Rayuan untuk Syria
Ahad, Mac 08, 2015
NOTA DISKUSI ‘ROADMAP ASEAN COMMUNITY POST 2015’ 7 MAC 2015
ASEAN merupakan antara wilayah kerjasama serantau yang dikiranya antara yang berjaya di dunia di sebalik pelbagai cabaran dan halangan yang ditempuhi oleh anggota-anggotanya. Asia Tenggara berbeza dengan rantau Eropah kerana ia dihuni oleh kerencaman 620 juta penduduk yang berlainan bangsa, etnik, agama dan budaya namun usaha ke arah integrasi dan satu identiti umum giat diusahakan oleh anggota ASEAN untuk mewujudkan satu kerjasama mantap yang menyumbang ke arah sebuah rantau yang stabil, aman dan makmur.
ASEAN telah memperkenalkan dan merintis jalan ke arah Komuniti ASEAN 2015 bagi merealisasikan agenda yang penting ini. ASEAN telah memasuki fasa dan era baru dengan kepimpinan signifikan pada tahun ini oleh Malaysia. Justeru ‘roadmap’ pasca 2015 harus dirangka dan dimantapkan di atas tiga sendi utama Komuniti ASEAN 2015 iaitu 1.) Politik dan Keselamatan 2.) Ekonomi dan 3.) Sosio-Budaya bagi memastikan usaha berterusan ke arah merealisasikan Komuniti ASEAN yang padu. Malaysia telah diberikan mandat untuk merangkan ‘roadmap’ ini. Selaku majoriti penduduk ASEAN iaitu 60 peratus dikuasai oleh penduduk di bawah 35 tahun ke bawah dan bersesuaian dengan tema ‘ASEAN People Centred’ maka menjadi tanggunjawab generasi muda berpartisipasi memberikan idea, pandangan dan tenaga ke arah memastikan kesinambungan Komuniti ASEAN.
MBM dan CAYC mengambil inisiatif proaktif bagi memfasilitasi pertemuan untuk generasi muda Malaysia memberikan pandangan pada pihak Kerajaan melalui Wisma Putra berdasarkan aspirasi dan citra generasi muda Malaysia untuk melihatkan Komuniti ASEAN Pasca 2015 dan kehadapan. Pada pertemuan ini MBM dan CAYC berhasrat memfokuskan sendi pertama Komuniti ASEAN iaitu Politik dan Keselamatan namun dua lagi sendi iaitu Ekonomi dan Sosio Budaya turut boleh disentuh dan diselitkan.
Sendi Politik dan Keselamatan merangkumi tema seperti Mempromosi tata kelola yang baik (good governance); Perlindungan dan promosi hak asasi manusia; Memerangi rasuh; Penegakan prinsip demokrasi; dan Peningkatan partisipasi pemegang taruh dan pihak berkepentingan khususnya generasi muda dalam hal ehwal politik ASEAN.
Semoga forum ini yang diusahakan oleh MBM dan CAYC ini akan akan meningkatkan ruang dan peluang generasi muda Malaysia berpartisipasi dalam perbincangan-perbincangan penting seumpama ini serta akan lahir idea-idea yang bernas dan kreatif yang menyumbang ke arah sebuah rantau Asia Tenggara yang makmur dan ASEAN yang benar-benar berpaksikan ‘people and youth oriented’.
JUFITRI JOHA
Naib Presiden MBM
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Catatan Perbincangan oleh Ketua Penerangan MBM, Saudara Rizan Hassan
PERSIDANGAN MEJA BULAT KOMUNITI POLITIK KESELAMATAN ASEAN PASCA 2015
01.
Berikut adalah beberapa input atau dapatan yang sempat saya catatkan untuk perkongsian semua:
02.
Malaysia perlu memperkukuhkan perancangan, kerjasama, serta perkongsian risikan bersama anggota Asean secara proaktif, bersesuaian dengan peranannya selaku pengerusi Asean mulai 2015.
03.
Landskap dunia tanpa sempadan kini menuntut semua negara bekerjasama dalam menangani isu-isu keselamatan.
04.
Landskap keselamatan, ketenteraan global hari ini menuntut kita di Malaysia tidak boleh wujud dalam suasana keseorangan. Dunia tanpa sempadan boleh membawa ancaman kepada negara berdaulat dan merdeka yang menuntut kita untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan.
05.
MBM berpendapat bahawa yang penting isu kerjasama rapat ini tidak dipolemikkan, dipolitikkan serta disensasikan sehingga boleh menjejaskan persepsi orang ramai. Tanpa kerjasama itu, negara Asean termasuk Malaysia juga berkemungkinan menerima nasib sama seperti negara bergolak di Asia Barat dan Ukraine.
06.
MBM juga merasakan isu amat penting ketika ini adalah isu-isu keselamatan serantau. Isu keganasan di Selatan Thailand, Kepulauan Mindanao di Filipina serta keganasan terhadap warga Rohingya di Myanmar masih menjadi bualan antarabangsa dan perlu penyelesaian segera.
07.
Isu mutakhir pula berkaitan dengan perkembangan sosiopolitik dunia seperti kewujudan kumpulan ekstrem serta isu pengedaran dadah dan pemerdagangan manusia.
08.
Motif pencerobohan Lahad Datu dikatakan berhubung kait dengan cita-cita menuntut hak ke atas Sabah. Sekiranya andaian itu benar, ia bererti kepemimpinan ASEAN harus berdepan dengan satu lagi isu tuntutan sejarah lalu yang dilakukan menerusi keganasan.
Tiga cabang Komuniti ASEAN
1. Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN
~masih menekankan kewujudan norma dan nilai bersama bagi memastikan jaminan kesinambungan kestabilan politik dan hubungan antarabangsa. Nilai keadilan, demokrasi dan pemerintahan terbaik diterapkan.
2. Komuniti Ekonomi ASEAN
~akan menarik negara ahli untuk sama-sama meningkatkan pembangunan modal insan, teknologi maklumat dan komunikasi, pengurangan kemiskinan, pelaburan luar dan meningkatkan kualiti hidup. Fokus adalah jelas kepada isu pembangunan ekonomi.
3. Komunikasi Sosio-Budaya ASEAN
~memperlihatkan suatu bentuk transformasi. Pertama, prinsip hak asasi manusia dimasukkan ke dalam Piagam ASEAN yang membolehkan penubuhan satu badan hak asasi manusia ASEAN. Kedua, ASEAN menggalakkan pembabitan masyarakat sivil khususnya dalam mewujudkan badan hak asasi manusia itu. Pembabitan masyarakat sivil akan mengabsahkan ASEAN menerusi penerapan norma dan prinsip demokrasi bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab kepada rakyatnya.
Tahniah kepada MBM dan CAYC di atas sesi ini.
KETUA PENERANGAN MBM
7.3.15
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan