Rayuan untuk Syria
Khamis, Oktober 01, 2015
BELIA MALAYSIA DAN PERJUANGAN MENEGAKKAN KEADILAN
Oleh: JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden MBM
Belia Malaysia atau lebih khusus Majlis Belia Malaysia (MBM) amat sinonim dengan motto perjuangan “Bertindak Demi Kebenaran dan Keadilan”. Ia merupakan perjuangan kemanusiaan yang berusaha gigih untuk membebaskan manusia daripada sebarang bentuk tindakan yang menafikan kemuliaan insan dalam apa jua bentuk sama ada penindasan, kezaliman, pembunuhan, penafian hak, kebobrokan, pemerdagangan manusia, pencabulan hak dan pembodohan.
Belia Malaysia yang ideal ialah belia yang bukan hanya mahu melihat diri mereka sahaja mengecapi keamanan dan kemakmuran bahkan mereka mahu turut melihat para belia dan masyarakat di sekelilingnya turut mengecapi nikmat yang sama.
Pencabulan dan pembantaian Zionis terhadap belia dan masyarakat Palestin semenjak 15 Mei 1948 sentiasa tidak dipandang sepi oleh belia Malaysia. Semenjak dekad 70an lagi, belia Malaysia sudah bangkit memperjuangkan nasib dan mendokong perjuangan rakyat Palestin sebelum diteruskan secara intensif oleh Kerajaan Malaysia termasuk kehadiran Menteri Luar Malaysia Dato’ Seri Anifah Aman dalam memberikan sokongan Malaysia semasa upacara pengibaran bendera Palestin buat kali pertama di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) New York pada Rabu 30 September 2015 baru-baru ini. Malaysia menyertai 119 Negara yang menyokong pengibaran bendera Palestin yang menggambarkan kedaulatan dan simbol perjuangan rakyat Palestin di persada dunia. Terdahulu Palestin mendapat status sebagai Negara pemerhati bukan anggota atau non-member observer state di PBB ada 2012.
Melalui inisiatif Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad juga harus diambil kira khususnya menyeret Negara Israel ke muka pengadilan melalui inisiatif KL War Crimes Tribual.
Justeru isu yang mendasari dokongan dan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin adalah faktor kemanusiaan sejagat yang mahu tidak mahu wajib ditegakkan. Konflik Israel-Palestin merupakan ibu segala konflik. Jika masyarakat dunia berjaya menegakkan keadilan di bumi Palestin maka sebahagian besar dunia akan hidup aman dan damai. Kegagalan menyelesaikan konflik Timur Tengah akan menyebabkan ia akan terus berpanjangan dan merebak ke kawasan sekitarnya bahkan menggugat kestabilan dunia dan Malaysia tidak terkecuali.
Selain itu juga, kezaliman dan kedegilan Zionis terus memuncak. Mereka hanya menggunakan proses rundingan damai sebagai alat smooking screen untuk mengaburi mata masyarakat dunia bagi menutup kerja-kerja haram mereka untuk melebarkan penempatan haram Yahudi di atas tanah milik rakyat Palestin. Mereka mungkir janji satu demi satu perjanjian perjanjian damai termasuk Perjanjian Oslo dan melanggar hampir kesemua resolusi-resolusi PBB terhadap mereka. Atas sikap khianat ini juga menjadi antara faktor penyumbang kepada menyebabkan hampir 51 peratus rakyat Palestin menurut kajian Palestinian Center for Policy and Survey Research (PCPSR) sudah tidak percaya kepada rundingan "two state solution".
Kemuncak kebiadapan mereka apabila terbaru pihak Zionis cuba menghalang rakyat Palestin yang Muslim untuk beribadat di dalam Masjid al-Aqsa di Jerusalem dan cita-cita besar mereka adalah untuk meruntuhkan Masjid ketiga tersuci umat Islam bagi membolehkan pembinaan Haykal Sulaiman (kuil) di atasnya. Ini merupakan suatu perkara yang tidak boleh diterima oleh sesiapa sahaja yang cintakan kerukunan dengan tindakan meruntuhkan rumah-rumah ibadat semata-mata untuk membina rumah ibadat Yahudi.
Jerusalem sewajarnya menjadi simbol perpaduan agama dan kaum khususnya untuk 3 agama terbesar iaitu Islam, Yahudi dan Kristian bukan tempat kebencian, perbalahan dan pertempuran seperti yang dipromosikan oleh Rejim Zionis Yahudi. Jika Jerusalem yang dikatakan sebagai pusat dunia dapat dikembalikan keamanan, maka kita amat yakin dan percaya dunia secara keseluruhan dan relatifnya akan aman dan stabil. Henry Kissinger, tokoh Yahudi terkemuka Amerika Syarikat dan penulis buku World Order pernah meramalkan bahawa dua tiga tahun yang lalu bahawa “…within 10 years there will be no more Israel.” Agenda Zionis adalah punca kekacauan dan penamatan kepada agenda apartheid ini akan mengembalikan keamanan kepada dunia.
Kebiadapan Rejim Zionis Israel harus ditamatkan dan peranan masyarakat sivil termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama-sama masyarakat antarabangsa wajar dizahirkan dengan pelbagai usaha termasuk menyertai puluhan Ngo dan ribuan rakyat Malaysia ke Demonstrasi Selamatkan al-Quds hari ini 2 Oktober 2015 jam 2 petang di hadapan Kedutaan Amerika, Jalan Tun Razak. Penyertaan MBM yang dianggotai 38 badan gabungan pertubuhan belia merentas agama dan kaum kali ini tepat pada masanya.
Dengan komitmen MBM menyertai rally ini akan memahatkan nama MBM sebaris dengan masyarakat antarabangsa yang prihatin tentang soal keadilan sejagat serta kepelbagaian usaha mereka untuk menamatkan kekejaman Yahudi Zionis termasuklah BDS Movement, March to Jerusalem, Mavi Marmara dan Save al-Quds.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan