Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Khamis, Januari 15, 2015

Majlis Belia Malaysia (MBM) Mengangkat Martabat Belia Malaysia



Oleh: Jufitri bin Joha

Minggu ini Majlis Belia Malaysia (MBM) dan 39 badan gabungannya akan berkampung untuk melaksanakan kewajipan menjalankan mesyuarat agung dan yang paling dinanti-natikan ialah pemilihan exco baru untuk sesi dan penggal baru. MBM dan 13.37 juta belia Malaysia juga dijangka menerima Presiden baru untuk MBM yang bakal mencorak perjalanan pergerakan dan pembangunan belia Malaysia untuk sekurang-kurangnya beberapa tahun menjelang tahun 2020. Mesyuarat dan pemilihan MBM ini juga berlangsung di saat kontroversi pendefinisian semula takrifan umur belia daripada 15-40 tahun kepada 15-30 tahun di mana kelihatan Menteri Belia dan Sukan bersungguh-sungguh mendesak untuk menguatkuasakannya secepat mungkin.

Kebiasaannya mesyuarat agung MBM amat meriah dan lebih meriah dan sensasi apatah lagi apabila ianya merupakan tahun pemilihan. Seluruh perwakilan daripada badan gabungan sedang membuat perkiraan dan percaturan masing-masing untuk mencuba nasib mempertaruhkan calon masing-masing untuk berkhidmat demi kebaikan MBM dan Negara khususnya dan kebajikan belia amnya. Sudah tentu fokus diberikan kepada jawatan Presiden kerana sekurang kurang sudah ada dua calon mengintai-ngintai ke jawatan paling penting dalam hirarki kepimpinan belia Negara itu.

Presiden MBM, saudara Maliki Rapiee sudah pasti telah melakukan yang terbaik. Beliau telah meninggalkan legasi yang baik di kala umurnya menjangkau 40 tahun yang menghilangkan kelayakan beliau untuk meneruskan kepimpinan. Maliki mempunyai gaya kepimpinan yang lebih intelek memandangkan beliau berlatarbelakangkan akademik dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD. Maliki kelihatan terbuka dan meraikan kepelbagaian dan kerencaman ideologi dan pendirian. Sudah menjadi tradisi MBM di bawah Maliki dan presiden-presiden yang sebelumnya kelihatan pro kerajaan dan pemerintah namun Maliki kelihatan terbuka menerima kepelbagaian khususnya badan gabungannya seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Young Buddhist Movement (YBM) yang mempunyai pendirian yang sedikit berbeza dalam pelbagai isu-isu belia dan nasional. Perbezaan dan kepelbagaian inilah yang menjadikan MBM lebih utuh, unik, merakyat dan membelia.

Sudah tentu kejayaan Maliki didokong oleh Setiausaha Agungnya saudara Zaidi Aziz. Setiausaha adalah the conscience of the organization. Gandingan ini mewariskan sebuah MBM yang kuat dan bebas hutang yang memudahkan kepimpinan seterusnya mengemudi MBM ke hadapan tanpa perlu memeningkan kepala memikirkan beban-beban pada masa lampau. Bahkan zaman Maliki-Zaidi menyaksikan lebihan sumber kewangan yang jarang-jarang berlaku sebelum ini. Struktur dan organisasi dalaman MBM diperkemaskan sehingga MBM berjaya mewujudkan sebuah arkib bagi memulihara khazanah dan sejarah pergerakan belia yang paling berpengaruh di Malaysia serta menjaga kebajikan staf MBM yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan setiap program MBM. Maliki-Zaidi turut mewariskan jaringan dan hubungan yang baik dengan agensi-agensi Kerajaan bahkan meluaskan kerjasama merentas partner tradisi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia. MBM telah mula merentas kerjasama yang lebih luas dengan kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Wanita dan Kementerian Kepenggunaaan.

Pencapaian Maliki yang bermakna bagi penulis ialah apabila MBM berjaya memfasilitasi penubuhan Majlis Belia Orang Asli di bawah pimpinan saudara Clive Allen William Hunt. MBM berjaya membawa dan mengangkat suara kelompok rentan (minoriti) iaitu belia Orang Asli yang sekian lama terpinggir sehingga mendapat sebuah platform rasmi yang diiktiraf oleh pergerakan belia dan Kerajaan. Maliki juga melalui Exconya Rizan Hassan turut konsisten memperjuangkan nasib dan masa depan belia kemahiran. Belia kemahiran merupakan sebahagian besar kelompok belia yang tidak berpeluang masuk ke IPTA dan IPTS sebaliknya menyambung pelajaran di kolej-kolej kemahiran. Desakan oleh MBM terhadap pihak Kerajaan untuk menaikkan jumlah bantuan Perbadanan Tabung Kemahiran acapkali kedengaran di platform-platform penting belia seperti Majlis Perundingan Belia Negara. Ini bersesuaian dengan peranan MBM sebagai 'pressure group' seperti yang disebut dalam buku Reformasi Belia terbitan MBM. Pergerakan beliawanis turut kelihatan diperkasakan dan dicergaskan oleh Maliki melalui gandingannya bersama Naib Presiden Wanita Wan Salwati Abdullah.

Walaubagaimanapun, Maliki masih belum dikira hebat jika pengganti beliau seterusnya tidak sehebat beliau atau jauh lebih hebat daripadanya. Ini memerlukan masa untuk dibuktikan.Pemimpin yang hebat melahirkan pelapis yang hebat. Sudah tentu pengganti beliau turut berhadapan tugasan besar untuk meneruskan tradisi kejayaan ini dalam mengangkat martabat generasi muda Malaysia. MBM memerlukan saf kepimpinan yang ikhlas, dinamik, intelek, fleksibel, dan inovatif bagi memacu MBM untuk terus maju dan berdaya saing.

Generasi muda yang kritis dan radikal mungkin melihat kepimpinan MBM terlalu pro kerajaan dan gagal membawa suara tegas dan bertentangan dalam sesetengah isu belia dan nasional terhadap kepimpinan Negara. Selain itu, sesetengah kelompok pemimpin belia turut melihat kepimpinan Maliki gagal bertegas untuk mengekalkan takrifan umur belia 15-40 tahun dengan mengambil kira faktor kematangan belia dan kesediaan akar umbi. Ini mungkin persepsi yang Maliki sendiri ada jawapannya tersendiri bagi menangkisnya. Kepimpinan baru MBM harus turut mengambil kira dan memperbaiki persepsi ini yang mungkin salah dan mungkin betul. Penulis tidak berhasrat membela Maliki kerana penulis yakin bahawa beliau akan menggunakan pentas perhimpunan minggu ini dengan sebaiknya bagi menjawab segala persepsi tersebut. Ala kulli hal kata orang Arab tidak mudah sebenarnya memimpin MBM ini.

Zaman millenium ini, kepimpinan MBM yang baru berhadapan tugasan getir untuk memastikan MBM terus relevan khususnya di kalangan generasi startup. Generasi startup mempunyai sikap dan gaya hidup yang tersendiri yang harus difahami dan didekati oleh MBM dan disantuni mereka dengan program-program yang bersesuaian. Jika MBM gagal mendekati dan menyantuni kelompok utama yang diberikan penekanan oleh Dasar Pembangunan Belia Negara (1997) ini maka MBM akan ketinggalan dan ‘obsolete’. MBM juga terpaksa bersaing dan ‘bertempur’ dengan entiti-entiti lain yang bersifat program dan projek seperti Parlimen Belia, IM4U, Rakan Muda bahkan Pencetus Ummah yang mungkin lebih digemari generasi muda.Dalam hal yang lain, Presiden MBM yang baru juga secara spesifik sekali lagi berhadapan dengan tugasan getir untuk menyayingi aura dan kehebatan Manteri Belia yang mendapat tempat di hati generasi muda. Bakal Presiden MBM harus kelihatan at par, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Menteri Belia yang baru mencecah umur 39 tahun.

MBM wajar terus diperkasakan dan dipandang amat penting di mata KBS selaku rakan kongsi terbesar dan terpenting agar segala program dan peruntukkan di amanahkan sepenuhnya kepada MBM manakala KBS hanya memainkan peranan selaku pemudahcara. Jika tidak, KBS akan mencari alternatif lain bagi menyayingi MBM. Simpton itu sudah pun ada apabila KBS tidak pun sangat menyanjungi tokoh tokoh dan pemimpin MBM yang boleh dikiranya digelar sebagai ‘unsung hero’ sebaliknya lebih banyak mengangkat tokoh-tokoh sukan dan di luar bidang pembangunan belia. Simpton ini harus disekat dan diubati segera.

MBM merupakan badan tertinggi belia yang sudah bertapak di Tanah Melayu semenjak 1948 bahkan lebih awal 16 tahun sebelum tertubuhnya Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Ini menggambarkan betapa otainya MBM di persada pembangunan belia Negara berbanding KBS. MBM terbukti menjadi leadership incubator yang melahirkan nama-nama besar pemuka Negara seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Zambry Abd Kadir, Dato’ Saifuddin Abdullah dan Dato’ Seri Ali Rustam seperti mana yang disebut oleh Haslinda, Siti Maryam, Dzulhailmi, Azimi, Steven, Ismi, Ezhar, Turiman, Nobaya dan Sarjit (2013) dalam makalah The Function of MYC in Youth Development in Malaysia, "In Malaysia, the existence of the Malaysian Youth Council (MYC) as a Non-Governmental Organization (NGOs) to coordinate youth and student organizations reflect the importance and the interest in developing the quality of youth leadership".

MBM di bawah gandingan Maliki-Zaidi sebenarnya telah meninggalkan satu pelan dan strategi bertindak demi kebaikan adik-adiknya yang bakal mewarisi MBM pada hujung minggu ini. Mereka telah memperkenalkan idea dan agenda ‘MBM in Business’ demi kelangsungan MBM kehadapan. Ia merupakan pelan futuristik yang memaksimakan peranan dan fungsi MBM dalam pelbagai isu belia dan Negara; mengkader 300 pemimpin muda dalam jangka 2 tahun; meningkatkan kefahaman fungsi MBM dan; memperkukuhkan representasi MBM sebagai suara belia yang paling kuat, cerdas, lantang dan berkesan sehingga disegani lawan dan kawan.

Walau apapun yang berlaku, MBM akan terus kekal relevan dengan syarat badan gabungannya bersatu hati untuk terus mendokong dan menjayakan platform multi-racial dan multi-faith ini. Memandangkan MBM telah pun memformulasikan agenda ‘MBM in Business’ wajar kiranya MBM mengambil iktibar daripada proses rebranding Harley-Davidson seperti yang ditulis oleh Clyde Fessler dalam buku Rebuilding The Brand di mana proses tersebut berjaya menjadikan motosikal berkuasa tinggi ini daripada tidak popular, bermasalah dan tidak laku kepada sebuah motosikal berprestij dan menjadi kegilaan ramai. Mungkin pimpinan MBM yang baru wajar membaca dan menciplak idea tersebut iaitu Brand Experience, Brand Extension, Brand Association, Brand Consistency, Brand Welfare dan Brand Team. Selamat membaca dan memimpin MBM in Business untuk terus kekal relevan menjadi kegilaan generasi startup.

Rujukan:


Clyde Fessler (2013) Rebuilding The Brand, How Harley-Davidson Became King of the Road, New York: Allworth Press.

Haslinda, Siti Maryam, Dzulhailmi, Azimi, Steven, Ismi, Ezhar, Turiman, Nobaya dan Sarjit (2013)The Function of MYC in Youth Development in Malaysia, International Conference on Youth Proceeding, Serdang: IPSAS.

MBM in Business (2014)

Reformasi Belia (1996)Kuala Lumpur: Majlis Belia Malaysia (MBM).

Saifuddin Abdullah (2013) Memacu Transformasi, Shah Alam: Grup Buku Karangkraf.

Tersiar di The Rakyat Post: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/18/mampukah-mbm-angkat-martabat-belia-malaysia/




Tiada ulasan: