Rayuan untuk Syria
Rabu, November 05, 2014
Sepetang bersama Aktivis Papua
Tak ramai yang tahu tentang isu Papua termasuk saya sebagaimana isu Pattani, Rohingya, Uyghur dan Cuba kerana tidak tersiar di dada-dada akhbar. Jika tahu pun mungkin tidak melalui sumber premier. Bertemu Pak Maurits Menufandu, aktivis Papua yang sekarang ni berada di bawah wilayah Indonesia memberikan peluang untuk mendengar sendiri daripada sumber utama tentang apa yang sebenarnya berlaku di sana. Etnik Papua merupakan satu rumpun keluarga besar yang menggabungkan dua wilayah Papua Timur dan Papu Barat (Papua New Guinea @ PNG). Namun PNG berjaya merdeka dari tangan Inggeris dan Australia namun tidak pada Papua Timur.
Majoriti hampir 95 peratus mahukan self determination untuk kemerdekaan kerana berasa daripada segi sejarahnya mereka berhak merdeka selepas dijajah oleh Belanda cuma mereka mendakwa bahawa mereka dipaksa masuk sebagai salah satu wilayah Indonesia. Penduduk Papua atau lebih tepat Papua Barat (untuk membezakan dengan Papua Timur aka Papua New Guinea) enggan menggunakan nama Irian Jaya kerana Irian adalah nama yang diberikan oleh Indonesia dengan jolokan ‘Ikut Republik Indonesia Hingga Netherland’ atau IRIAN. Indonesia memang terkenal dengan singkatan-singkatan mereka seperti DUBES untuk Duta Besar dan MASCIT untuk masaj dan picit.
Menurut Pak Maurits yang beragama Kristian Protestan, rakyat Papua sudah tertindas, diseksa, diculik dan dinafikan hak merdeka semenjak 1963 yang melibatkan angka korban menjangkau 100 000 jiwa selepas mereka mengisytiharkan kemerdekaan semenjak 1 Disember 1961.
Rakyat Papua dipaksakan polisi untuk hanya dibenarkan mempunyai dua orang anak agar etnik Papua tidak berkembang seterusnya melahirkan ‘freedom fighter’ yang lebih ramai. Walhal polisi sebegini tidak dipaksakan kepada wilayah-wilayah Indonesia yang lain. Khabarnya setiap ketika Indonesia menghantar beberapa buah kapal untuk membawa masuk penduduk Indonesia dari wilayah lain untuk mendiami bumi Papua agar peratusan etnik Papua menjadi minoriti. Khabarnya peratusan etnik Papua sebagai penduduk asal berkurang kepada hanya 47 peratus pada 2011. Jika benar berita ini, saya fikir ia persis strategi Kerajaan China membawa masuk etnik Han ke wilayah Muslim Turkestan Timur (Xinjiang) yang terletak di Barat China untuk mengurangkan peratusan majoriti etnik Muslim Hui yang menuntut kemerdekaan.
Saya bertanya, “Pak Maurits, adakah tuntutan kemerdekaan ini di kalangan orang Kristian Papua sahaja?” lantas jawabnya, “Tidak, majoriti rakyat Papua yang beragama Protestan, Katolik dan Islam sepakat menuntut kemerdekaan. Kami di sini hidup harmoni tanpa ada konflik agama”. Saya tegaskan kepada Pak Maurits bahawa ABIM selaku Ngo hanya ‘concern’ isu pelanggaran hak asasi dan kami tidak boleh dan tidak akan masuk campur urusan tuntutan kemerdekaan kerana ia isu sensitif dan melibatkan hubungan diplomatik. ABIM hanya prihatin isu hak asasi dan akan perjuangkannya walaupun Papua majoritinya adalah Kristian. Selagi mana ianya isu kemanusiaan, ABIM dan umat Islam wajib membantu dan mempertahankannya kerana ini isu ‘karamatul Insan’ yang dilaungkan ABIM melalui Presiden Cikgu Amidi Abdul Manan lewat ucapan dasarnya pada 2013.
Isu hak asasi tiada kompromi, cuma saya sebut pada Pak Maurits ialah kebetulan (takdir Allah) kami dunia Islam pada saat ini terlalu banyak terjadi isu perlanggaran hak asasi di Palestin, Syria, Afrika Tengah, Palestin dan lain-lain menyebabkan fokus tenaga dan gerak kerja banyak diarahkan terhadap isu-isu tersebut. Terkadang jika termampu dengan sisa-sisa kudrat kita meninjau dan menunjukkan solidariti kepada isu-isu penindasan di luar dunia Islam seperti di Cuba dan Venezuela. Itulah cabaran kita ialah melahirkan lebih ramai aktivis muda yang ‘passionate’ dengan isu-isu sebegini. Saya kata, saya harus mencari aktivis ABIM atau aktivis di luar lingkungan ABIM yang berminat fokus dan monitor isu Papua ini untuk diformulasikan gerak kerja dan tindakan penyelesaian.
Pak Maurits yang diberikan mandat oleh Komite Nasional Papua untuk membuat roadshow menerangkan isu sebenar perlanggaran hak asasi yang terjadi sehingga kini di Papua. Apa yang menarik ialah Papua berasa aman seketika zaman pemerintahan Gus Dur yang membenarkan bendera Papua dikibarkan bersama bendera Indonesia tapi dengan syarat bendera Papua harus lebih rendah dan sedikit kecil berbanding bendera Indonesia ketika dikibarkan.
Namun faktor utama Papua menjadi tumpuan adalah kerana kekayaan hasil buminya yang dipenuhi emas dan nikel. Papua merupakan 'gold reserve' terbesar di dunia. Syarikat dari Amerika telah mengaut kekayaan emas Papua yang dijual oleh Indonesia. Rakyat Papua hanya dapat sepuluh peratus daripada hasil bumi ini. (Mungkin fakta ini harus disemak agar lebih tepat). Ia adalah disebabkan perebutan hasil bumi dan ekonomi sebenarnya!
Isu-isu sebegini amat dekat dengan aktivis Islam seperti kita. Pelanggaran isu hak asasi harus ditangani namun soal menuntut kemerdekaan ini adalah soal mereka yang kita tidak campur sama sekali. Biarlah mereka selesaikan sendiri dengan aparat pemerintah Indonesia.
Namun elok kita dengar cerita dari pihak Indonesia pula agar maklumat yang kita dapat seimbang.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan