Rayuan untuk Syria
Rabu, September 03, 2014
Memahami dan Mendekati Belia, Sebuah Definisi.
Oleh : Jufitri bin Joha
Ketua Eksekutif, Sekolah Pembangunan Kerja Belia dan Komuniti (SPKB)
Tersiar: Majalah I September 2014
Belia di Malaysia menurut Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007 adalah mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun. Ini merupakan satu takrifan yang unik berbanding dengan negara-negara lain. Begitu juga negara jiran kita Brunei mendefinisikan belia pada had umur yang sama cuma bezanya negara Brunei tidak menghadkan umur untuk pemimpin belia. Manakala sebuah lagi negara jiran Singapura mentakrifan belia dalam kelompok umur 15 hingga 35 tahun.
Kebanyakkan negara mempunyai definisi mereka yang tersendiri berdasarkan faktor sosio budaya, politik dan ekonomi di negara masing-masing. Justeru setiap negara mempunyai hujah masing-masing yang harus dihormati sebagaimana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghormati definisi belia negara-negara anggotanya walaupun PBB mentakrifkan belia sebagai kelompok yang berumur di antara. 15 sehingga 24 tahun. Definisi PBB ini telah dirumus sempena Tahun Belia Antarabangsa 1985 dan diterimapakai dalam Perhimpunan Agung PBB. Menurut Dato’ Saifuddin Abdullah, Pengerusi Akademi Belia bahawa takrifan belia mengikut umur bukanlah yang sempurna, belia juga boleh ditakrifkan mengikut perspektif dan aspek lain seperti sosiologi, psikologi dan antropologi.
Saya masih ingat ketika menuntut di United Kingdom (UK) dalam bidang Sarjana Pengajian Komuniti dan Belia di mana dalam satu perbincangan, saya ditertawakan oleh rakan-rakan perbincangan dari negara lain termasuk pensyarah saya kerana memberitahu bahawa takrifan belia di Malaysia dalam lingkungan umur 15 hingga 40 tahun! Malah saya masih ingat Dr. Howard Williamson, pakar polisi belia Eropah dari Universiti Glamorgon, Wales amat tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang keunikan takrifan belia Malaysia. Kerisauan tentang takrifan belia juga turut dikongsi oleh bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek apabila Kementerian menghadapi kesukaran apabila menghantar delegasi belia Malaysia ke program antarabangsa di mana peserta negara lain jauh lebih muda dari peserta Malaysia. Ini sesuatu yang memalukan apatah lagi jika peserta muda negara lain jauh lebih bertenaga dan aktif dalam mengambil bahagian. Menteri Belia yang baru juga menyuarakan komiten yang sama untuk meminda takrifan umar belia.
Takrifan belia di Malaysia mempunyai keunikannya tersendiri kerana persatuan belia mempunyai pengaruh dan peranan yang penting dalam struktur sosial masyarakat. Pertubuhan belia juga amat sinonim dalam melahirkan pemimpin-pemimpin negara yang memahami isu belia dan masyarakat. Jika disenaraikan, sudah tentu ia memerlukan berkajang-kajang kertas untuk ditulis, cukup sekadar menyebut pimpinan utama negara dan masyarakat seperti Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Encik Ahmad Azam Abdul Rahman, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, Dr. Yusri Mohamad, Dato’ Abdul Halim Kadir, Profesor Dato’ Dr. Osman Bakar, Dato’ Saifuddin Abdullah dan ramai lagi. Justeru pertubuhan belia di Malaysia mempunyai peranan yang signifikan dan kebiasaannya dipimpin oleh seorang yang sudah stabil dari segi status sosial dan ekonomi yang secara idealnya berada pada lingkungan umur 30 hingga 40 tahun. Lingkungan umur ini atau lebih tepat pada awal 30an merupakan masa terbaik untuk mereka memimpin sebuah pertubuhan belia yang amat mencabar peranannya dalam menangani isu belia dan masyarakat.
Sebagai sebuah negara maju, pertubuhan belia di United Kingdom lebih bersifat kelab kebajikan dan sosial belia. Peranan mereka agak terbatas dan kurang menonjol dalam isu-isu utama berkaitan belia. Di sana peranan pekerja belia melalui kesatuan sekerja pekerja belia lebih menonjol dan terkehadapan dalam memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan belia. Saya pernah terlibat secara langsung mengambil pengalaman menyertai Community and Youth Worker Union (CYWU) berpusat di Birmingham sebagai jawantankuasa pelajarnya. Pada ketika CYWU amat aktif memperjuangkan isu agar belanjawan untuk ‘youth services’ tidak dipotong oleh kerajaan bahkan ditingkatkan demi kepentingan masa depan belia di sana. CYWU dianggotai oleh pekerja-pekerja belia yang muda mahupun yang sudah berumur 60 tahun ke atas selama mana mereka terlibat dalam kerja-kerja belia profesional. Pekerja belia merupakan satu profesyen dan kerjaya yang stabil dan diiktiraf oleh Kerajaan Britain. Walaupun CYWU lebih cenderung kepada Parti Buruh namun ia tidak menghalang mereka untuk memperjuangkan isu belia secara non-partisan, matang dan profesional.
Jika difahami senario dan latarbelakang di atas, maka kita mungkin memahami mengapa takrifan belia Malaysia agak berbeza dengan negara-negara maju di Eropah. Namun dalam mempersiapkan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020, Kementerian Belia dan Sukan sudah mula menyemak semula Dasar Pembangunan Belia Negara (1997) dan bersedia untuk meminda takrifan belia dengan mengehadkan kepada 30 tahun ke bawah menjelang tahun 2020. Dasar yang penting sebegini seharusnya disemak setiap lima tahun bagi memastikan kerelevanannya dengan arus perkembangan semasa.
Banyak istilah yang digunakan untuk menggambarkan kelompok muda ini ia meliputi belia, anak muda, generasi Y, remaja, anak dara, anak teruna, pemuda dan pemudi, orang muda dan generasi muda. Belia merupakan istilah formal yang digunakan dalam Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007, istilah anak muda adalah istilah bagi yang mencapai umur 16 tahun menurut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 manakala istilah-istilah lain digunakan dalam percakapan harian. Ada juga sesetengah generasi muda yang agak alergik dengan istilah belia kerana ia biasanya dikaitkan dengan mat belia yang skema dan terlibat dengan persatuan belia. Ada juga yang membahagikan kelompok belia ini kepada tiga peringkat umur. Sebagai contoh Dato’ Mohd Khir Toyo, mantan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam ucapannya bersempena persidangan Mesyuarat Agung Tahunan MBM beberapa tahun dahulu membahagikan belia kepada belia remaja, belia bekerjaya dan belia dewasa. Pembahagian ini dibuat bagi memudahkan mengenalpasti kelompok sasar dan kaedah mendekati keperluan dan kemahuan setiap kelompok belia yang berbeza.
Walau apa pun istilah dan takrifan yang digunakan untuk kelompok muda ini, apa yang penting ialah mereka merupakan satu kelompok yang amat penting yang diberikan perhatian khusus di sisi Allah, Rasulullah, pemimpin-pemimpin dan masyarakat kerana mereka merupakan sebuah modal yang amat berharga dan bermanfaat jika betul-betul dibangunkan dan digilap. Mereka merupakan kelompok manusia yang kuat yang berada di antara dua kelemahan seperti disebutkan oleh Allah dalam surah ar-Rum ayat 54. Demikian, ruangan ini seterusnya bakal membincangkan isu yang amat penting ini yang berkaitan dengan belia, pembangunan belia, pembangunan komuniti, kerja belia dan isu-isu menarik berkaitan belia seperti memahami jurang generasi, memahami generasi Y, mengapa persatuan belia lesu, peranan belia di zaman Rasulullah dan lain-lain. Sudah tentu perbincangan selepas ini akan dikupas secara integrasi antara teori, polisi dan praktikal yang mampu memahamkan pembaca bahkan menyemai kesedaran tentang kepentingan kepada sebuah usaha yang mengarah kepada pembangunan belia yang positif.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan