Rayuan untuk Syria
Isnin, Jun 02, 2014
Belia, Budaya Hedonisme dan Konsep Kebahagiaan dalam Islam
Oleh: Jufitri bin Joha, Naib Presiden ABIM
Pengenalan
Menurut Kamus Dewan, hedonisme membawa maksud pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Pengertian ini secara jelasnya lebih cenderung membawa kepada konotasi negatif berbanding positif.
Encyclopedia of Philosophy (2000) sebaliknya mentakrifkan hedonisme sebagai, “…the doctrine that pleasure is the good. There are three varieties of hedonism. Psychological hedonists hold that we can pursue only pleasure; evaluative hedonists that pleasure is what we ought to pursue; reflective hedonists that it is what on reflection gives values to any pursuit”, Takrifan yang dikemukakan daripada sudut kaca mata ahli falsafah barat ini pula cenderung membawa kepada konotasi positif.
Hedonisme merupakan satu kosa kata yang berasal dari perkataan Yunani yang membawa makna keseronokan atau merasai kelazatan yang berlebihan sehingga ianya mendasari kehidupan masyarakat (A. Aziz Deraman, 2011).
Hedonisme amat sinonim dikaitkan dengan generasi muda kerana ia sudah sebati menjadi sebahagian daripada budaya hidup yang lahir daripada era pasca-modenisme yang bertunjangkan kepada budaya konsumerisme. Budaya konsumerisme menurut Cray (1998) is a polite and unquestioned form of hedonism. Istilah hedonisme di Malaysia sudah lama terkenal khususnya sekitar tahun 90 an ketika budaya berhibur sudah sampai ke tahap kemuncaknya dengan penganjuran konsert-konsert hiburan yang dibarisi artis-artis dalam dan luar negara. Budaya ini dilihat berterusan sehingga ke hari ini dan dilihat meresapi tanpa disedari dalam program-program pembangunan belia di Malaysia tidak terkecuali Festival Belia Putrajaya 2014.
Festival Belia Putrajaya 2014 merupakan sebuah acara tahunan belia gilang gemilang bersempena sambutan Hari Belia Negara yang dianjurkan bagi memberikan pengiktirafan dan meraikan belia serta menjadikan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Negara yang mesra belia. Selain itu, ia turut menyediakan a display of energy platform bagi para belia menunjukkan tenaga positif, mencungkil bakat, menyerlahkan potensi dan menghantar mesej jelas kepada masyarakat bahawa mereka adalah aset berharga yang mampu sumbangan besar kepada pembangunan Negara.
Ia juga merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran empat acara sebelumnya iaitu Sambutan Hari Belia Negara 2010, Himpunan Sejuta Belia 2011 dan Himpunan Jutaan Belia 2012 & 2013 yang akhirnya dikembangkan konsepnya menjadi lebih hebat dan bertenaga. Festival yang berlangsung selama 4 hari di tengah-tengah Pusat Pentadbiran Negara ini menyajikan ratusan aktiviti belia yang rencam yang dikategorikan dalam pelbagai segmen-segmen utama. Ia dianjurkan secara santai dan bersahaja memperlihatkan interaksi tidak formal antara pimpinan negara dan pimpinan utama Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan keseluruhan belia dan masyarakat yang hadir bagi meraikan dan menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat bagi menjayakan acara yang gilang gemilang ini. Ia berjaya menarik liputan media yang meluas dan penyertaan hampir 2 juta lebih belia sepanjang festival berlangsung.
Sorotan Ringkas
Persoalan falsafah dan budaya hedonisme yang datang daripada barat ini wajar diperhalusi dan diperbahaskan secara mendalam memandangkan budaya ini telah jelas mengakar dalam sebahagian besar komuniti generasi muda Malaysia khususnya generasi Y. Terdapat pelbagai pandangan berkenaan konotasi hedonism. Ada yang mendakwa ianya membawa kesan baik, tidak kurang juga yang berpendapat ianya membawa kesan buruk dan ada juga berpendapat ianya mempunyai kedua-dua kesan serentak kerana tidak semua yang datang daripada Barat mempunyai konotasi negatif. Dalam persoalan ini, Veenhoven (2003) jelas menyebut bahawa,
“There is a longstanding discussion about the merits of this hedonism. Some praise it as natural and healthy, but others equate hedonism with overindulgence and moral decay. The mixed feelings about hedonism are reflected in the connotations surrounding the word. On one hand hedonism is associated with good taste and the art of living well, on the other hand with addiction, superficiality, irresponsible behavior and short-sighted egoism”.
Di satu sudut pandangan alam hidup Islam, ia menekankan konsep kebahagian hakiki dalam kehidupan manusia. Sejauh manakah falsafah dan budaya hedonisme ini selari dan ‘compatible’ dengan Islam. Dalam Islam, tidak semua konsep yang datang daripada Barat itu bercanggah dengan Islam kerana sesuatu perkara keduniaan secara umumnya dianggap harus sehingga ada dalil dan petunjuk menunjukkan ianya dilarang dan diharamkan. Ada sesetengah budaya dan falsafah yang dianggap asing dalam masyarakat Islam, namun ia didapati bersesuaian dan ada yang menepati ruh Islam berdasarkan sabdaan Nabi sallallahualaihiwasallam, “Hikmah itu umpama barangan umat Islam yang hilang, di mana sahaja ia dijumpai maka terlebih berhak untuk umat Islam mengambilnya semua” (Riwayat Imam at Tarmizi dan Imam Ibnu Majah). Bahkan dalam beberapa kes, budaya dan falsafah yang dianggap datang dari Barat sebenarnya berasal daripada tradisi Islam yang diciplak dan diadaptasi oleh pihak Barat. Sebagai contoh konsep demokrasi yang dilihat hasil ciptaan Barat, sebahagian prinsipnya menepati dengan semangat dan ruh Islam. Konsep demokrasi ini seterusnya diadaptasi dan disesuaikan agar berbeza dengan konsep takrifan Barat yang menjadi rakyat sebagai ‘tuhan’ dalam menentukan dalam segala hal-hal. Jika benar Hedonisme mempunyai ciri-ciri yang bersesuaian dengan nilai universal Islam maka ia diibaratkan hikmah yang hilang dan berhak di ambil dan diamalkan semula oleh umat Islam.
Bentham (1748-1832) sebagai contoh menyebut bahawa tujuan utama kehidupan ialah mencari kenikmatan dan menghindari kesakitan yang ditakrifkan oleh beliau sebagai perasaan dan dan pengalaman yang tidak menyenangkan seperti dengki, putus asa, irihati dan sakit mental. Kelihatan makna yang didefinasikan oleh Bentham berkaitan kesakitan tidak mempunyai apa-apa masalah bahkan selari dengan Islam.
Kebahagian atau sa’adah dalam Islam membawa makna yang lebih ‘definite’ dan berdasarkan dasar yang kuat iaitu al-Quran dan as-Sunnah serta merangkumi kebahagian bukan sahaja di dunia tapi juga di akhirat sedangkan takrifan hedonism menurut Farid (2009) tidak definite, berubah-rubah, relatif dan berdasarkan kerencaman pemikiran dunia barat. Farid menyebut lagi dalam menggambarkan kenisbian takrifan barat berkenaan kebahagian, “The utilitarian will define happiness based on their practical purposes. The hedonistic school will define happiness based on pleasure and pain”.
Sementara itu, Profesor al-Attas pula menyebut tentang kekeliruan kita dalam menyamakan kebahagian dengan ‘pleasure’ and ‘amusement’ yang sinonim dengan hedonisme sedangkan makna sebenar kebahagian berbanding dengan ‘misery’ berlaku dalam nurani dalaman manusia. Walhal hedonisme seperti yang difahami hanya mementingkan kebahagian luaran (fizikal) dan bersifat sementara berbanding kebahagian dalaman dan berterusan.
Abdul Ghafar dan Zaleha (2008) pula mengklafisikasikan budaya hedonisme sebagai salah satu daripada isu gejala sosial yang menyumbang kepada proses de-islamisasi. Hedonisme disifatkan sebagai satu resapan negatif ke dalam masyarakat Islam yang menekankan kepada pegangan falsafah yang mementingkan kebebasan manusia sehingga ke tahap menjadikan hiburan sebagai tuhan. Budaya lebih membawa keburukan daripada kebaikan. Ia dianggap oleh sesetengah pihak sebagai nilai kebaikan yang setaraf dengan nilai moral yang didasari oleh keseronokan. Secara ringkas, budaya ini mengajak kepada nilai yang nisbi dan bebas dan tidak bersandarkan kepada unsur ketuhanan yang menjadi asas kepada penentuan sesuatu nilai. Sesuatu yang dianggap mendatangkan keseronokan dan mengurangkan kesakitan terhadap sesuatu individu itu menjadi kayu pengukur utama bagi menentukan sesuatu perbuatan itu baik atau sebaliknya. Peranan agama sebagai kayu pengukur yang syumul bagi sesuatu perbuatan atau tindakan tertentu tidak lagi penting bagi seseorang individu. Ini jelas mendatangkan kekacauan dan kekeliruan dalam masyarakat kerana tidak lagi wujud satu kayu pengukur utama yang menjadi panduan untuk semua.
Kamal Hasan (2013) pula mengkategorikan arus budaya liberal dan hedonistik yang melanda daerah kota di Negara ASEAN sebagai sebahagian masalah-masalah bersama umat Islam Nusantara. Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) A. Aziz Deraman (2011) turut mengukuhkan hujah bahawa bahayanya konsep yang berasal dari Barat ini dengan kesepakatan para budayawan, pemikir dan pimpina masyarakat. Beliau turut menambah bahawa Hedonisem akan menjadi penghalang kepada kemajuan Negara. Ini jelas menggambarkan bahawa hedonisme di sisi pandangan ilmuwan Islam cenderung membawa konotasi negatif berbanding positif.
Justeru, persoalan ini wajar dibahaskan secara mendalam daripada perspektif Islam dan tradisi ketimuran sama ada hedonisme compatible dengan Islam dan bersesuaian dengan generasi Y Malaysia kerana Malaysia yang menjadi sebahagian masyarakat Asia dikenali nilainya yang kuat berpegang dengan agama seperti yang disebut Anwar (1997) dalam Gelombang Kebangkitan Asia bahawa kerohanian dan keagamaan berakar umbi dalam psyche masyarakat Asia.
Secara ringkas definisi kebahagian dalam Islam yang hakiki menurut Imam al Ghazali ialah tiada kebahagian melainkan dengan ilmu dan ibadah (Fariza, Salasiah & Jurairi, 2013).
Dalam realiti program pembangunan belia seperti Festival Belia Putrajaya 2013, budaya hedonisme dilihat turut meresap dan menular dalam sesetengah aktiviti yang dijalankan. Sebagai contoh Himpunan Jutaan Belia 2012 melihat kehadiran kumpulan penyanyi terkenal Korea K-Pop yang mendatangkan bantahan daripada sesetengah pihak yang melihat kehadiran mereka sebagai meningkatkan budaya hedonisme di kalangan belia di samping imej mereka yang amat tidak sesuai dengan nilai agama dan adat ketimuran. Sejauh mana budaya hedonisme memberikan impak negatif dan positif kepada penganjuran aktiviti belia dalam festival dan sejauh mana juga penganjuran aktivitinya berjaya membawa impak positif para belia mencari makna sebenar kebahagian dengan pengisian-pengisian bermanfaat yang memberikan kesan jangka panjang yang positif pasca festival belia yang mereka sertai. Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaludin dipetik menyebut bahawa,
“Saya tidak mahu festival belia hanya menjurus ke arah hiburan saja. Hiburan itu ada, tapi kita seimbangkan program kita dengan acara yang memberi manfaat ilmu dan kerohanian”.
Jawapan yang dilontarkan di atas akan memberikan jawapan yang jelas kepada hasrat yang diutarakan oleh Menteri Belia dalam kenyataan beliau dan bakal membantu memperbaiki penganjuran festival belia ke arah yang lebih bermanfaat dan membantu para belia mencari makna kebahagian yang sebenar dalam kehidupan jangka panjang mereka. Namun kelihatan berdasarkan penganjuran Festival Belia Putrajaya 2014 baru- baru ini masih berleluasa pentas –pentas hiburan yang tidak mempunyai mesej yang baik dan membina.
Tingkah Laku Belia dan Hedonisme
Siti Rabaah (2012) dalam kajian PhD beliau menyorot ringkas berkenaan hedonisme sebagai gaya pemikiran dan gaya hidup belia. Hedonisme menjadi landasan pemikiran belia dalam menentukan pegangan dan prinsip hidup iaitu keseronokan, kesenangan dan kenikmatan. Beliau mengambil contoh ‘The Lost Generation’ di Amerika yang sudah tidak lagi bersungguh dalam membina kehidupan dan bekalan hidup akibat penumpuan generasi belia Amerika kepada gaya hidup bebas untuk mencari keseronokan hidup. Hedonisme yang disorot oleh Siti Rabaah daripada Chaney (2003) juga merupakan sebagai salah satu gaya hidup semasa generasi belia selain daripada 1.) gaya hidup industri 2.) gaya hidup iklan 3.) gaya hidup jurnalis dan 4.) gaya hidup mandiri.
Hedonisme yang menjadi sistem nilai kepada gaya hidup belia ini akan melahirkan penyakit-penyakit sosiobudaya seperti dadah, gay, filem yang membangkitkan nafsu, eksploitasi wajah dan tubuh wanita dan memakai barangan mewah yang kehilangan adab dan obses terhadap gaya hidup sensasi yang berkiblatkan nafsu.
Siti Rabaah turut menyenaraikan faktor penyebab tingkah laku hedonisme belia Malaysia. Antara lain :
1.) Gaya pemikiran selepas Negara dijajah,
2.) Gaya pemikiran terhadap globalisasi,
3.) Gaya hidup aliran media massa,
4.) Gaya hidup penuh hiburan,
5.) Gaya hidup hedonomik.
Kejatuhan Andalus
Almarhum Sheikh Muhammad al Ghazali as Saqqa pernah memperihalkan Malaysia sebagai Andalus kedua. Ini mengingatkan kita dengan kejatuhan Andalus pertama di Sepanyol. Menurut Rosli (2013) antara faktor kejatuhan Andalus dan yang melemahkan umat Islam di sana ialah dengan kemunculan al Ziryab. Al Ziryab terkenal dengan nyanyiannya yang memuji dan memuja pemimpin dan golongan bangsawan di Baghdad, Jodohnya di Baghdad tidak lama apabila dihalau oleh khalifah atas faktor fitnah penyanyi-penyanyi lain terhadap beliau.
Al Ziryab berhijrah dan mencuba nasib di Cordoba pada zaman pemerintahan Abdul Rahman II, ternyata persembahan beliau mendapat sambutan daripada penduduk Andalus yang belum tercemar dengan hiburan dan nyanyian hatta sehingga di istana. Beliau mengajar muzik dan nyanyian, menubuhkan kumpulan muzik, memperkenalkan fesyen pakaian untuk setiap sambutan dan musim dan mengadakan sambutan yang disertakan tarian dan muzik yang akhirnya disertai kaum wanita. Abdul Rahman II walaupun amat mencintai ilmu tetapi baginda tidak menghalang aktiviti al Ziryab. Al Ziryab terus menyumbang kepada pengikisan jihad dan perjuangan. Beliau juga menjadi sangat berpengaruh sehingga turut mengikis pengaruh ulama dalam masyarakat Andalus.
Kita amat bimbang kerana simpton-simpton tersebut sudah pun lama bertapak dan bersarang di Malaysia. Kita gagal atau tuli untuk mengambil iktibar sehingga kita hampir mengulangi kitaran yang sama seperti kata-kata George Santayana, “Those who cannot remember the past, are condemned to repeat it”. Hamka ditanya oleh anakandanya sama ada sejarah mengulangi dirinya, lantas Hamka menjawab tidak bahkan perangai dan perilaku manusia di setiap zaman akan menentukan.
Rujukan
A. Aziz Deraman (2011) Geger Sokmo, Shah Alam, Oasis Books Sdn. Bhd.
Anwar (1997) Gelombang Kebangkitan Asia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Ghafar dan Zaleha (2008) Dakwah dan Cabaran De-Islamisasi di Malaysia, Shah Alam, Karisma Publications Sdn Bhd.
Cray (1998) Postmodern Culture and Youth Discipleship, Commitment or Looking Cool? London: Grove Books Limited.
Farid (2009) ‘Happiness in Islam’, http://farshah-ibanah.blogspot.com/2009/11/happiness-in-islam.html (diakses Februari 2013).
Fariza, Salasiah, Jurairi (2013) Personaliti Dari Perspektif al-Ghazali, Bangi, Penerbit UKM.
Festival Belia Putrajaya 2013 (2013) ‘National Youth Day’, http://www.festivalbelia.gov.my/index.php/en/pengenalan/hbn-2012.html (diakses Julai 2013).
Gooling (2000) Encyclopedia of Philosophy, London: Routledge.
Kamal Hasan (2013) Kesatuan Pandangan Alam (Worldview) Sebagai Asas Kerjasama Umat Islam, Belum diterbitkan di IKIM.
Khairy Gembira Festival Belia Putrajaya Dapat Sambutan Baik (2013) http://www.bharian.com.my/articles/KhairygembiraFestivalBeliaPutrajayadapatsambutanbaik/Article/, (diakses Julai 2013).
Rosli (2013) Era Kegemilangan Andalus, Antara Fakta & Iktibar, Sungai Buloh, Best Seller Publication.
Siti Rabaah (2012) Faktor Psikososial Mempengaruhi Tingkah Laku Hedonisme Dalam Kalangan Pelajar IPT Di Malaysia, Tidak Diterbitkan.
Veenhoven (2003) ‘Hedonism and Happiness’, Journal of Happness Studies, no.4, pp. 437-457.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan