Rayuan untuk Syria
Isnin, April 13, 2015
Mesir Selepas 4 Tahun Revolusi dlm Majalah al-Ustaz Volume 04 No 36
Mesir Selepas 4 Tahun Revolusi.
Oleh: Jufitri bin Joha
Felo Global Movement of Moderates (GMM)
Selepas kali pertama dan terakhir menjejakkan kaki ke Mesir pada Ogos 2003, saya kembali semula ke Mesir pada awal Februari 2015 yang lepas. Kata pepatah orang tua-tua, sesiapa yang pernah minum air Sungai Nil maka ia pasti kembali semula ke bumi lembangan Sungai Nil mengalir ini. Saya kembali semula ke Mesir dan masih amat ingat secara fizikalnya Mesir tidak banyak berubah sejak 13 tahun dulu kecuali yang saya perasaan ialah pembinaan lapangan terbang baru. Lebih signifikan, saya tiba 10 hari selepas sambutan ulangtahun ke-4 Revolusi Mesir yang menyaksikan beberapa kematian di kalangan para pendemonstran menentang As Sisi.
Mesir masih tetap kotor dan kusam serta perangai orang Mesir yang menyesakkan dada apabila berurusan secara langsung dengan mereka. Pemerintahan tentera di bawah pentadbiran Jeneral Abdul Fatah As Sisi menggambarkan seolah-olahnya Mesir memilih untuk kembali pada zaman sebelum revolusinya pre-25 January 2011 Revolution iaitu ‘the police state’. Kalau tidak kerana untuk mengisi Simposisum Mahasiswa Timur Tengah, melawat Pesta Buku Antarabangsa Cairo kedua terbesar selepas Frankfurt, Al-Azhar dan para masyayikh maka tidak sudi saya ke sana.
Rakyat Mesir walaupun tidak semua seolah-olah memilih untuk kekal pada takuk lama lama dan enggan menerima perubahan. Benarlah kata-kata pemikir Islam tersohor Mesir Muhammad Imarah bahawa kudeta ini membawa Mesir 60 tahun ke belakang semula dan kelihatan Mesir akan melalui fasa-fasa mendung yang tidak tahu bila kesudahannya. Ketika awal kemenangan Dr. Morsi, Kerajaan Turki telah menghantar beberapa buah lori sampah bagi membantu Kerajaan Morsi memulakan perubahan kepada landskap kebersihan Mesir namun selepas kejatuhan Morsi agenda kebersihan itu seolah-olah tinggal impian bahkan logo Kerajaan Turki pada badan-badan lori tersebut dipadamkan. Rakyat Mesir lebih suka hidup dalam kekotoran daripada memilih kebersihan dan tabiat tidak bertamadun membuang najis dan kencing di tempat-tempat awam masih berlaku.
Namun begitu, ada juga rakyat Mesir yang mahukan perubahan tapi hak dan pilihan demokrasi terhadap Morsi dinafikan. Saya amat bersetuju ketika bersembang dengan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dato’ Irmohizam Ibrahim yang sempat berbincang dengan delegasi Mesir baru-baru ini bahawa dosa dan sebab utama Morsi diguling hanyalah satu iaitu perjuangan beliau bagi membela rakyat Palestin di Gaza dengan membuka semula akses keluar masuk antara Mesir dengan Gaza. Sebab itulah Kerajaan Haram Zionis antara pihak yang gembira dengan kejatuhan Morsi dan senang dengan gaya pentadbiran Mubarak dan As Sisi. Jeremy Bowen dalam The Arab Uprisings menyebut,
“One of Israel’s leading political analysts told me once, only partly joking, that the first job every morning in the foreign ministry in Jerusalem was to say a prayer for Hosni Mubarak’s health”.
Walaupun nampak ianya hanya jenaka namun ia adalah realiti dan sudah tentu doa itu sekarang ini ditujukan pula kepada kesejahteraan As Sisi.
Dr. Morsi dan pimpinan Ikhwanul Muslimin terus dibicara dan dijatuhkan hukuman dengan pertuduhan yang tidak munasabah oleh Mahkamah Kanggaroo Mesir yang kelihatan terus berfikiran konservatif. Masalahnya dahulu ialah, kepimpinan tertinggi Mesir berubah selepas revolusi dan pilihanraya dengan naiknya Dr. Morsi namun sayangnya jentera Kerajaan Mesir masih pro-Mubarak dan berfikiran jumud. Benarlah kata-kata Profesor Tariq Ramadan bahawa, perubahan yang berlaku di Mesir bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan revolusi kerana revolusi bermakna keseluruhan orang dan sistem berubah. Dalam kes Mesir sistem dan jentera kerajaan tidak berubah. Bak kata pelajar sarjana kedoktoran Georgetown University Hesham Sallam, walaupun Dr. Morsi memerintah peranan ‘deep state’ yang masih berkuasa di lubuk pemerintahan Kerajaan Mesir yang menjadi nadi penentu kepada segala-galanya dalam politik dan pemerintahan kerajaan.
Ikhwanul Muslimin diharamkan dan sebahagian pimpinan Ikhwan yang lolos terpaksa melarikan diri ke negara-negara lain untuk mencari suaka politik. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi turut menjadi mangsa As Sisi dengan notis merah penangkapan yang dikeluarkan oleh Interpol atas kesalahan kononya menghasut rakyat Mesir. Mubarak dibebaskan dan dikatakan anak-anak Mubarak iaitu Alaa dan Gamal pun turut diarahkan oleh Mahkamah Mesir untuk dibebaskan. Paling menggusarkan ialah terdapat usaha-usaha mengembalikan Mubarak ke tampuk pemerintahan sejurus pembebasan beliau dari penjara. Tiada lagi protes besar-besaran kecuali 25 Januari 2015 yang lepas serta demonstrasi pro As Sisi sahaja yang masih dibenarkan berterusan di Dataran Tahrir.
Saya teringat ketika berkesempatan bersemuka dengan Mantan Menteri Kabinet Morsi Sheikh Solah sangat memberikan kesegaran dan kemaskini perkembangan pasca kejatuhan Morsi 3 Julai 2013.
Sheikh Solah menegaskan bahawa Dr. Morsi dipilih secara demokrasi dan pilihanraya bebas (madaniyy al muntakhob) dan mengangkat sumpah Presiden di hadapan pihak tentera, Al Azhar dan Mahkamah Tinggi.
Solah memperihalkan Dr. Morsi sebagai sakhsiyyah yang menghafal al Quran, pemegang PhD, melazimi solat jamaah khususnya solat Subuh di kawasan perumahannya, berjalan di pasar, dan makan seperti orang kebiasaan. Beliau enggan tinggal di Istana Presiden bahkan membayar sewa rumahnya sendiri. Bidang kajian sarjana (master) beliau ialah dalam sel tenaga solar yang digunakan di Amerika.
Dr. Morsi bercita-cita mendirikan kilang senjata, makanan dan ubat-ubatan sendiri dan 3 perkara ini juga menjadi keutamaan pemerintahan beliau iaitu makanan asasi, senjata dan ubat-ubatan. Dr. Morsi membina jaringan persahabatan dan diplomasi dengan China, Rusia, Brazil, Amerika Selatan, Iran, Arab Saudi, Ethopia, Sudan, Qatar dan lain-lain. Turut dalam senarai yang telah dilawatinya ialah India, Pakistan dan Jerman bagi membina kerjasama membangunkan Mesir yang sudah lama ketinggalan dan mundur. Dr. Morsi juga membuka pusat aduan di Istana bagi membolehkan rakyat membuat aduan. Namun segala-gala ini tidak ditonjolkan bahkan pihak media membuat pelbagai tohmahan jahat menjatuhkan imej baik Dr. Morsi. Beratus juta dollar diperuntukkan bagi membiayai kempen memburukkan Dr. Morsi dan Kerajaannya.
Dr. Morsi prihatin yang amat terhadap isu umat. Beliau sentiasa berkongsi derita dengan penduduk Palestin. Beliau memastikan laluan bantuan kemanusiaan mudah memasuki Gaza. Pimpinan Hamas juga berpeluang menjejaki kaki ke Istana Presiden Mesir buat kali pertama dalam sejarah bagi memperkukuhkan hubungan Mesir-Palestin. Dr. Morsi tegas menolak sekatan terhadap Gaza dan menegur keras serangan Zionis terhadap Gaza bahkan menghantar Perdana Menteri Mesir Dr. Hesham Qandil melawat dan membantu Gaza selepas serangan Zionis. Speaker Parlimen Mesir Dr Mohamed Saad El Katatny mengusahakan jet khas untuk membawa terbang langsung Ahli Parlimen ke Gaza untuk memberikan sokongan pada rakyat Gaza dan Palestin.
Semenjak kudeta ganas pimpinan Jeneral as Sisi telah menyebabkan lebih 5000 orang terkorban, lebih 23 000 jiwa ditahan termasuk wanita dan kanak-kanak. Sebahagian mereka ada yang dinafikan ubat-ubatan dalam penjara sehingga menemui ajal. Sebahagian mereka dituduh tanpa asas kukuh dan dinafikan akses pada pihak pembelaan. Tuduhan yang kadang-kadang tidak masuk akal termasuk seseorang individu yang dikenakan 30 tuduhan serentak. 683 jiwa dihukum bunuh di mana hukuman dibuat dalam masa beberapa minit sahaja dan paling malang ada yang tidak sempat pun mendengar pertuduhan. Solah mengibaratkan Mahkamah Mesir umpama memberikan gula-gula ketika menjatuhkan hukuman berat ini.
As Sisi dianggap wira bahkan Duta Israel ke Mesir mengangkat as Sisi sebagai pahlawan Negara orang-orang Yahudi sambil pernah berkata bahawa Ikhwan harus dijatuhkan dan apa yang berlaku di Medan Tahrir mempunyai kesan pada Zionis. Zaman kegelapan rakyat Palestin bermula semula dengan terowong-terowong ke Gaza dimusnahkan manakala Hamas dikaitkan dengan kejadian keganasan di Sinai sejurus selepas kejatuhan Dr. Morsi. Sementera itu, Menteri Pertahanan Zionis dilaporkan berkata bahawa pertuduhan terhadap Dr. Morsi amat menggembirakan mereka manakala Menteri Kewangan Zionis berkata kejatuhan Dr. Morsi membuka fasa baru kerjasama erat Mesir-Zionis. Maka mencurahlah bantuan kewangan Zionis terhadap tentera Mesir.
Kita tidak dapat menjangkakan masa depan yang lebih baik Mesir. As Sisi yang akan terus berkuasa dan dengan khabarnya Rusia dan Putin sudah meluaskan sayap pengaruhnya ke Mesir yang pastinya akan mengukuhkan lagi kedudukan As Sisi. Tidak banyak yang Dunia Islam boleh harapkan daripada Mesir buat waktu ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan