Rayuan untuk Syria
Selasa, Mei 26, 2015
Fenomena Kepemudaan dan Kebangkitan Islam
Oleh: Jufitri bin Joha (Youth Reader)
Fenomena Ahmad Ammar bukan sekadar berkongsi kisah keperibadian dan kehebatan peribadi, tetapi ia adalah simbol dan manifestasi kebangkitan kepemudaan dan Islam yang sinonim semenjak permulaan Nubuwwah ar Rasul S.A.W.
Ia juga merupakan kisah anak muda yang memilih jalan ‘extra ordinary’ yang jarang-jarang dilalui oleh anak-anak muda yang lain. Beliau mengulangi watak-watak kepemudaan dalam lembaran sejarah. Benar kata-kata Pak Hamka ketika beliau ditanya oleh anakandanya sama ada sejarah mengulangi dirinya, lantas Hamka menjawab tidak bahkan perangai dan perilaku manusia di setiap zaman akan menentukan. Namun perangai dan perilaku di sini ialah perangai dan perilaku baik yang menjadi teladan dan qudwah sepanjang zaman. Golongan muda yang membuat perubahan dan revolusi iman seperti yang dipuji oleh Allah Ta’ala dalam ayat surah Kahfi adalah sedikit. Dr. Rumaizuddin Ghazali, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyebut bahawa ayat ini menggunakan terma ‘jam;ul qillah’ yang menggambarkan betapa sedikitnya golongan pemuda yang berani dan mempunyai iltizam yang tinggi untuk melakukan perubahan. Dr. Mahmud Rushdan, pengasas International Institute of Islamic Thought (IIIT) pula meletakkan kepercayaan kepada bilangan yang sedikit dan berkualiti untuk melakukan reformasi sosial.
Justeru tidak hairanlah pemuda seperti Ammar tidak ramai namun dengan kematiannya yang menghidupkan ini berjaya meniupkan obor semangat dan kesedaran kepada lebih ramai pemuda-pemudi dan masyarakat luar tentang tujuan, hakikat serta makna kehidupan yang singkat ini. Mereka tersentak daripada lamunan panjang lagi melalaikan dan bermula berfikir adakah penciptaan mereka ini hanya sia-sia tanpa tujuan utama. Tugasan sebagai hamba, khalifah dan pembangun masyarakat harus digalas sebagai suatu amanah berat yang akan dipertanggungjawab kelak.
Ammar seorang anak muda yang telah diprogram dan diagendakan oleh ayahanda yang berwawasan tinggi dan yang lebih mengkagumkan ketaatan dan kesabaran central processing unit (CPU) Ammar untuk menerima program dan agenda demi kebaikan masa depan beliau secara khususnya dan ummah secara amnya. Tidak mudah membentuk anak muda sepanjang zaman kerana zaman remaja adalah zaman mencabar seperti kata Stanley Hall, ‘storm and stress’.
Pada fasa perubahan dan transisi ke alam dewasa ini, remaja sedang berhadapan dengan cabaran dan tekanan sekitar identiti, seksualiti, religiosity dan lain-lain. Para ahli sosiologi mendapati the word ‘youth’ has become problematic in that its definition appears to be negative, applying to a phase of life that is neither childhood nor adulthood. Ditambah pula dengan label negatif diletakkan oleh masyarakat dan pihak media yang rakus mengaut keuntungan kepada belia dan remaja menyebabkan terhasilnya tembok sosial yang memisahkan mereka dengan masyarakat yang akhirnya mereka memberontak dan memprotes dengan melakukan perkara-perkara dan terlibat dalam gejala haram dan maksiat. Golongan remaja dan belia akan sentiasa berasa tertekan berhadapan dengan situasi dan keadaan sekeliling yang tidak menentu. Keadaan akan bertambah buruk jika panduan dan sokongan sewajarnya tidak diberikan oleh keluarga, golongan dewasa dan masyarakat.
Di usia mencecah 20an, Ammar berjaya menghadapi fasa ini dengan baik dan beliau beruntung mempunyai ibubapa dan keluarga perjuangan yang sentiasa menyuntik agenda dan semangat perjuangan. Paling signifikan apabila modul membangunkan Ammar ini dirumuskan oleh ayahandanya seperti berikut:
1. Nama yang terpuji;
2. Penerapan wawasan ummatik;
3. Pendidikan adab;
4. Penghayatan Al-Quran;
5. Kekuatan mendirikan solat tahajud;
6. Penguasaan ilmu srategik; dan
7. Penguasaan pelbagai bahasa.
Modul ini amat baik untuk keluarga Muslim mengaplikasikannya agar lahir lebih ramai tokoh-tokoh muda yang dipersiapkan untuk memimpin umat. Kesempatan bertemu dan berbincang dengan ayahandanya Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman yang juga merupakan mentor saya amat mengujakan dan menyegarkan. Beliau menyebut agenda pembangunan Ammar bukan agenda kecil-kecil anak kerana cita-cita beliau ialah untuk melahirkan pemimpin Islam bertaraf dunia dan lima bintang.
Beliau mengambil contoh perjalanan hidup Presiden Republik Turki Dr. Ahmad Davutoglu yang kini menjadi pemimpin dunia Islam yang ‘smart’ dan bertaqwa. Beliau dikenali sebagai arkitek dasar luar Turki terbaik ketika menjadi Menteri Luar Turki. Beliau yang saya ingat amat sinonim dengan dasar luar ‘zero problem with neighbours’ yang menjadikan Turki makmur dan menjadi ‘role player’ terpenting di rantau Asia Barat dan Dunia Islam. Pernah mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum berpencak di pentas politik Turki dan Antarabangsa sebagai ahli politik yang bijak dan berkarisma tinggi.
Tuan Haji Azam banyak terinspirasi dengan Erdogan, Abdullah Gul, Davutoglu, Sultan Muhammad al-Fateh serta Empayar Turki Uthmaniyyah yang pernah memimpin dua pertiga dunia dan membawa keamanan dan kemakmuran sejagat. Tidak hairanlah Ammar dihantar ke Turki bagi menyambung pelajaran dan mengasah kepimpinan ummatik.
Takdir Allah telah mendahului segalanya, kematian Ammar membuka ruang yang lebih besar buat Tuan Haji Azam untuk merangka ‘roadmap’ dan ‘grand design’ untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang memimpin dunia. Tuan Haji Azam sedar bahawa inilah hikmah sebuah kematian dan kehilangan yang merintis jalan yang lebih besar buat dirinya menyumbang untuk umat. Remaja, belia dan masyarakat mendapat tempias manfaat daripadanya melalui ‘roadshow’ dan terbaru projek latihan Kem Ammar Al-Fatih.
Umat dan generasi muda kemarau dengan teladan. Kematian Ammar membuka mata masyarakat bahawa masih wujud anak muda yang baik dan berwawasan di sebalik imej negatif belia. Mesej kematian Ammar amat jelas bagi mendidik belia dan masyarakat bahawa hidup ini terlalu singkat maka berbuatlah amal dengan meninggalkan legasi dan kesan abadi buat umat seperti idea Bapak Tenas Effendy dari Riau ketika berbicara soal jatidiri dan nilai-nilai luhur belia dalam tamadun Melayu menyebut tentang Sifat Dua Puluh Lima yang perlu ada pada belia. Antara lain beliau menyebutkan “Sifat tahu hidup meningalkan, tahu mati mewariskan”.
Pak Tenas mensyarahkan pepatah dan pepitih tersebut sebagai,
“Yakni sifat yang menyadarkan orang untuk berkarya, berbuat kebajikan, berbuat budi dan jasa selama hidupnya, serta mewariskan nilai-nilai luhur agama dan budaya, mewariskan karya dan jasa, mewariskan nama baik, memberi faedah dan manfaat yang sebesar-besarnya bagi masyarakat bangsa dan negaranya. Ungkapan menyebutkan,
“yang disebut hidup meninggalkan
meninggalkan syarak tempat berpijak
meninggalkan adat tempat menempat
meninggalkan lembaga tempat berjaga
meninggalkan budi yang terpuji
meninggalkan contoh yang senonoh
meninggalkan teladan yang sepadan
meninggalkan nama yang mulia
meninggalkan petuah yang berfaedah
meninggalkan kaji yang berisi
meninggalkan pusaka yang berhargai
meninggalkan anak yang dipinak
meninggalkan harta yang berguna
meninggalkan dengan bekalnya.
Semoga sebuah kematian ini akan terus memberikan inspirasi kepada umat melahirkan lebih ramai pemimpin muda berkarisma yang akan meneruskan perjuangan anak-anak muda yang mendokongi Sayyiduna Muhammad al-Musatafa seperti Mus’ab ibn Umair, As’ad ibn Zurarah, Saad Ibn Muadz dan lain-lain yang sentiasa ‘evergreen’ dan fenomena kebangkitan Islam sepanjang zaman. Ianya bukan segala-galanya tentang Ahmad Ammar tetapi ‘concern’ kita adalah pada pembinaan generasi masa depan yang bakal kita wariskan adalah generasi yang seharusnya kuat untuk manfaat umat. Firman Allah Ta’ala,
“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar”. (An Nisaa’, 4:9)
Wallahua’lam.
Nilai, 1.36 tenghari
18 Februari 2015 / 28 Rabiulakhir 1436 H
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan