Rayuan untuk Syria
Rabu, Jun 24, 2015
Afrika Benua yang dilupakan / Majalah al-Ustaz No. 39 2015
Oleh: Jufitri bin Joha
Naib Presiden ABIM
Menurut Profesor Farish A Noor, ada dua benua yang harus diberikan perhatian oleh aktivis gerakan Islam iaitu Benua Afrika dan Benua Amerika Latin. Dua benua ini jarang-jarang sekali didengari kisah sebenar mereka khususnya hal ehwal yang berkaitan dengan umat Islam. Tidak seperti Asia Barat, kedua-dua benua jarang sekali kedengaran berita di media massa. Mungkin tiada yang menarik untuk dilaporkan di samping faktor geografi yang ribuan kilometer jauhnya dari Malaysia.
Bagi Afrika pula, faktor tambahan yang menyebabkan berita mereka tidak mendapat tempat mungkin kerana fizikal mereka yang kurang menarik berbanding orang Eropah dan lain-lain. Afrika sebuah benua yang menarik untuk diterokai dan dikaji. Afrika merupakan sebuah benua yang sedang bangkit daripada kemalapan, kemunduran, kebuluran dan peperangan namun kebangkitan itu masih dibelenggu dengan beberapa peristiwa yang merencatkan kerancakan perubahan seperti konflik agama Islam-Kristian di Republik Afrika Tengah; perang saudara Sudan-Sudan Selatan; wabak Ebola di Afrika Barat; kebuluran di Somalia; keganasan Boko Haram di Nigeria; ketidakstabilan di Libya dan; rampasan kuasa di Mesir. Sebahagian besar peristiwa ini melibatkan nasib dan masa depan umat Islam yang menghuni benua yang sedang bangkit ini. Benua Afrika telah mengorak langkah dengan menguatkan kesatuan mereka melalui African Union (AU) dengan visi yang jelas untuk menjadi benua yang makmur dan aman yang digerakkan oleh rakyat mereka sendiri dan berperanan sebagai ‘dynamic force’ di arena global. AU dianggotai 54 negara Afrika kecuali Morroco yang kaya dengan pelbagai sumber mineral dan khazanah bumi yang dikhuatiri dieksploitasi oleh kuasa-kuasa kapitalis yang rakus.
Kuasa besar China sudah mula memberikan perhatian khusus kepada benua Afrika. China sudah mula menyelinap masuk ke dalam Afrika dengan membuat pelaburan yang signifikan. China dan Afrika turut membentuk forum khusus bagi membincangkan kerjasama dan prospek masa masa hadapan dalam Forum on China-Africa Cooperation yang bersidang setiap 3 tahun sekali. Tidak mustahil China akan dapat meluaskan pengaruhnya kepada sebahagian negara Afrika dalam usaha menjadi sebuah kuasa besar ekonomi dunia beberapa tahun mendatang. Senario ini juga akan membentuk ‘kiblat’ dan hala tuju baru Afrika yang sedang berhempas pulas untuk memasuki perubahan fasa baru mengikut acuan dan agenda pihak asing yang mendokong dan mendanai perubahan tersebut.
Mujurlah Turki selaku kuasa besar ekonomi dunia Islam turut mencelah dengan turut membina kerjasama strategik semenjak April 2008 melalui sidang kemuncak Afrika-Turki yang meningkatkan kerjasama di pelbagai bidang.
Perubahan Afrika telah dimulai dengan perubahan demokrasi yang semakin subur. Tahun ini sahaja terdapat 17 Negara Afrika yang telah dan akan melaksanakan pilihanraya dalam suasana kepelbagaian parti. Pilihanraya merupakan mekanisme abad ini untuk peralihan kuasa yang aman Negara-negara Afrika yang berbangsa Arab mengalami perubahan ketara khususnya selepas berlakunya Arab Spring pada 2011. Tunisia dan Maghribi antara negara yang berjaya melakukan perubahan demokrasi secara baik namun kegagalan berlaku jua di Libya bahkan yang lebih teruk kembali kepada keadaan asal autokratik seperti di Mesir. Pertumbuhan dan peningkatan peranan masyarakat sivil juga ketara dalam menjuarai isu-isu hak asasi manusia dan hak pengalaman demokrasi. Amalan tatakelola atau governans juga turut menunjukkan peningkatan di seluruh benua menurut Ibrahim Index of African Governance (IIAG).
Namun perubahan demokrasi di Afrika dibayangi dan dicemari oleh pihak asing yang sanggup membeli demokrasi di Afrika bagi memastikan agenda mereka dipaksakan terhadap negara tersebut sekaligus menjarah kekayaan hasil mahsul bumi. James Schneider dan Jane Jere telah menyorot baik isu ini dalam Majalah NewAfrican di bawah tajuk “Buying Democracy: He who pays the piper”. Schneider dan Jare memberikan beberapa contoh nyata negara Afrika yang demokrasinya dibeli oleh pihak berkepentingan dan tidak ditentukan oleh rakyat mereka sendiri.
Nigeria antara negara umat Islam Afrika yang menjadi mangsa kerakusan sesetangah pihak. Dengan masalah dalaman iaitu ancaman kumpulan militant Boko Haram yang menghantui Nigeria, demokrasi yang dibeli oleh pihak tertentu lebih memburukkan lagi keadaan. Bekas parti pemerintah Nigeria, People Democratic Party (PDP) pimpinan Goodluck Jonathan yang terkenal sebagai parti politik terbesar di Afrika yang menerima dana politik luar dalam jumlah yang agak besar. Senarai penderma dana terdiri daripada individu-individu terkaya dan dominan dalam sektor ekonomi. PDP rapat dengan komuniti bisnes. Pembiayaan politik terhadap parti politik tertentu menjadi model bisnes berkesan bagi sesetengah pihak bagi mendapat laba keuntungan di masa hadapan. Parti politik pula dalam keadaan mahu berkuasa atau mempertahankan kuasa menganggap pembiayaan politik ini umpama orang mengantuk disorongkan bantal kerana umum mengetahui bahawa memasuki pilihanraya memerlukan dana yang bukan sedikit. Pembiaya politik secara tidak langsung jika tidak menguasai pun akan mempengaruhi keputusan parti politik yang dibiayainya jika memenangi pilihanraya dan menguasai pentadbiran kerajaan. Sebagai contoh klasik, African National Congress (ANC) Afrika Selatan pernah suatu ketika menerima dana politik yang besar dari India dan China yang sudah tentu secara tidak langsung mempengaruh dasar luar Afrika Selatan.
Justeru persoalan timbul, siapakah yang mendefinisikan demokrasi untuk Afrika? Sesungguhnya perjalanan perubahan demokrasi Afrika masih jauh.Tiada negara di duni yang boleh mendakwa bahawa mereka benar-benar mencapai demokrasi tulen dan pilihanraya yang benar-benar bebas. Selagi mana ada wujudnya politikus yang rakus dan pihak asing yang tamak, selagi itulah ia merupakan penghalang utama kepada kebebasan dan keadilan. Rakyat Afrika harus diberikan kebebasan memilih dan menentukan masa depan mereka sendiri bak kata seorang pengomentar politik Afrika, Ochieno, “If we are to democratise Africa, it has to be African-people led”. Harapan harus diletakkan kepada negara-negara Islam yang menghuni benua Afrika sebagai “leading by example”. Morocco dan Tunisia sudah boleh menjadi contoh terbaik dalam hal ini apabila parti berasaskan Islam seperti Party of Justice and Development (PJD) Morroco dan an-Nahdah Tunisia sudah memulakan langkah “leading by example”.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan