bercita cita mewujudkan lingkungan pengaruh politik serantaunya melalui Syria sebagai pintuk utama ke wilayah dominasi Sunni di Levant dan Mediterranean. Bashar banyak bergantung harap dengan Tentera Penjaga Revolusi Iran dan Hizbullat Lubnan (Hizbollah) untuk terus kekal memerintah Syria.Selain itu, Arab Saudi tidak gembira dengan pendekatan politik luar Obama khususnya dalam menangani isu rampasan kuasa di Mesir di mana Obama lebih mengambil pendekatan rekonsiliasi berbanding Arab Saudi dan Negara teluk yang terang-terang mendokong pendekatan keras Jeneral as Sissi bagi menumbangkan Ikhwanul Muslimin secara rampasan kuasa. Arab Saudi amat takut pengaruh Ikhwan merebak ke Arab Saudi sekaligus menggugat keutuhan sistem monarki keluarga Saud. Namun pelik apabila Arab Saudi menyokong pejuang rakyat Syria yang umum diketahui bahawa Ikhawanul Muslimin Syria merupakan sebahagian daripada mereka dan aktor dalam ‘Syrian National Coalition’ atau ini sekadar gimik politik Arab Saudi bagi meneruskan agenda politik mereka.
Menurut Ed Blanche lagi, sokongan Arab Saudi terhadap pejuang rakyat Syria bersama-sama Qatar dan Turki menyebabkan dapat terus bertahan menghadapi asakan Bashar yang didokong oleh Iran, Rusia dan Hizbullat. Puter Bandar dikatakan mempunyai hubungan yang baik dengan Jeneral Salim Idris, Komander Free Syrian Army (FSA). Justeru tidak hairanlah jika ada sesetengah pihak enggan untuk mendokong perjuangan rakyat Syria atas alasan Putera Bandar didakwa sejak awal kebangkitan rakyat Syria secara aman, telah berniat membekalkan senjata kepada rakyat Syria untuk bangkit menentang Bashar secara bersenjata. Namun kenyataan Moadz Khatib bekas Presiden Syrian National Coalition jelas menyebut ketika ucapan di Liga Arab yang lepas menegaskan bahawa rakyat Syria bangkit menuntut perubahan secara aman daripada Bashar dan tidak secara kekerasan dan mengangkat senjata.
Putera Bandar memang dikenali rapat dengan Amerika semenjak zaman mudanya. Pernah memainkan peranan penting bersama CIA untuk membekalkan senjata kepada Mujahiidin Afghanistan menentang Soviet 1979-1989. Pernah membantu pentadbiran Ronald Reagan menjual senjata kepada Iran pada pertengahan 1980an bagi membebaskan tahanan Amerika di Lubnan. Putera Bandar yang juga merupakan anak saudara Raja Abdullah yang pernah bertugas sebagai Duta Arab Saudi di Washington selama 22 tahun. Raja Abdullah telah menamakan beliau sebagai Ketua GID atau Agensi Intelijen Arab Saudi dengan misi utama untuk menumbangkan Bashar.
Persoalan yang terus bermain di kalangan pecinta keamanan khususnya mereka yang ingin melihat perang saudara Syria ditamatkan segera ialah adakah Arab Saudi mampu memainkan peranan yang ‘ikhlas’ bagi membela nasib rakyat dan pelarian Syria atau sekadar bagi memenuhi agenda politik sempit mereka bagi mengekalkan kuasa selaku pemain utama rantau Asia Barat dan Arab. Berdasarkan analisa dan pemerhatian di atas, jawapannya jelas bahawa Arab Saudi tidak boleh diharapkan oleh pejuang rakyat Syria yang tulen untuk menamatkan perang dan berlakunya perubahan politik ke arah yang lebih demokratik. Rakyat dan pelarian Syria harus terus bersabar dan sudah pasti dengan izin Allah pelarian Syria akan terus meningkat ke angka 4 juta tahun depan jika keadaan ketidakpastian politk Syria berterusan dan Negara kuasa besar dan pemain politik serantau terus menerus dengan agenda dan kepentingan survival kuasa mereka. Hulurkan bantuan anda dengan melayari laman Facebook Malaysia Life Line for Syria di https://www.facebook.com/MLL4S
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan