Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Jumaat, Oktober 10, 2014

Lautan Nasib Yang Tidak Bertepi: Pelarian Syria dan Rohingya di Malaysia


Seperti yang tersiar di Majalah al-Ustaz Volume 3, No. 31
Oleh: Jufitri bin Joha
Naib Presiden ABIM


Tiada yang lebih memeritkan selain daripada terpaksa menjadi pelarian di bumi sendiri. Pelarian jenis ini dikenali Internally Displaced People (IDP), mereka terbuang di bumi sendiri angkara perang dan dendam. 6.5 juta jumlah IDP Syria menurut anggaran Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menghadapi nasib yang tidak menentu apabila terperangkap di dalam Syria kerana perang dan bom meletus di segenap penjuru bumi Syam ini semenjak 2011. Sempadan Negara sudah tertutup rapat kerana Negara-negara jiran sudah tidak mampu menerima kebanjiran pelarian Syria. Pelarian yang sempat keluar dan lari ke luar dari Syria dinamakan pelarian sebenar dan bertebaran di Jordan, Turki, Mesir, Iraq dan Lubnan. Tidak kurang juga yang lari ke Eropah dan juga Malaysia.
Rohingya juga terbuang di bumi sendiri bahkan dinafikan hak kewarganegaraan mereka. Mereka sudah menderita puluhan tahun bahkan lebih awal daripada warga Palestin sendiri. PBB menyifatkan mereka sebagai ‘the most persecuted ethnicity in the world’.

Semenjak 1942, etnik Rohingya merana sehingga mereka menjadi stateless person terbuang ke sempadan Burma-Bangladesh. Ethnic cleansing oleh pihak yang bencikan mereka berlaku hampir di setiap kitaran 20 tahun termasuk pada awal 90an yang menyebabkan sebahagianya lari mencari perlindungan di Malaysia secara besar-besaran pada tahun 1992. Namun semenjak awal 1980an, pelarian Rohingya dilaporkan sudah lari mendapatkan pelindungan di Malaysia. Islamophobia menyebabkan etnik Rohingya diperlakukan lebih kejam daripada binatang seolah-oleh mereka tidak berhak hidup dan tiada langsung hak karamatul insan untuk hidup secara terhormat.

Walaupun jaraknya ribuan kilometer, Malaysia tetap menjadi destinasi pilihan untuk pelarian Syria mengadu nasib kerana Malaysia merupakan sebuah Negara Islam yang selamat dan aman. Jordan, Turki, Mesir, Iraq dan Lubnan sudah tidak mampu menampung kebanjiran pelarian Syria. Suruhanjaya Pelarian PBB (UNHCR) telah mendaftarkan hampir 3 juta pelarian di Negara-negara jiran Syria tersebut di mana 220 000 jiwa di Iraq, 600 000 jiwa di Jordan, hampir satu juta jiwa di Lubnan, 740 000 jiwa di Turki dan lebih 137 000 jiwa di Mesir. Ini merupakan angka yang didaftarkan, ini bermakna setiap seorang pelarian yang didaftarkan akan ada dua atau tiga orang pelarian yang tidak didaftarkan. Negara Eropah seperti Sweden dan Jerman turut menawarkan resettlement namun tempat adalah terbatas. Perang saudara di Syria nampaknya tidak nampak penghujungnya sambil Antonio Guterres Pesuruhjaya UNHCR menyifatkan ianya sebagai krisis kemanusiaan terburuk semenjak pembunuhan beramai-ramai di Rwanda. Senario semasa menjangkakan jika perang masih berterusan, dunia akan berhadapan dengan peningkatan dan kebanjiran pelarian Syria. Setiap minit menurut Majlis Pelarian Norway (NRC) akan ada satu keluarga yang menjadi pelarian. Ini sebuah malapetaka kepada dunia. Lubnan sudah pun menerima kesan malapetaka ini. Lubnan yang mempunyai penduduk hanya 4.5 juta jiwa terpaksa menerima setiap hari purata 2 500 pelarian Syria. Lubnan umpama bom jangka yang akan meeltup bila bila masa dan Bank Dunia menganggarkan Lubnan telah pun kehilangan pendapapatan tahunan 2.5 billion pada tahun 2013. Kebanjiran pelarian Syria akan mengancam untuk mengheret sekurang kurangnya 170 000 penduduk Lubnan ke garis kemiskinan menjelang akhir 2014. Lubnan yang relatifnya tidak stabil daripada segi keamanannya telah menerima tempias konflik apabila turut menjadi medan pertempuran proksi kepada pihak-pihak yang bertelagah di dalam Syria.

Malaysia sudah pun menerima anggaran 10 000 pelarian Syria khususnya di sekitar Lembah Kelang. Mereka sebahagiannya datang sehelai sepinggang dan mengharapakan kehidupan baru sementara menunggu perang yang tidak kunjung tamat. Berbanding pelarian Rohinya yang sudah tidak mempunyai negara di mana meraka ditindas, tidak dibenar mengamalkan Islam dan segala upacara agama, tanah dirampas, rumah dibakar bahkan mereka dibunuh dan diusir. Etnik Rohingya terpaksa melupakan hasrat untuk kembali dan harus terus menerima hakikat bahawa mereka pemegang status pelarian sepanjang zaman.

Menurut sumber maklumat pertubuhan bukan kerajaan (Ngo) Future Global Network (FGN), setakat 31 Mei 2013, jumlah pelarian Rohingya yang berdaftar dengan UNHCR Malaysia adalah hampir 30,000 manakala jumlah yang tidak berdaftar dengan UNHCR pula dianggarkan lebih daripada 20,000 orang. Bilangan kanak-kanak yang berdaftar pula adalah hampir 8,000 orang, sebahagian besarnya tidak bersekolah. Status mereka sebagai pelarian tanpa dokumen yang sah tidak melayakkankan mereka mendaftar dan belajar di sekolah-sekolah bantuan kerajaan di Malaysia. Manakala belajar di sekolah-sekolah swasta pula adalah jauh di luar kemampuan kewangan mereka yang rata-ratanya hidup dalam kemiskinan.

Atas kesedaran dan keinsafan sekumpulan kecil NGO tampil mewakili rakyat Malaysia menyantuni pelarian Syria dan Rohingya ini. Pesanan Sheikh Kurayyim Rajih, Ketua Qurra’ Syam ketika kunjungan sheikh ke Malaysia supaya menjaga kebajikan pelarian Syria menaikkan semangat Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) untuk menyantuni pelarian Syria di Malaysia yang hidup sebatang kara. MLLFS yang berpengkalan di Wangsa Maju digerakkan oleh sekumpulan anak muda yang diketuai oleh Exco ABIM saudara Syahrir Azfar Saleh, saudari Fiza Bahar dan saudari Bazilah Zaki yang prihatin dan komited memberikan bantuan makanan, kewangan dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pelarian Syria di Lembah Kelang. MLLFS juga dalam proses membantu pendidikan anak-anak pelarian dengan cadangan dan usaha penubuhan sebuah sekolah khusus untuk mereka.

Hidup sebagai pelarian tidak menjanjikan masa depan yang cerah. Mereka tidak dibenarkan bekerja dan bersekolah di sekolah kerajaan dan tidak mendapat kemudahan perubatan sebagaimana warganegara Malaysia. Memang hak warganegara Malaysia wajar diutamakan namun tidakkah pelarian Syria dan Rohingya juga manusia yang perlukan kepada pembelaan. Isu ini komplikated namun pihak ABIM sebagai contoh pernah menyeru dan mendesak Kerajaan Malaysia agar menjadi ‘signatory’ kepada Refugees Convention 1951 agar hak pelarian di Malaysia terjamin termasuk kebenaran mendapatkan pekerjaan bagi menyara keluarga dan kehidupan.

Pelarian Rohinya yang sudah lama mendiami bumi Malaysia turut mendapat pembelaan daripada pelbagai Ngo termasuk Ngo bukan Islam khususnya bidang pendidikan anak-anak pelarian. Ngo seperti Muslim Aid, Malaysia Relief Agency (MRA), Buddhist Tsu Chi, Dignity for Children, Soroptomist dan Malaysia Sociological Research Institute (MSRI) turut menguruskan sekolah-sekolah pelarian Rohingya. Sebuah Ngo yang digerakkan oleh ABIM iaitu Future Global Network (FGN) turut mewarnai dunia bantuan pelarian Rohingya dengan dua buah sekolahnya Rohingya Education Centre (REC) di Kelang dan Permatang Pauh yang menawarkan pengajian agama dan akademik buat anak-anak pelarian Rohingya. Usaha yang sedikit ini diharap mampu memberikan sinar baru dalam kehidupan kanak-kanak pelarian yang mahu mengecapi dunia yang lebih aman dan masa depan yang lebih cerah.

Rakyat Malaysia yang prihatin diseru tampil membantu MLLFS dan FGN dengan melayari facebooknya di https://www.facebook.com/MLL4S dan website http://www.futureglobalnetwork.com/. Dunia harus memikirkan formula terbaik menghentikan perang di Syria, ketidakadilan di Myanmar dan kekejaman di seluruh dunia agar lebih ramai dapat diselamatkan daripada menjadi pelarian yang terbuang di tanahair sendiri. Ayuh jika tidak anda siapa lagi? kalau tidak sekarang bila lagi?




Tiada ulasan: