Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Jumaat, Mei 29, 2015

Pertemuan Tertutup Grup Ilmuwan Muda ABIM Bersama Dr Jasser Auda 23 Mei 2015 / 5 Syaaban 1436H



Catatan oleh: Arif Alwan

Tajuk : “Ke Arah Membentuk Sarjana Muda Masa Hadapan”
Tempat : Bilik Syura, Kolej Dar Al-Hikmah
Masa : 900pm – 1100pm


Dr Jasser Auda (Ahli Pengasas Kesatuan Ulama Sedunia) memecahkan perbincangan pada menjawab tiga persoalan asas iaitu apa itu sarjana,kenapa ingin menjada sarjana dan bagaimana membentuk sarjana ini.

Apa Itu Sarjana ?

Sarjana yang ingin dihasilkan ini haruslah sarjana yang hatinya terisi dengan ilmu bukan menjadi sarjana jadian-jadian pada pakaian sahaja. Kita boleh dilihat seperti sarjana dengan berpakaian dan bergaya persis sarjana tetapi yang kita ingin hasilkan adalah sarjana berilmu. Sarjana ini juga bukan sarjana yang kepakarannnya pada ilmu syariah dan fiqh sahaja, sarjana itu harus mempunyai kepakaran dalam ilmu yang pelbagai kepakarannya. Kita ingin menghasilkan sarjana Islam yang bermaksud punya kepakaran mehamami Islam secara seluruhnya dan bukan pada ilmu syariah sahaja. Seorang sarjana ini akan cuba mengubah masyarakat dan dunia dengan ilmunya.




Kenapa Ingin Menjadi Sarjana ?

Keinginan menjadi sarjana itu pula harus hadir dengan niat yang betul. Niatnya harus tulus untuk mendapat keredhaan Allah. Kita ingin menjadi manusia yang baik yang memanfaatkan nikmat akal dan ilmu yang dikurniakan Allah itu untuk ke jalan kebaikan. Tidak semua orang diberi kemudahan oleh Allah untuk menjadi sarjana ini, jika niat sudah betul, menjadi seorang ahli professional juga sudah cukup. Sebagai contoh ialah dengan menjadi seorang doctor yang baik, yang bermanfaat pada masyarakat.

Selain itu, tujuan menjadi sarjana ini harus bukan berteraskan untuk mendapat kuasa. Slogan, ‘knowledge is power’ ini memang benar. Ilmu ini akan menjadikan seorang itu berkuasa. Gagal memandu hati kita akan membuatkan kita terjerumus dalam lembah perebutan kuasa ini. Begitu juga, tujuan menuntut ilmu untuk kaya. Hasil kekuasaan yang kita dapat tadi, akan membuatkan pintu-pintu mengaut keuntungan terbuka luas. Akhirnya, niat asal menuntut ilmu untuk mendapat keredhaan Allah akan luput ditenggelami nafsu-nafsu kuasa dan mewah.

Di samping itu, menjadi sarjana ini, harus kita mengasingkan diri kita pada politik. Dunia politik kini adalah dunia politik kepartian. Menyertai politik bermakna kita sedang berpihak pada parti kita. Pada ketika ini, kepentingan politik sering kali akan mengganggu pandangan seorang sarjana itu kerana setiap ijtihad dan keputusan mereka ini sama ada akan mengikut kepentingan arus parti yang disokongnya atau walaupun mengikut garis panduan ilmu akan tetap dipandang berkepentingan. Oleh itu, dalam memberikan manfaat terbanyak kepada masyarakat dengan ilmu yang dimilik sarjana ini harus mengasingkan diri dari permainan politik.

Kita harus punya garis beza antara seorang (ketua) amir dan seorang alim. Benar, seorang ketua itu memerlukan ilmu, kerana menuntut ilmu wajib bagi semua orang, terutama bagi seorang ketua yang memimpin, tetapi seorang alim itu lebih lagi ilmunya, dan mereka ini tidak memerlukan mereka memimpin pun untuk mengatur masyarakat, cukup sentiasa menjadi penasihat dan penegur setia kepada seorang ketua. Seorang ketua, dengan ilmunya tadi harus tahu tempat duduk seorang alim dalam memberi ruang kepada nasihat dan teguran oleh si alim tadi.


Selain itu, seorang sarjana bukan seorang nasionalis. Seorang sarjana tidak harus punya sempadan kenegerian. Nasihat dan pandangan seorang sarjana merentas garis kenegaraan. Seorang sarjana itu tidak bersifat kenegerian yakni sama ada memihak pada negeri mereka sahaja atau gagal memberi pandangan di luar isu negerinya. Seorang sarjana juga tidak pula bersikap kebangsaan. Memihak pada bangsanya sahaja dan melupakan bangsa lain. Seorang sarjana itu dengan ilmu yang dimilikinya akan meletakkan matlamat akhirat sebagai matlamat akhir dalam setiap tindak tanduknya.

Bagaimana Menjadi Sarjana ?

Seorang sarjana itu harus punya disiplin ilmu yang pelbagai. Pakar dalam satu bidang tidak menjadikan kita sarjana. Mereka ini harus belajar segalanya tentang tradisi ilmu Islam. Di dalam ilmu fiqh, harus memahami semua mazhab dan mehamai sejarah mazhab dan fiqh ini. Dalam ilmu bahasa pula, bahasa arab adalah bahasa yang wajib fasih.

Seorang sarjana juga harus mendalami ilmu sejarah. Ilmu sejarah ini merangkumi sejarah keintelektualan dan tradisi ilmu Islam dan bukan sahaja sejarah politik Islam. Mendalami semua buku-buku sejarah yang muktabar seperti Asfahani, Al-Jahir dan Muqaddimah.

Di samping itu, sarjana juga harus mehami falsafah. Falsafah ini merangkumi falsafah Islam dan faslafah bukan islam. Dalam mendalami ilmu falsafah ini, sudah tentu ilmu kalam adalah ilmu yang wajib ditekuni. Memahami falsafah ini memerlukan seorang sarjana itu punya penaakulan falsafah sendiri.

Ilmu tasauf juga tidak harus dikesampingkan. Menekuni ilmu tasauf ini tidak cukup dengan memahami teori-teorinya tetapi juga mengamalkannya. Jangan terperangkap dengan politik salafi yang menolak ilmu tasauf ini. Ilmu tasauf ini adalah tradisi keilmuan Islam. Seorang sarjana harus menggunakan ilmu tasaauf ini untuk menyucikan hati kerana fitnah-fitnah ilmu ini terlalu besar. Seorang sarjana juga harus punya keupayaan membezakan antara tasauf dan khurafat.


Selain itu, seorang sarjana itu wajib punya kepakaran pada ilmu hadith dan tafsir. Mereka juga harus mengetahui ilmu-ilmu zaman moden ini seperti muzik, seni dan kesusasteraan. Ilmu-ilmu sains juga tidak harus dikesampingkan, seperti ilmu perubatan dan dapat mengetahui ilmu perubatan konvensional dan tidak konvensional.

Untuk menjadi seorang sarjana, beliau harus menjadi penuntut ilmu yang sebenar. Seorang penuntut ilmu itu wajib punya pembacaan yang luas. Seorang penuntut ilmu harus mendekatkan diri dengan ramai ulamak. Mereka harus menjadikan ulamak-ulamak ini sebagai mentor dalam perjalanan keilmuan mereka ini. Para masyaikh-masyaikh ini, selain kita ingin mengutip ilmu-ilmu mereka, kita juga ingin belajar bagaimana mereka hidup dengan ilmu mereka ini. Maksudnya kita harus belajar akhlak dan adab seharian mereka yang tepantul dari keluasan ilmu mereka.

Selain itu, seorang penuntut ilmu itu harus merantau dan mengembara. Penuntut ilmu tidak boleh duduk setempat. Mereka harus bergerak mencari guru-guru atau ulamak-ulamak. Mereka harus mengembara mencari pengalaman di tempat lain. Mereka harus merantau melihat peradaban negara orang.

Sepeti manusia lain, seorang sarjana harus melunaskan fitrah asas seorang manusia. Mereka harus punya kehidupan yang baik. Baik secara fizikal yakni kekal sihat dan cergas, juga baik punya kehidupan sosial yang baik, yakni berkahwin dan berkeluarga.

Selain itu, seorang sarjana juga harus mendalami ilmu pengurusan strategik. Ilmu pengrusan strategic ini merangkumi ilmu pengurusan media, komunikasi, lobi dan sebagainya. Ilmu pengurusan ini dipelajari selain untuk kegunaan peribadi juga sebagai pendinding dari terperangkap dari permaian strategic kumpulan musuh. Kita percaya bagaimana begitu licik dan strategiknya zionis dalam memerangkap kita dalam permainan strategi ini. Seorang sarjana harus tahu bagaimana menguruskan media. Menjadi sarjana tidak terlepas dari menjadi buruan pihak media dan harus seorang sarjana ini menjadikan diri mereka kekal relevan oleh kumpulan media ini. Relevensi ini diukur dengan komunikasi yang berkesan antara media dan sarjana. Bagaimana berkomunikasi dalam masa singkat, lama, melalui telefon, sidang media dan sebagainya.

Akhir sekali, sebelum membuka ruang pertanyaan kepada hadirin yang hadir, Dr Jasser berpesan bahawa anda harus punya minat dengan apa yang sedang anda lakukan. Buat sesuatu yang diminati dan disukai. Jangan buat kerana terpaksa.


Tiada ulasan: