Rayuan untuk Syria
Ahad, November 23, 2014
Di Sebalik Serangan Amerika dan Sekutunya ke atas Pergerakan ‘Negara Islam’ Iraq dan Syam (ISIS)
JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden ABIM
Majalah al-Ustaz Volume 03 No 32
Konflik berdarah di Syria sudah masuk tahun ketiga dan tidak pun nampak tanda-tanda reda. Syria semakin hancur dan terpecah kepada beberapa wilayah mengikut puak dan fahaman. Bumi Syria yang suatu ketika dahulu subur dengan kegiatan ilmu dan kecendekiawanan hari ini suram dan dibayangi dengan bunyi tembakan dan bom. Angka korban sehingga kini mencecah lebih 200 000 jiwa di mana kanak-kanak, wanita dan orang awam terus menerus menjadi mangsa utama. Puak Kurdis yang mendiami Utara Syria khususnya di Kobane turut terkena tempiasnya apabila terpaksa bertempur dengan Pergerakan ‘Negara Islam’ Iraq dan Syam (ISIS) yang tiba-tiba muncul di Syria memerangi Bashar al-Assad dan Free Syrian Army (FSA). Diburukkan lagi dengan serangan udara yang dilancarkan oleh Amerika dan sekutunya atas alasan memerangi keganasan ISIS.
ISIS muncul persis kemunculan Taliban pimpinan Mullah Omar di Afghanistan setalah Mujahidin berjaya mengalahkan dan mengusir keluar Beruang Merah USSR dari bumi Afghanistan. Taliban muncul menguasai Afghanistan setalah kegagalan Mujahidin berpakat dan menyelesaikan masalah dalaman mereka. ISIS muncul di Syria secara tiba-tiba dan seolah-olah mendapat liputan dan publisiti meluas di seluruh dunia khususnya oleh media pro-Barat. Sesetengah penganalisis Asia Barat dan gerakan Islam mengesahkan keabsahahan teori bahawa ISIS merupakan ciptaan dan mendapat dokongan Barat bagi melambatkan proses kemenangan Mujahidin FSA terhadap Bashar al-Assad sekaligus memastikan sekuriti Negara Israel tetap utuh.
Dr. Maszlee Malik dan Syarafuddin Sulaiman dalam bukunya Hamas dan Briged Al-Qassam sempat menyorot secara ringkas sejarah ISIS. ISIS berbasiskan fahaman salafi jihadi yang tertubuh di Iraq yang dulu hanya dikenali sebagai Islamic State of Iraq. Mereka juga merupakan pecahan al-Qaeda yang diasaskan oleh Usamah Laden. ISIS menganut fahaman mengkafirkan oleh lain atau takfiri yang tidak sehaluan dengan mereka dan ini mengingatkan kita kepada kumpulan khawarij yang muncul pada zaman Saidina Ali Abi Tolib yang mendatangkan masalah besar kepada umat Islam pada ketika itu.
Di Iraq mereka bermula dengan menentang penjajahan Amerika semenjak 2003 dan turut bertempur membunuh Syiah yang dianugerahkan kekuasaan oleh Amerika selepas kejatuhan Saddam Hussein. Setelah mewarisi legasi Mus’ab az-Zarqawi, Ketua ISIS Abu Bakr Baghdadi telah melebarkan sayap ISIS dengan mengisytiharkan penubuhan ISIS di Syria pada 8 April 2013 dan mengisytiharkan penubuhan khilafah pada 29 Jun 2014 dengan beliau bertindak sebagai khalihah. ISIS bukan hanya berperang dengan tentera Bashar al-Assad bahkan berperang dan membunuh FSA kerana tidak sehaluan dengan mereka. Situasi ini menyebabkan konflik Syria semakin kompleks dan akan menyebabkan perang akan terus berlarutan. Menurut Dr. Riduan Mohamad Nor, pengkaji aliran gerakan Islam, Ketua al-Qaeda Ayman az-Zarqawi pernah mengeluarkan arahan agar ISIS keluar dari Syria pada tahun 2013 bagi memberikan ruang kepada FSA untuk memfokuskan untuk menumbangkan Bashar namun tidak diendahkan oleh ISIS. Ini bermakna ideologi ISIS kelihatan lebih esktrem daripada al-Qaeda. Ini turut diakui oleh seorang aktivis Syrian Emergency Task Force yang ditemui penulis beberapa bulan lepas di Kuala Lumpur.
Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia di bawah kepimpinan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dan Naibnya Sheikh Ahmad Raisuni telah mengisytiharkan Khilafah ISIS di Syria dan Iraq tidak sah malah bercanggah dengan prinsip agama. Pandangan Kesatuan Ulama ini adalah pandangan mu’tabar atau yang diiktiraf dalam dunia Islam sewajarnya tidak ditolak dan mahupun diperlecehakn oleh pendokong-pendokong ISIS. Sesunnguhnya dakwaan Khilafah ISIS adalah bathil dan tiada asas. Selain itu Kesatuan Ulama berhujah bahawa tiada keperluan untuk menubuhkan Negara Islam yang baru kerana Negara-negara Islam sudah sedia tertubuh. Mengisytiharkan penubuhan sesuatu Negara adalah hak ummah dan bukannya oleh ISIS yang tidak pun mendapat mandat ummah. Selain itu Kesatuan Ulama berhujah bahawa Jihad bukan fiqh individu di mana seseorang itu boleh membuat keputusan sendiri untuk keluar mengangkat senjata di Syria tetapi ia merupakan fiqh jamaah di mana kerajaanlah yang bertanggungjawab mengsiytiharkan jihad dan menghantar pasukan tentera ke sesebuah medan pertempuran.
Seorang lagi ulama mu’tabar Sheikh Ben Bayyah yang memimpin Majlis Hukama turut menolak dan menyanggah ISIS yang menyebut Islam mendokong keganasan dan penubuhan Khilafah secara paksaan. Sheikh Ben Bayyah turut menyeru agar idea dan hujah ISIS dipatahkan secara intelektual kerana jika gagal berbuat demikian maka idea yang sama akan terus muncul semula dengan jenama yang berbeza. Sheikh Ali Jumuah mantan Mufti Mesir turut bersepakat dalam hal menolak keabsahan ISIS.
Namun sayangnya sebahagian kecil masyarakat kita menolak pandangan para cendekiawan yang takutkan Allah ini atas pelbagai alasan sedangkan fatwa Kesatuan Ulama dan ulama tersebut dibuat berdasarkan manhaj ilmu dan fatwa yang benar.
Berdasarkan alasan keganasan ISIS ini, Amerika bersama sekutunya khususnya Negara Arab seperti Arab Saudi, UAE, Qatar, Jordan dan Bahrain telah melancarkan siri serangan udara terhadap kedudukan ISIS di Syria dan Iraq. Ini menambahkan lagi simpati dan sokongan sebahagian pendokong ISIS di seluruh dunia sekaligus menenggelamkan FSA.
Menurut Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, Penolong Setiausaha Agung Union of Ngos in the Islamic World (UNIW), ISIS seperti Taliban dan al-Qaeda adalah ciptaan Barat bagi memecahkan kesatuan umat dan menguasai dunia Islam khususnya di Asia Barat. ISIS digunakan secara tidak langsung oleh Amerika untuk mengkucar-kacirkan FSA dan umat Islam di Syria dan apabilan matlamat tercapai maka tiba masanya untuk Amerika memusnahkan ISIS pula melalui siri serangan udara. Apabila ISIS dimusnahkan sebagaimana Taliban di Afghanistan maka pemimpin boneka pro Amerika akan dilantik bagi memastikan kepentingan Amerika dan Israel terpelihara di Asia Barat khususnya di Syria dan Iraq.
Turki pimpinan Erdogan walaupun didesak untuk turut serta dengan 20 negara sekutu Amerika menyerang ISIS kelihatan enggan menyertai serangan sebagaimana Negara-negara Arab Monarki yang kelihatan beria-ia mendokong serangan Amerika. Amerika mahu mengheret Turki agar turut berperang sesama Islam. Turki kelihatan bersendirian dalam menangani isu Syria dan ISIS dan seolah-olah dipencilkan oleh Negara-negara Arab lain. Turki cuba dilemahkan oleh Barat kerana kepimpinan karismatik Erdogan kelihatan memacu sebuah kebangkitan dunia Islam semula. Dalam isu serangan ISIS, Erdogan bijak agar tidak terperangkap dengan taktik licik Amerika untuk melemahkan Turki.
Amerika tidak berbuat apa-apa mahupun melancarkan serangan tentera ketika Bashar al-Assad mendera rakyatnya sendiri tetapi apabila ISIS bangkit mereka kononnya kelihatan mahu memerangi keganasan sedangkan ‘root cause’ keganasan sebenarnya tidak diperangi oleh Amerika. Faktor kemunculan FSA dan ISIS adalah kediktatoran pemerintah Arab, itu dibiarkan sahaja oleh Amerika.
Amerika hanya mahu dunia Islam terus berpecah agar polisi ‘devide and rule’ boleh terus diamalkan dan Israel akan terus ‘survive’. Itulah rahsia di sebalik serangan ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan