Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Rabu, Mei 20, 2015

NGAUMAN EKONOMI TURKI: DARI CHP KE AKP



Oleh: JUFITRI BIN JOHA

Ekonomi Turki kelihatan lesu ketika puluhan tahun Parti Sekular CHP memerintah Turki dengan membawa legasi sekularisme Kamal Ataturk. Semasa awal dekad 1990an keadaan politik yang tidak stabil di Turki meninggalkan kesan negatif yang teruk kepada hutang awam dan asing disebabkan inflasi yang tinggi, defisit belanjawan dan akaun semasa yang tinggi. Kerajaan campuran pada ketika itu gagal menanganinya sehingga Turki mengalami kemunduran dan kelembapan ekonomi sehingga datang fajar Turki Baru atau New Turkey yang dipelopori Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) membawa satu dimensi dan perspektif baru dalam politik, ekonomi dan dasar luar negara.

Kerajaan AKP pimpinan Erdogan menekankan disiplin fiskal, transformasi struktur dan penswastaan. Dalam tempoh fajar baru ini, Turki berjaya keluar daripada era kelembapan ekonomi bahkan mencapai pertumbuhan ekonomi yang stabil. Turki juga survive dalam krisis kewangan global pada 2008 dengan kesan kemusnahan yang minimum. Kerajaan AKP yang berbasiskan aliran konservatif demokrat yang dipimpin oleh gandingan Democrat Islamist Erdogan-Davutoglu-Gul berjaya membuktikan kualiti kepimpinan dunia Islam dalam membangunkan sebuah negara iaitu professional (al-qawiyy) dan amanah (al-amin) sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Qasas ayat 28,

“Salah seorang daripada kedua-duanya berkata: “ Wahai ayah, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat, lagi amanah”.

Masalah yang membelenggu dunia Islam selain daripada kekeliruan ilmu ialah kelemahan kepimpinan daripada sudut penegakan demokrasi, tata kelola atau governan yang lemah, rasuah dan hak asasi manusia namun Turki berjaya keluar daripada persepsi buruk ini bahkan memberikan imej yang baik kepada dunia Islam. Kepimpinan AKP yang cerdas mengambil strategi mengenyangkan perut rakyat dahulu atau memperkukuhkan ekonomi negara sebelum menerapkan dan mengembalikan semula nilai-nilai dan ajaran Islam setelah puluhan tahun ajaran sekularisme mendominasi jiwa dan pemikiran rakyat Turki. Kepimpinan AKP berjaya mendapat kepercayaan majoriti rakyat dengan membuktikan kecekapan mentadbir negara dan ekonomi sebelum secara perlahan-lahan atau tadarruj mengembalikan pengamalan Islam ke dalam nurani rakyat Turki.


Pelajar sarjana di Universiti Necmeetin Erbakan iaitu saudara Syafiq Shafii menulis,

“Keputusan pilihan raya tempatan pada 30 April telah berpihak Erdoğan dan partinya. AKP telah memenangi pilihanraya dengan 46% berbanding hanya 39% pada pilihanraya 2008. Semenjak 1950, belum ada satu parti yang mampu mencapai jumlah 40% daripada undi kecuali AKP yang telah memenangi 49 bandar daripada 81 bandar yang ada di Turkey. Jumlah keluar mengundi juga mencatat satu angka yang tinggi iaitu 80% atau 52 Juta penduduk. Dengan kemenangan besar ini, sekali lagi membuka pintu kepada Erdoğan bersama kerajaannya untuk terus berkhidmat membangunkan negaranya”.

Kemenangan dan kepercayaan ini melonjakkan keyakinan lagi Erdogan dan AKP untuk meneruskan agenda Islamisasi selepas ekonomi ditambah pula dengan kekuatan 52 peratus undi Pilihanraya Presiden 2014 yang lalu, Erdogan sudah mula menzahirkan usaha-usaha Islamisasi dan Ottomanisasi setelah beberapa tahun bersabar dengan suasana sekularisme yang mencengkam kuat dan membangun ekonomi Turki yang bermula dengan defisit dan inflasi yang tinggi. Paling membanggakan ialah yang terbaru Erdogan telah menggantikan gambar rasmi kebanggaan Kerajaan Turki selama puluhan tahun iaitu wajah Kamal Attaturk kepada wajah Sultan Muhammad al-Fatih. Erdogan mula memulihara semula tinggalan Ottoman yang terbiar selama ini termasuk merenovasi Masjid yang menempatkan maqam Sultan Muhammad al-Fatih.
Dunia kagum dengan pencapaian Turki. Penganalis politik Turki seperti Vildan Serin dan Filiz Kadi (2013) menulis satu makalah yang baik bertajuk An Analysis of The Emerging Economies in the Global Governance: A Case Study of Turkey menganalisis kemakmuran, formula dan strategi Turki membangun ekonomi khususnya di bawah AKP.

Serin dan Kadi menyebut strategi politik Turki yang mengutamakan kebebasan dan patisipasi politik, dasar ekonomi yang mampan serta dasar luar yang proaktif dan peace oriented menjadi formula kepada kejayaan ekonomi Turki. Turki mempromosikan pasaran bebas dan mengintegrasikan ekonomi ke dalam pasaran dunia. Turki turut menukar strategi yang hanya banyak mengimport kepada industri eksport dan kesannya nilai eksport Turki telah melonjak daripada 2.3 bilion dollar pada 1979 kepada 134.9 bilion pada 2011. Jumlah negara yang mempunyai nilai eskport dari Turki melebihi 1 bilion dollar meningkat daripada 5 negara pada tahun 2000 kepada 30 negara pada 2008.

Ekonomi Turki telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang kuat dengan 11 peratus pada suku tahun yang pertama 2011menjadikan ianya antara negara yang paling kompetetif dalam ranking dunia. Turki turut mempunyai sistem perbankan yang kukuh dengan beberapa usaha reformasi selama beberapa tahun sehingga Turki menjadi satu-satunya negara anggota OECD yang tidak campur tangan dalam sector perbankan ketika krisis ekonomi melanda pada tahun 2008.

Dasar luar Turki yang diterajui arkitek genius Dr. Ahmed Davutoglu memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi Turki. Davutoglu yang pernah menjadi pensyarah UIAM Gombak, telah memformulasikan dasar mesra Barat dan polisi “zero problem with neighbours” khususnya dengan negara-negara jiran di rantau Asia Barat.

Turki telah memanfaatkan hubungan mesra dengan Barat khususnya dengan Kesatuan Eropah (EU) untuk meningkatkan pasaran eksport ke sana. Eksport Turki ke EU meningkat pantas daripada import sehingga ratio eskport-import Turki meningkat daripada 66 peratus pada 1995 kepada 77 peratus pada 2003. Laporan Parlimen Eropah menyebut bahawa hubungan dagang EU dengan Turki pada tahap yang advance. Laporan tersebut turut mencadangkan agar hubungan dagang yang sedia terjalin ini dipertingkatkan untuk mengatasi kesan krisis ekonomi, kedudukan geo-strategik Turki serta Turki sebagai sebuah populasi muda yang berpotensi dalam pembangunan ekonomi. Di mata EU, Turki merupakan sebuah negara Islam yang tidak dapat dielakkan bahkan mereka terpaksa akur dengan kehandalan ekonomi Turki sehingga menempati kuasa ekonomi keenam terbesar di Eropah dan kelima belas di pentas global. Turki menjadi rakan dagang EU ketujuh terbesar dan EU menjadi rakan dagang terpenting Turki. Kedua-duanya saling perlu memerlukan.

Bagi penulis ini merupakan suatu dakwah dan jihad ekonomi Turki bagi menawan dan merobohkan keangkuhan EU-Centric yang lama mendominasi ekonomi dunia. Ketika krisis ekonomi melanda, EU terpaksa berhempas pulas di mana beberapa negara anggotanya termasuk dalam senarai muflis atau hampir muflis seperti Greece, Sepanyol dan Ireland.

Dengan kestabilan politik yang ada, Turki terus melebarkan sayap dagangannya ke rantau Asia Barat, Iran dan Rusia. Rusia sebagai contoh menjadi pasaran eksport ketiga terbesar selepas Jerman dan Amerika Syarikat. Hubungan dagangan yang baik dengan Rusia turut menyumbang peningkatan kemasukan pelancong Rusia ke Turki sebanyak 3.1 juta pada tahun 2010.

Turki telah mengaum dan menampakkan suatu pencapaian yang membanggakan dunia Islam. Ini merupakan ‘dakwah’ sebuah negara Islam kepada dunia bahawa Turki yang dipimpin oleh pimpinan yang komited dengan Islam kelihatan kompeten dan cekap dalam mentadbir negara dan menguruskan kemakmuran ekonomi untuk 73.7 juta rakyatnya. Sebagai anggota grup ekonomi G-20, Turki sebagai ‘middle power’ diharap dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam memimpin mencorakkan masa depan sistem kewangan antarabangsa yang lebih baik serta membawa keluar dunia Islam daripada kemelut kemunduran dan kemiskinan. Dengan kestabilan politik dan ekonomi, Turki mempunyai kekuatan untuk terus membantu mengembalikan dunia Islam seperti mana zaman kegemilangan Ottoman memimpin dunia pada suatu ketika dahulu.

Tiada ulasan: