Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Ahad, Disember 07, 2014



Semalam (6 Dsiember 2014 / 13 Safar 1436 H) merupakan pertama kali saya menjejakkan kaki ke Universiti Utara Malaysia (UUM). Baru saya teringat bahawa UUM telah menubuhkan Islamic Jerusalem Studies Centre bawah pimpinan Profesor Abdullah Fattah al-Awaisi dari United Kingdom dan Dr. Ahmad Yatiban sebagai koordinatornya.

UUM merupakan sebuah universiti yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan terletak dalam kawasan Parlimennya dulu iaitu Kubang Pasu.

Saya hadir sebagai pengisi program Kelab Dewan Amal Islami (Damai) UUM iaitu Daie Grooming : Daie Peneraju Kepimpinan Qawiyy. Rumusan perkongsian saya ialah kita harus melahirkan Daie yang Qaid (Pemimpin), Mufakkir (Pemikir) dan Murabbi (Pendidik). Daie harus ada platform, produk dan menjadi problem solver.

Menarik dapat bertemu dengan mahasiswa yang memiliki jiwa reformis dan mereka berkongsi kesulitan apabila program-program ilmiah kurang mendapat sambutan dan tambah memburukkan keadaan apabila pihak atasan menyukarkan beberapa penganjuran program wacana yang bersifat ilmiah dan kritis. Inilah masalah yang sering berlaku di institusi pendidikan yang tidak meletakkan nilai dan budaya ilmu pada tempatnya. Saya bimbang idea Profesor Zaini Ujang Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan untuk mengangkasakan pengajian tinggi masih jauh daripada yang sepatutnya.

Universiti sewajarnya membenarkan bahkan menggalakkan penyuburan wacana ilmiah dan kritis bagi melatih mahasiswa agar terus mencari kebenaran hakiki bersesuaian dengan idea tokoh pendidik negara Profesor Awang Had Salleh bahawa "...kekuatan universiti ialah mempertahankan misi unggulannya untuk mencari dan mewujudkan kebenaran dan terus menerus mempersoalkan kebenaran yang diwujudkan..." Galakkan untuk mahasiswa berwacana agar mereka dibiasakan untuk mencari kebenaran berdasarkan fakta ilmu dan hikmah dan bukannya dimandulkan aktivisme ilmu hanya kerana khuatir akan mahasiswa menjadi pembangkang yang kritis.

Kembalikan universiti sebagai school of universal learning yang menurut Profesor Dato' Dr Daing Nasir Ibrahim, Universiti Malaysia Pahang dapat disimpulkan kepada tiga nilai universal:

a.) Ketertinggian ilmu pengetahun (supremacy of knowledge);
b.) Keunggulan akal budi;
c.) Kesejagatan pemikiran dan pendidikan (universality of thoughts and education).

Saya yakin mahasiswa reformis yang mahukan ruang debat ilmiah yang lebih luas ini bersifat neutral dan mementingkan budaya ilmu serta mahu meletakkan universiti pada landasan ketertinggian ilmu pengetahuan. Jangan sampai kedengaran keluhan mahasiswa reformis bahawa program-program hiburan lebih mudah masuk ke universiti berbanding wacana ilmiah kritis.

Apa pun UUM merupakan universiti yang masih hijau dan indah, wajar dikekalkan dan diperkasakan dengan agenda keilmuan yang sebenarnya.

Tiada ulasan: