Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Ahad, Oktober 12, 2014

Ziarah Profesor Dato' Dr. Osman Bakar



Kesempatan seketika di Brunei Darussalam ini, saya mengambil kesempatan menziarahi ilmuwan bertaraf dunia Profesor Osman Bakar di teratak beliau di Universiti Brunei Darussalam (UBD). Ini merupakan tradisi amalan saya apabila mengembara ke luar negara. Tanpa agenda ini kembara terasa kosong dan tidak bermakna.

Profesor Osman ketika ini merupakan Pengarah di Pusat Pengajian Ilmu Islam Sultan Omar Ali Saifuddien (SOASCIS) dan pernah menjadi anak murid kepada Profesor Syed Hossein Nasr yang merupakan pemuka ilmu terkenal di dunia Islam. Saya rasa ini merupakan satu 'brain drain' apabila Malaysia kehilangan ilmuwan tersohor seperti Profesor Osman apabila khidmat beliau dipakai oleh negara lain. Khabarnya Profesor Osman tidak selesa dengan kebebasan akademik dan amalan politiking yang menyekat untuk beliau berkarya lebih jauh.

Selepas makan malam yang lazat hasil daging korban segar, kami sempat berbual mengenai pelbagai perkembangan dunai Islam termasuk isu ISIS, MH 370, Ulil Absar dan Islamisasi Ilmu. Perbincangan bertambah menarik dengan teori konspirasi kehilangan MH 370 yang ada kaitan dengan pergolakan di Asia Barat dan Dunia Islam. Tiba di KLIA semalam saya di whatsup oleh Profesor Osman, "Semalam kita cakap pasal MH 370. Hari ini Chirman Emirate (Tim Clark) kata ada orang takeover di udara dan pandu ke satu tempat yang tidak diketahui". Saya pun risau naik MAS ke Brunei kerana kod pernerbangan ke Brunei hampir lebih kurang kod penerbangan MH 370 iaitu MH 730, terbalikkan sahaja.

Pesan Profesor Osman, musuh mengkaji kita tapi kita tidak mengkaji musuh secara mendalam. Perlu ada di kalangan aktivis umat yang mendalami dan mengkaji tentang Yahudi dan Nasrani. Dulu pun saya pernah dan masih ingat beberapa pemikiran strategik atau 'strategic thinking' yang dimiliki oleh Profesor Osman selaku ilmuwan awam atau 'public intellectual' yang mengagaskan supaya aktivis umat mendalami pengajian Kristian agar dapat memahami dan mendekati agama ini. Beliau turut pada satu ketika menganjurkan dialog peradaban antara Islam - Confucianism bagi menggalakkan orang Cina kembali kepada asas ajaran nenek moyang bagi mengimbangi kemasukan orang Cina ke Kristian. Ini antara pemikiran strategik yang harus ada pada setiap aktivis umat agar bijak menyantuni zaman.

Beliau juga berkongsi tentang pendekatan 'Islam Umum' dan 'Islam Khusus' bagi menyebarkan Islam secara hujah kepada masyarakat Barat. Hasilnya hampir 20 000 rakyat Amerika memeluk Islam termasuk sebahagian pendeta-pendeta Yahudi. Pendekatan 'Islam Umum' bermakna kita cuba mengungkap idea bahawa Islam sudah bertapak lama sejak zaman Nabi Adam dan 'Islam Khusus' disempurnakan oleh Nabi Muhammad. Ini termaktub dalam ayat 285 Surah al-Baqarah. Dengan mengajak Yahudi khususnya pendeta-pendetanya kembali kepada 'Islam Umum' yang dibawa oleh Nabi Musa secara logiknya mereka akan terus memasuki daerah 'Islam Khusus' yang di bawa oleh Nabi Muhammad. Ini merupakan cara paling ampuh menurut Profesor Osman untuk mengajak mereka kepada Islam. Kita sering menawarkan masyarakat bukan Islam memasuki 'Islam Khusus' sehingga menyebabkan mereka menolak dan gagal memahami keuniversalan Islam tersebut yang sudah dianuti semenjak Nabi Adam hingga ke akhir zaman. Saya fikir cara ini merupakan rumusan Profesor Osman yang menetap di Amerika hampir 11 tahun berhadapan dengan Dunia Barat yang rencam tersebut. Idea harus difahami dengan betul kerana Islam hanyalah satu dan khusus cuma idea di atas sekadar menerangkan pendekatan dakwah terbaik untuk menerangkan Islam kepada bukan Islam.

Profesor Osman turut meng'endorse' kenyataan Prince Ghazi Jordan http://aalalbayt.org/en/index.html bersama ratusan ilmuwan tersohor Dunia Islam menolak keabsahan Khilafah ISIS di Syria dan Iraq dengan hujah-hujah ilmiah. Profesor Osman turut meminta ABIM menterjemahkan kenyataan tersebut untuk disebarkan kepada masyarakat Islam yang keliru sama ada ISIS mewakili perjuangan umat atau tidak.

Pesan terakhir Profesor Osman agar lebih ramai pelajar Malaysia belajar di Pusat Islam beliau memandangkan biasiswa yang ditawarkan agak tinggi dan selesa untuk meneruskan pengajian dalam Pengajian Islam. Khabarnya sehingga RM 4000++ sebulan. SOASCIS boleh dicapai di soascis.ubd.edu.bn.

SOASCIS akan menganjurkan Conference SICON November ini yang membariskan ilmuwan terkemuka seperti Profesor Tariq Ramadan, Profesor Kamal Hasan dan Profesor Usamah Mohamed Elabed.

* Profesor Osman Bakar merupakan mantan Setiausaha Agung ABIM

Tiada ulasan: