Rayuan untuk Syria
Khamis, Mac 05, 2015
Muslim Youth Movement (MYM) South Africa – Gerakan Dakwah di Bumi Afrika Selatan
Oleh : JUFITRI BIN JOHA
Seperti Tersiar di Majalah al-Ustaz Volume 4 No. 35
Beberapa ketika dahulu, saya tiba di Lapangan Terbang King Shaka Durban Afrika Selatan dalam keadaan cuaca yang agak buruk, terhuyung hayang dibuatnya apabila kapal terbang Emirates EK 775 cuba membuat pendaratan. Syukur apabila kapal terbang dapat mendarat dengan selamat. Saya hadir di bumi Durban setelah 18 tahun dasar ‘apartheid’ atau ‘the status of being apart’ ditamatkan secara rasmi dan sepenuhnya ketika zaman Nelson Mandela memimpin kemenangan African National Congress (ANC).dalam pilihanraya 1994.
Kedatangan saya adalah mewakili ABIM dalam kerangka memenuhi undangan Muslim Youth Movement of South Africa (MYM) merayakan sambutan 40 tahun penubuhannya. Agak signifikan kehadiran saya kerana MYM sebaya dengan ABIM dan hubungan dakwah dan ukhuwwah antara kedua-dua organisasi sudah terjalin semenjak tahun 70an lagi. Tugasan saya adalah memperhangatkan semula hubungan dakwah untuk 40 tahun yang berikutnya.
Sebagai pemerhati luar, saya cuba menilai prestasi dan pencapaian MYM di persada dakwah Afrika Selatan agar dapat dipelajari sesuatu bagi memperkayakan khazanah dakwah khususnya untuk Malaysia. Mungkin ada sesuatu yang boleh saya bawa pulang bagi memperkukuhkan kesuburan aktiviti dakwah dan perjuangan di Malaysia.
MYM merupakan sebuah organisasi dakwah yang tidak dapat dinafikan sumbangan besar dalam menyemarakkan dakwah di Afrika Selatan. MYM banyak melahirkan mukmin profesional penting yang berperanan di segenap sektor bukan sahaja dalam negara bahkan bertebaran atau intasyara di seluruh dunia sejauh Amerika Syarikat, Ireland dan New Zealand Saya lihat ada yang jadi wartawan, intelektual, ahli parlimen, duta, guru, pemimpin Ngo, ahli perniagaan, akauntan, pensyarah, aktivis sosial dan banyak lagi profesyen yang penting.
Namun begitu, sumbangan yang paling penting dan besar bagi MYM ialah terlibat bersama-sama menentang rejim apartheid Afrika Selatan yang banyak menindas dan mendiskriminasi rakyat berkulit hitam dan selain kulit MYM. Oleh kerana ahli-ahli MYM banyak terlibat dengan banyak gerakan pembebasan, MYM mengambil sikap tidak menyatakan sokongan langsung kepada mana-mana gerakan pembebasan termasuk kepada ANC di bawah pimpinan Nelson Mandela dan sayapnya United Democratic Front (UDF) walaupun didesak oleh segelintir ahli-ahli MYM.
Melalui lidah penerbitannya akhbar Al-Qalam, MYM lantang menyatakan pendirian kepada kezaliman regim apartheid sehingga menyebabkan AL-Qalam ditekan, diberi amaran keras, dirampas dan hampir-hampir sahaja diharamkan seterusnya terkubur. Namun berkat kegigihan pejuang-pejuang kebenaran, Al-Qalam terus bertahan dengan mencabar kesahihan pengharaman mereka melalui bantuan International Legal Defense Fund dan Peguam Gilbert Marcus dan akhirnya mereka berjaya. Editor Al-Qalam dengan lantang menyatakan,
“If calling for the end of apartheid and the upholding of human rights is deemed subversive by the apartheid state, then Al-Qalam stands proud in the struggle to end this pernicious and ungodly system. We reiterate our stand that we submit and obey the commands of God and unequivocally reject and ignore the laws of the oppressive and illegitimate apartheid government”.
Kerana ketegasan ini, tidak hairanlah Al-Qalam masih terus bertahan semenjak 1974 sehingga kini dan dari segi sejarahnya Al-Qalam banyak berperanan menjadi sumber berita dunia Islam, aktiviti-aktiviti MYM dan sudut pandangan Islam kepada umat Islam Afrika Selatan ketika ledakan internat masih belum berlaku. Setelah apartheid berkubur, perjuangan MYM dipanjangkan dan diteruskan bagi menamatkan satu lagi penindasan yang lebih dasyat iaitu dasar regim Zionis ke atas Palestin seperti yang disifatkan oleh Pengerusi ANC, Baleka Mbete setelah melawat Palestin sebagai “…Israeli regime is not only comparable but far worse than Apartheid South Africa”.
Satu lagi pencapaian MYM di persada dakwah ialah, keberhasilan mereka mengintegrasikan Islam ke dalam masyarakat pribumi iaitu kaum Zulu. Islam di Afrika Selatan satu ketika dahulu hanya sinonim dengan masyarakat India dan Melayu yang berhijrah ke sana. Atas kesedaran bahawa masa depan Islam di Afrika Selatan adalah di tangan kaum pribumi Afrika, MYM mula memfokus radar kaderisasinya pada tahun 80an kepada kaum ini. Kemuncak kejayaannya apabila MYM berjaya menobatkan Tahir Sitoto sebagai Presiden MYM pertama di kalangan kaum pribumi Afrika pada 1990 dan diikuti seterusnya oleh Saiyed Salman Letlatsa pada 1996 serta Presiden terkini MYM Thandile Kona yang saya temui di Afrika Selatan baru-baru ini dan dating ke Malaysia atas undangan ABIM dalam program World Conference on Islamic Resurgence 2013.
Arkitek utama kepada usaha ini dipelopori aktivis MYM Imam Essa Al Seppe yang amat gigih selama hampir dua dekad membawa sinar hidayah kepada kaum pribumi Afrika sebelum dijemput Tuhan menghadapNya pada 2002. Imam Essa merupakan ‘unsung hero’ seperti kebanyakkan pejuang-pejuang agama yang lain yang tidak terkenal namun membawa impak besar dalam medan dakwah kerana kegigihan dan keikhlasan mereka sehingga Afrika Selatan menyaksikan intipati ajaran Islam amat cepat berkembang di kalangan kaum pribumi Afrika. Selain itu Imam Essa juga gigih menutup jurang sosial antara Muslim Asia dan Muslim Afrika supaya berlaku integrasi yang akhirnya menyumbang kepada keutuhan dan perpaduan umat Islam di Afrika Selatan.
Kewujudan Muslim Afrika sudah dikenalpasti semenjak abad ke-19 dengan ketibaan komuniti Zanzibari sekitar 1873 dan 1880 di Durban dan migrasi buruh Malawi ke sini dan 1970an dan 1980an merupakan detik penting perkembangan belia Afrika memeluk Islam.
Juga tidak boleh dinafikan sumbangan MYM dalam menghakupayakan (empowerment) kaum wanita Islam dalam masyarakat Islam Afrika Selatan seperti memperjuangkan penyertaan wanita dalam aktiviti-aktiviti dakwah, pengimarahan masjid termasuk menubuhkan gerakan dakwah sendiri khusus untuk wanita. MYM berjaya mengangkat martabat wanita Islam dan memberikan imej positif bahawa Islam amat membela hak dan nasib kaum wanita yang dipinggirkan selama ini oleh aliran pemikiran lama. Sudah tentu perjuangan ini tidak mudah kerana ia mendapat tentangan sengit khususnya daripada sebahagian golongan ulama yang berifkiran konvensional pada ketika itu. MYM memberikan ruang yang amat selesa kepada kaum wanita untuk berpartisipasi termasuk mencatat sejarah tersendiri melantik Fatima Noordien sebagai ahli jawatankuasa MYM pertama di kalangan wanita di peringkat nasional pada 1989 dan mengangkat agenda wanita Islam melalui ‘Women’s Rights Campaign’ pada 1990 di perhimpunan agungnya.
MYM juga merentasi zaman perjuangan dan liku-liku cabaran hampir sama dengan apa yang dialami oleh ABIM di Malaysia. MYM dan ABIM ibarat meminjam kata-kata George Bernard Shaw, “two nations divided by a common language”. MYM dan ABIM ibarat dua pertubuhan dakwah di dua benua namun berkongsi aspirasi perjuangan yang sama cuma berbeza cara dan suasana.
Ebrahim Jadwat, Presiden MYM kedua daripada 1975 sehingga 1977 yang merupakan rakan seperjuangan Anwar Ibrahim ketika memimpin ABIM ketika cuba mengimbas sejarah kegemilangan MYM sekitar zaman 70an dalam buku kenang-kenangan sempena sambutan 40 tahun MYM menyebut bahawa kewujudan MYM amat signifikan dalam mengisi ruang-ruang dakwah yang kelihatan ada vakum pada ketika itu. Walaupun ada jagoan pendakwah seperti Ahmad Deedat di Durban pada ketika itu, namun fokus Deedat lebih ‘destabilizing the Christian message’ melalui debat-debat beliau dengan pemuka-pemuka Kristian. Pertubuhan Tabligh juga sudah ada namun dakwah mereka terhad kepada Muslim sahaja.
Justeru atas semangat merevivalisasi ruh ajaran Islam kepada belia dan komuniti, mengekang fahaman Marxisme serta memperjuangkan keadilan sosial, sekumpulan anak muda Afrika Selatan tampil menubuhkan MYM pada November 1970 di Orient Hall Durban. Tanpa menoleh lagi, aktivis MYM terus gigih menyampaikan dakwah dengan mengangkat tema-tema penting seperti ‘Islamisasi ilmu’, ‘kepimpinan umat’ berwawasan’, ‘tradisi mendidik umat’ dan ‘dinamika ajaran Islam’.
MYM juga menerima sentuhan kesarjanaan daripada Profesor Fazlur Rahman yang banyak mencorak pemikiran dan hala tuju aktivis MYM. Prof. Fazlur merupakan intelektual dunia Islam yang berpengaruh yang juga banyak mencorak pemikiran aktivis dakwah di Malaysia tidak terkecuali ABIM. Oleh itu, kebangkitan yang dicanangkan oleh MYM bukan sekadar hanya semangat kepemudaan semata-mata tapi dipandu dan diasaskan atas bimbingan dan budaya ilmu daripada pemuka-pemuka Ilmu terkemuka dunia Islam.
MYM tidak terkecuali menerima sentuhan emas aktivis dakwah antarabangsa yang menuntut di Amerika Syarikat juga sebagaimana yang dilalui oleh ABIM seperti Ahmed Sakr, Ahmad Totonji dan Dr Jamal Badawi. Pertalian dan perhubungan ini akhirnya membawa MYM ke pentas dakwah antarabangsa seperti Islamic Federation of Students Organizations (IIFSO), World Assembly of Muslim Youth (WAMY) dan the International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang diasaskan oleh almarhum Dr. Ismail Al-Faruqi. Di pentas ini jugalah pertemuan dan perkenalan antara MYM dan ABIM berputik sehingga ia membeku seketika selapas era kepimpinan ABIM di bawah Ahmad Azam Abdul Rahman.
MYM terus mengorak langkah cemerlang dengan memberikan banyak sumbangan besar seperti bertanggungawab menjadi nukleus kepada tertubuhnya dan bergeraknya South African National Zakah Fund, Islamic Medical Association of South Africa dan As Salaam Educational Institute.
Sebagai pemerhati sambutan 40 tahun MYM, saya dapat melihat satu perubahan yang kurang menyenangkan bahkan membimbangkan. Saya mendapati aliran pemikiran feminisme dan liberalisme sudah menyusup masuk ke dalam kepimpinan baru MYM walaupun golongan senior masih kekal dengan acuan wasatiyyatul Islam dan pemikiran pembaharuan haraki oleh Imam Hasan al Banna, Sheikh Syed Abul ‘Ala Mawdudi dan Ali Shari’ati yang diperjuangkan semenjak 1970. Golongan kepimpinan muda terpengaruh dengan pemikiran liberal dan feminisme yang dipelopori oleh Prof Aminah Wadud yang pernah menggemparkan dunia Islam apabila mengimamkan solat Jumaat di New York pada 2005 dan Fatima Mernissi, aktivis feminis Arab dari Morocco. Jelas fahaman ini diberikan ruang oleh kepimpinan muda MYM dan antara tajuk pembentangan dalam seminar sempena sambutan 40 tahun MYM yang lepas ialah Islamic Feminisme yang bagi saya secara peribadi menganggap amat tidak sesuai dengan acara sambutan. Jelas pembentangan tajuk ini juga mendapat komen tegas dan teguran daripada Dr Shaukat Ali Tokan, mantan Presiden MYM 1977 sehingga 1979 yang turut hadir ketika seminar tersebut berlangsung dengan menyatakan bahawa Islam sudah lengkap memperjuangkan hak-hak wanita dan MYM tidak memerlukan perjuangan berunsurkan Islamic feminism. Jelas di sini, terdapat pertentangan jelas antara ‘kaum tua’ MYM dengan ‘kaum mudanya’.
Gerakan feminisme di Afrika Selatan ini setelah saya semak sudah terangkai dalam gerakan emansipasi wanita global iaitu Musawah Movement yang turut disertai gerakan feminisme Malaysia.
Perkembangan terbaru yang berlaku MYM adalah agak membimbangkan dan jika kepimpinan muda MYM masih kekal dengan acuan pemikiran sebegini MYM sudah tidak lagi relevan menjadi seperti yang diungkapkan oleh Na’eem Jeenah mantan Presiden MYM sebagai ‘vanguard of Islamic thought and Islamic activism in South Africa’. Mungkin ABIM ada peranan besar dalam hal menegur kembarnya MYM agar kembali ke landasan sebenar berdasarkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah dengan acuan wasatiyyatul Islam, ‘la ifrad wa la tafrid’.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan