Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Januari 26, 2015

Pencabulan Hak Asasi Manusia di Bangladesh



Oleh: Jufitri Joha
Naib Presiden ABIM
Seperti yang tersiar dalam Majalah al-Ustaz Volume 03 No 33


Dunia Islam dikejutkan dengan hukuman penggantungan Amir (Ketua) Jamaati Islami Bangladesh Maulana Matiur Rahman Nizami pada Oktober lepas oleh Bangladesh International War Crime Tribunal. Namun ia sesuatu yang sudah diduga kerana kewujudan konspirasi politik peringkat tertinggi melibatkan pentadbiran Kerajaan Perdana Menteri Sheikh Hasina Wajed. Pimpinan Jamaati Islami telah pun mengeluarkan kenyataan pada 29 Oktober 2014 mengutuk keputusan Tribunal tersebut dan melancarkan mobilisasi mogok nasional bagi menghantar tanda protes secara besar-besaran terhadap campurtangan politik Kerajaan Bangladesh. Terdahulu bekas Amir Jamaati iaitu Profesor Ghulam Azam, 92 tahun yang turut dipenjarakan dan dibicarakan telah disahkan meninggal dunia pada Jumaat 23 Januari 2014 kerana sakit tua ketika menerima rawatan di hospital.

Ini merupakan hari yang malang untuk pejuang keadilan sejagat dan hukuman ini mengundang kutukan daripada seluruh dunia termasuk Islamic Human Rights Commission yang berpengkalan di London dan Amnesty International. Namun berita-berita tragik sebegini kurang mendapat tempat di dada-dada akhbar arus utama Malaysia. Artikel yang dinukilkan penulis di bawah ini sekurang-kurang memberikan perspektif yang sebenar dan adil berdasarkan pandangan seorang aktivis ummat terhadap apa yang berlaku di Bangladesh.

Bangladesh merupakan negara ketiga terbesar mempunyai populasi penduduk yang tinggi di kalangan negara Islam. Ia merupakan antara negara miskin di dunia namun mempunyai potensi yang cerah untuk maju kehadapan. Ia merupakan Negara ke-8 paling ramai penduduk dengan menganggotai Pertubuhan Komanwel, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM).

Pihak yang memelihara dan mempertahankan konsep kemuliaan insan atau “karamatul insan’ amat memandang serius tentang perkembangan terkini berkaitan keadaan politik dan hak asasi manusia di negara Bangladesh. Semenjak Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina Wajed dan parti pimpinannya Awami League mengambil alih pemerintahan semenjak awal 2009 telah menyebabkan ramai pihak termasuk beberapa Ngo dari Malaysia dan dari seluruh dunia sangsi dan bimbang akan masa depan demokrasi dan hak-hak asasi sivil rakyat Bangladesh.

Beberapa pimpinan pimpinan dan aktivis parti pembangkang termasuk 7 pimpinan utama Jamaati Islami Bangladesh telah dipenjara, dibunuh, dihilangkan dan diseksa. Sesetengah kes yang lain, aktivis Jamaati dan sayap pelajarnya Chhatra Shibir dinafikan hak dan akses kepada pendidikan dan peluang perkerjaan secara saksama. Sedangkan Jamaati Islami merupakan sebuah pertubuhan parti politik dan pergerakan Islam yang sah bahkan mereka merupakan parti politik ketiga terbesar di Bangladesh serta pernah berada dalam kabinet memegang beberapa jawatan menteri dalam pemerintahan Perdana Menteri sebelum ini iaitu Khaleda Zia. Daripada segi sejarah, sebelum perpecahan negara Asia Selatan iaitu India kepada Pakistan dan Bangladesh, Jamaati Islami ditubuhkan oleh Pendakwah Benua Kecil India terkenal Sheikh Abul A’la al-Maududi pada 1941 semasa India di bawah penjajahan British. Selepas 1971, Jamaati Islami wujud di ketiga-tiga negara iaitu India, Pakistan dan Bangladesh.

Mengapa pencabulan hak asasi berlaku di sana? Apakah motif yang menyebabkan Perdana Menteri Sheikh Hasina mengambil tindakan terhadap pimpinan pembangkang khususnya pimpinan Jamaati Islami? Semua ini terjawab apabila kita menelusuri sejarah Bangladesh secara ringkas semenjak 1971.

Secara ringkas, pada tahun 1971 timbul idea bahawa Pakistan Timur mahukan pemisahan untuk membentuk sebuah negara baru yang kini dikenali Bangladesh. Secara amnya pimpinan Jamaati Islami di Pakistan ketika itu menentang idea pemisahan tersebut atas alasan dikhuatiri Pakistan akan menjadi lemah dan berpecah. Pihak berkuasa Pakistan mula bertindak agresif, menyeluruh dan ganas apabila gerakan kemerdekaan Bangladesh bertambah rancak. Disebabkan pertembungan ini, ramai yang terbunuh termasuk ‘freedom fighter’ Pakistan yang menetap di wilayah Bangladesh. Selepas melalui peristiwa berdarah ini, akhirnya Bangladesh mendapat kemerdekaan pada tahun 1971. Pada 1973, Perdana Menteri Bangladesh pada ketika itu Sheikh Mujibur Rahman telah membuka fail siasatan dan mengenalpasti 195 suspek penjenayah perang yang terdiri daripada pegawai militari Pakistan. Mujibur Rahman telah menubuhkan International Crimes Tribunal 1973 bagi mengheret penjenayah tersebut ke muka pengadilan. Tribunal antara lain telah menyimpulkan bahawa :

“…the war criminals were not Bangladeshi. Otherwise, the word ‘international’ would not be used..”

Walaubagaimanapun, selepas pertukaran perbincangan diplomatik di antara Bangladesh, India dan Pakistan, Kerajaan Bangladesh telah membuat keputusan untuk memaafkan dan melupakan peristiwa berdarah 1971 dan memfokuskan masa depan yang lebih baik. Oleh itu pada April 1974, ke semua tertuduh tersebut iaitu pegawai militari Pakistan dibebaskan daripada tuduhan dan dimaafkan. Namun begitu kemudiannya Mujibur Rahman telah membuka kertas tuduhan terhadap 752 rakyatnya yang dikatakan berkomplot untuk berkerjasama dengan militari Pakistan. Pada 31 Disember 1975, Kerajaan Bangladesh bagaimanapun membatalkan pertuduhan tersebut dan akhirnya kes tersebut berjaya diselesaikan secara baik dan ditutup.

Oleh kerana dalam lembaran sejarah tercatat dan terpahat bahawa Jamaati Islami telah menentang idea pemisahan Bangladesh, maka isu ini telah dimainkan sebagai isu politik oleh parti pemerintah untuk mengekalkan kuasa walaupun isu ini telah diselesaikan secara baik semenjak 1970an. Jika ditelusuri sejarah lepas, tiada pimpinan Jamaati Islami Bangladesh yang dituduh di atas isu tersebut manakala ketika Parti Awami League pernah ditampuk kuasa pun pada 1996-2011, isu ini tidak ditimbulkan. Persoalannya mengapa isu ini timbul semua setelah lama ditutup. Jawapannya amat jelas jika kita benar-benar memahami beberapa isu dan fakta perbincangan di atas. Perdana Menteri Sheikh Hasina sengaja membuka semula isu ini dan cuba menjadikan pembangkang berpontensi seperti Jamaati Islami sebagai mangsa mungkin disebabkan kerana dendam lama atau permusuhan politik.

Semenjak Bangladesh tertubuh sebagai sebuah negara, pimpinan dan ahli Jamaati Islami secara sepenuh hati menerima keputusan ini dan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negara. Namun setelah 39 tahun berlalu, pada 2010 kerajaan sekular yang pro India telah menghidupkan semula Bangladesh International war Crime Tribunal untuk mendakwa dan menghukum pimpinan tertinggi Jamaati Islami Bangladesh. Fakta kes telah diubahusai dan diada-adakan, orang awam telah dipaksa menjadi saksi kepada kes dan menculik serta memberikan amaran kepada peguam bela dan saksi tertuduh.
Banyak keraguan fakta dan campur tangan Kerajaan didedahkan dan terdedah terhadap perbicaraan yang sedang berlangsung ini. Antara yang didedahkan oleh Pemangku Setiausaha Agung Jamaati Md. Ibrahim dalam kenyataan rasminya,

“During a state visit in Egypt in 2013, the then Home Minister gave address fixing the date of verdict of Maulana Delwar Hossain Sayedee and Abdul Quader Molla. The ministers and the ruling party leaders openly declared to hang Nizami, Mujahid and Sayedee for several times”.

Semenjak penubuhan Tribunal, Kerajaan acap kali telah berusaha melaksanakan ‘master plan’ mereka untuk melenyapkan terus pimpinan Jamaati daripada lanskap politik termasuk yang paling bersifat ‘scandalous’ ialah Pengerusi Tribunal ketika awal pembentukan Tribunal telah melakukan ‘skype meeting’ dengan Menteri Undang-Undang Kerajaan Bangladesh yang terbocor yang cuba berpakat merancang keputusan Tribunal. Saksi-saksi penting pasukan peguambela telah diculik dari Tribunal dan pengaturan tarikh keputusan hukuman membuktikan campur tangan politik yang jelas terhadap Tribunal ini.


Antara pimpinan Jamaati yang menjadi mangsa tribunal ialah bekas Amir Jamaati iaitu Profesor Ghulam Azam yang sudah berumur 92 tahun, Amir Jamaati Maulana Matiur Rahman Nizami, dua Naib Amir iaitu Maulana Delwar Hussain Sayedee dan Maulana Abdus Subhan, Setiausaha Agung Ali Ahsan Mohammad Mujahid dan beberapa pimpinan Jamaati Islami yang lain seperti Muhammad Kamruzzaman. Ke semua mereka meringkuk dalam penjara. Profesor Ghulam seperti disebut pada awalnya sudah meninggal manakala yang lain, ada yang sudah dijatuhkan hukuman mati dan ada yang masih dalam peringkat perbicaraan dan rayuan.

Sheikh Hasina juga telah menggunakan helah Bangladesh International Crimes Tribunal untuk membicarakan pimpinan pembangkang khususnya pimpinan Jamaati Islami Bangladesh yang salah seorangnya seperti yang dinyatakan di atas telah berusia lebih 90 tahun. Mereka ini adalah pemimpin Islam yang dihormati di seluruh dunia dan dikhuatiri diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan. Tribunal rekaan Sheikh Hasina ini tidak pun mengikut standard antarabangsa seperti mana Tribunal Antrabangsa Khmer Rouge, justeru bagaimanakah Tribunal boleh dipastikan benar-benar adil dan bebas daripada pengaruh politik tempatan.
Pihak penguatkuasaan undang-undang Bangladesh telah menafikan hak demokrasi yang sah yang diiktiraf oleh Perlembagaan Bangladesh kepada pimpinan pembangkang khususnya pimpinan utama Jamaati Islami Bangladesh. Pihak polis Bangladesh telah menutup pejabat Jamaati Islami Bangladesh Pusat dan Dhaka City yang mana telah didaftarkan secara sah sebagai parti politik. Pejabat sayap pelajar Jamaati Islami Bangladesh iaitu Islamic Chhatra Shibir Bangladesh turut ditutup. Ahli-ahli Jamaati Islami juga telah diperlakukan secara hina apabila mereka cuba untuk menganjurkan bantahan aman terhadap kekejaman yang berlaku. Mereka juga ditangkap atas sebab-sebab yang tidak jelas dan juga ada yang dibunuh.

Sheikh Hasina dan Kerajaannya juga telah melakukan banyak serangan terhadap perkembangan Islam dan hak asasi di Bangladesh. Antara lain telah memadamkan terma 'absolute trust and faith in the almighty Allah' daripada Perlembagaan Bangladesh, mengganggu muslimah yang mengenakan hijab, menggertak para pelajar Islam di universiti dan juga isu yang amat dikesali dengan tidak membenarkan pelarian Rohingya yang lari mendapatkan perlindungan daripada etnik Rakhine Myanmar yang membunuh mereka pada beberapa ketika untuk masuk berteduh di sempadan Bangladesh.

Penjara Bangladesh sekarang dipenuhi oleh aktivis Jamaati dan sayap pelajarnya Chhatra dan perkara sebegini jika ia dibiarkan berterusan akan mencalarkan lagi ‘track record’ kemanusiaan dan hak asasi Bangladesh seperti yang disebutkan oleh intelektual Turki Yilmaz Balcin,
“If the political power insists on this wrongful attitude and proceeds with its intention to execute the leaders of the Jamaat-i-Islami Party, the murders committed will be comparable to those committed in the Karbala incident.”

Atas keprihatinan ini, pihak pertubuhan masyarakat madani Malaysia dan Ngo-Ngo lain yang prihatin diketuai oleh ABIM telah menubuhkan Malaysian Task Force for Bangladesh (MTF4B) untuk menangani isu ini. Task Force ini juga telah menganjurkan beberapa siri demonstrasi aman di hadapan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur bagi menghantar memorandum bantahan untuk menuntut 3 perkara utama iaitu pemansuhan Bangladesh International Crimes Tribunal yang dilihat berat sebelah dan tidak adil; membebaskan tahanan politik khususnya pimpinan utama Jamaati Islami Bangladesh; dan mengembalikan hak-hak asasi demokratik dan kebebasan sivil kepada parti pembangkang khususnya Jamaati Islami Bangladesh serta keseluruhan rakyat Bangladesh. Pihak MTF4B juga telah memantau isu ini daripada masa ke semasa bagi terus memastikan dan memberikan tekanan antarabangsa terhadap Kerajaan Bangladesh agar tidak terus bermaharajalela melakukan pencabulan hak asasi di Bangladesh.

Tiada ulasan: