Rayuan untuk Syria
Rabu, Oktober 29, 2014
KENYATAAN MEDIA
KENYATAAN MEDIA
28 OKTOBER 2014 / 4 MUHARRAM 1436 H
PARLIMEN BELIA DAN DUN BELIA SEBAGAI WADAH IDEA DAN SUARA GENERASI MUDA
Bermula minggu lepas sehingga awal November, Malaysia telah mengorak langkah ke hadapan memasuki fasa baru dalam dunia pembangunan dan pergerakan belia apabila dilanda dengan demam pilihanraya Parlimen Belia di seluruh Negara amnya dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia di Negeri Sembilan khususnya.
Ini merupakan satu perkembangan yang baik dan sihat dalam dunia pembangunan belia kerana ia merupakan platform rasmi yang dapat mengangkat tahap partisipasi belia dalam proses pembuatan dasar yang berkait rapat dengan isu mereka sendiri. Kombinasi ‘adult-youth decision making’ diyakini dapat memberikan impak yang positif kepada pembangunan Negara dan Negeri.
Di samping itu, kewujudan Parlimen dan DUN Belia merupakan tempat terbaik untuk mencungkil dan mengasah bakat kepimpinan muda yang seimbang, profesional dan bertaraf dunia. Selain itu, ia dapat memberikan keilmuan dan kefahaman kepada belia tentang proses demokrasi dan peluang memberikan sumbangan maksima dan yang berimpak tinggi dengan menggunakan saluran yang sah dan diiktiraf.
Terdapat juga beberapa ahli ABIM yang bertanding di beberapa kawasan namun mereka mewakili suara individu dan golongan belia yang mereka mewakili. ABIM memberikan kebebasan kepada mereka dengan tidak terlalu memberikan penekanan kepada agenda ABIM kerana pihak ABIM mahu mereka benar-benar mewakili apsirasi dan kehendak generasi muda akar umbi yang cintakan kesatuan dalam bingkai kepelbagaian. Pihak ABIM percaya bahawa Parlimen dan DUN Belia harus diwakili oleh majoriti suara belia dan tidak didominasi oleh agenda dan kepentingan sempit pihak-pihak tertentu yang tidak mendatangkan manfaat besar.
Oleh yang demikian, pihak ABIM ingin menyatakan sokongan dan dokongan kepada kewujudan dan perjalanan Parlimen dan DUN Belia dengan mencadangkan beberapa perkara penting dan utama:
1.) Menyeru semua kelompok dan lapisan belia yang mewakili bagi menggunakan platform dan peluang yang baik ini untuk menyalurkan idea dan pandangan membina untuk kebaikan pembangunan belia, Negeri dan Negara. Pihak ABIM juga ingin menyatakan hasrat agar Parlimen dan DUN Belia ini diwakili oleh pelbagai kelompok belia dan tidak didominasi oleh hanya beberapa kelompok belia sahaja yang bakal mencacatkan objektifnya untuk mengumpul suara majoriti belia.
2.) Menyarankan agar pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) menyediakan latihan khusus dan terbaik untuk ahli Parlimen Belia dan ADUN Belia bagi menghasilkan pemimpin muda yang hebat dan berbakat yang menyumbang kembali kepada pembangunan Negara dan Dunia.
3.) Menasihatkan agar Ahli Parlimen Belia dan ADUN Belia yang terpilih agar menggunakan kesempatan keemasan ini untuk memberikan sumbangan yang terbaik dengan menghasilkan idea dan tindakan yang kreatif dan inovatif demi kebaikan pembangunan belia, Negeri dan Negara. Selain itu, besarlah harapan agar mereka yang terpilih agar benar-benar mewakili aspirasi dan impian generasi muda Malaysia keseluruhannya agar daripada usaha yang murni akan lahir suasana baru ke arah politik dan tata kelola (good governance) yang lebih matang dan subur pada masa hadapan.
Pihak ABIM ingin mengucapkan kepada seluruh masyarakat Belia yang terlibat dalam proses ini dengan ucapan selamat bertanding dan berpartisipasi dengan jayanya. Pihak ABIM mendoakan kejayaan dan kelicinan proses pemilihan dan perjalanan Parlimen dan DUN Belia.
JUFITRI JOHA
NAIB PRESIDEN ABIM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan