Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Jumaat, Jun 12, 2015

Majalah al-Ustaz 38 2015



Oleh : JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden ABIM


Saya teringat ketika berkesempatan bersemuka dengan Mantan Menteri Kabinet Morsi Sheikh Solah sangat memberikan kesegaran dan kemaskini perkembangan pasca kejatuhan Morsi 3 Julai 2013.

Sheikh Solah menegaskan bahawa Dr. Morsi dipilih secara demokrasi dan pilihanraya bebas (madaniyy al muntakhob) dan mengangkat sumpah Presiden di hadapan pihak tentera, Al Azhar dan Mahkamah Tinggi.

Solah memperihalkan Dr. Morsi sebagai sakhsiyyah yang menghafal al Quran, pemegang PhD, melazimi solat jamaah khususnya solat Subuh di kawasan perumahannya, berjalan di pasar, dan makan seperti orang kebiasaan. Beliau enggan tinggal di Istana Presiden bahkan membayar sewa rumahnya sendiri. Bidang kajian sarjana (master) beliau ialah dalam sel tenaga solar yang digunakan di Amerika.

Dr. Morsi bercita-cita mendirikan kilang senjata, makanan dan ubat-ubatan sendiri dan 3 perkara ini juga menjadi keutamaan pemerintahan beliau iaitu makanan asasi, senjata dan ubat-ubatan. Dr. Morsi membina jaringan persahabatan dan diplomasi dengan China, Rusia, Brazil, Amerika Selatan, Iran, Arab Saudi, Ethopia, Sudan, Qatar dan lain-lain. Turut dalam senarai yang telah dilawatinya ialah India, Pakistan dan Jerman bagi membina kerjasama membangunkan Mesir yang sudah lama ketinggalan dan mundur. Dr. Morsi juga membuka pusat aduan di Istana bagi membolehkan rakyat membuat aduan. Namun segala-gala ini tidak ditonjolkan bahkan pihak media membuat pelbagai tohmahan jahat menjatuhkan imej baik Dr. Morsi. Beratus juta dollar diperuntukkan bagi membiayai kempen memburukkan Dr. Morsi dan Kerajaannya.

Dr. Morsi prihatin yang amat terhadap isu umat. Beliau sentiasa berkongsi derita dengan penduduk Palestin. Beliau memastikan laluan bantuan kemanusiaan mudah memasuki Gaza. Pimpinan Hamas juga berpeluang menjejaki kaki ke Istana Presiden Mesir buat kali pertama dalam sejarah bagi memperkukuhkan hubungan Mesir-Palestin. Dr. Morsi tegas menolak sekatan terhadap Gaza dan menegur keras serangan Zionis terhadap Gaza bahkan menghantar Perdana Menteri Mesir Dr. Hesham Qandil melawat dan membantu Gaza selepas serangan Zionis. Speaker Parlimen Mesir Dr Mohamed Saad El Katatny mengusahakan jet khas untuk membawa terbang langsung Ahli Parlimen ke Gaza untuk memberikan sokongan pada rakyat Gaza dan Palestin.

Semenjak kudeta ganas pimpinan Jeneral as Sisi telah menyebabkan lebih 5000 orang terkorban, lebih 23 000 jiwa ditahan termasuk wanita dan kanak-kanak. Sebahagian mereka ada yang dinafikan ubat-ubatan dalam penjara sehingga menemui ajal. Sebahagian mereka dituduh tanpa asas kukuh dan dinafikan akses pada pihak pembelaan. Tuduhan yang kadang-kadang tidak masuk akal termasuk seseorang individu yang dikenakan 30 tuduhan serentak. 683 jiwa dihukum bunuh di mana hukuman dibuat dalam masa beberapa minit sahaja dan paling malang ada yang tidak sempat pun mendengar pertuduhan. Solah mengibaratkan Mahkamah Mesir umpama memberikan gula-gula ketika menjatuhkan hukuman berat ini.

As Sisi dianggap wira bahkan Duta Israel ke Mesir mengangkat as Sisi sebagai pahlawan Negara orang-orang Yahudi sambil pernah berkata bahawa Ikhwan harus dijatuhkan dan apa yang berlaku di Medan Tahrir mempunyai kesan pada Zionis. Zaman kegelapan rakyat Palestin bermula semula dengan terowong-terowong ke Gaza dimusnahkan manakala Hamas dikaitkan dengan kejadian keganasan di Sinai sejurus selepas kejatuhan Dr. Morsi. Sementera itu, Menteri Pertahanan Zionis dilaporkan berkata bahawa pertuduhan terhadap Dr. Morsi amat menggembirakan mereka manakala Menteri Kewangan Zionis berkata kejatuhan Dr. Morsi membuka fasa baru kerjasama erat Mesir-Zionis. Maka mencurahlah bantuan kewangan Zionis terhadap tentera Mesir.

Kita tidak dapat menjangkakan masa depan yang lebih baik Mesir. As Sisi yang akan terus berkuasa dan dengan khabarnya Rusia dan Putin sudah meluaskan sayap pengaruhnya ke Mesir yang pastinya akan mengukuhkan lagi kedudukan As Sisi. Tidak banyak yang Dunia Islam boleh harapkan daripada Mesir buat waktu ini.

Tiada ulasan: