Rayuan untuk Syria
Isnin, Oktober 26, 2015
SESI PERTEMUAN DEWAN BANDARAN (TOWN HALL) DASAR BELIA MALAYSIA DI MELAKA TENGAH
Oleh: JUFITRI BIN JOHA
Cuti Maal Hijrah 1437 Hijrah dimanfaatkan oleh saya untuk berdialog dengan pemimpin belia umbi Melaka Tengah dalam sesi Dewan Bandaran (Town Hall) Dasar Belia Malaysia di Melaka Tengah. Ia adalah anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah dengan Kerjasama Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah di Beruang Hill Resort.
Town hall meeting merupakan istilah yang berasal dari Amerika berkaitan mesyuarat tidak formal, pertemuan dan acara awam di mana hadirin boleh memberikan idea, menyuarakan pandangan dan bertanyakan soalan terhadap sesuatu perkara yang dibincangkan di dalam dewan bandaran. Ia memberikan ruang seramai mungkin hadirin untuk berpatisipasi dan bersuara. Ada kalanya hadirin yang ramai dipecahkan kepada kumpulan dan wakil kumpulan akan merumuskan isi-isu utama perbincangan kepada hadirin dalam kumpulan yang besar.
Usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melaksanakan sesi Town hall ini merupakan suatu inisiatif yang baik bagi membentangkan Dasar Belia Malaysia (DBM) Edisi Semakan 2015 yang telah lancarkan oleh Perdana Menteri pada 15 Mei 2015 bersempena Hari Belia Negara peringkat kebangsaan. Pembentangan DBM adalah untuk memberikan gambaran secara umum tentang idea-idea utama dalam DBM serta mendapatkan maklum balas dari hadirin khususnya pemimpin belia dan belia yang hadir dalam sesi Town hall tersebut.
Sebagai permulaan, dasar belia menurut Roncarati (2013), merupakan suatu instrumen penting untuk memandu polisi dan program bertepatan dengan hak belia; mendekati belia bagi sama-sama menggubal dasar berkaitan mereka; dan menggambarkan komitmen tinggi Kerajaan untuk menyantuni aspirasi dan kehendak belia.
Saya memulakan perkongsian tentang konsep dan kepentingan sesebuah dasar untuk diketahui dan dihadamkan dan khusus dalam konteks ini adalah memahami dan menghadam DBM oleh pemimpin dan aktivis belia. DBM merupakan sejenis dasar sosial yang menjadi panduan untuk pemegang taruh bagi menjaga kebajikan dan kepentingan belia. DBM akan menjadi instrumen untuk mendokong pembangunan belia dan Negara yang bakal menjadi sebuah Negara maju menjelang 2020. DBM mempunyai unsur ke arah melengkapi dasar ekonomi Negara yang memerlukan sekumpulan besar sumber anak muda sebagai tenaga buruh yang tidak mahir, separa mahir dan mahir untuk menggerakkan ekonomi dan pembangunan Negara.
Dasar belia sewajarnya disemak dan dimurnikan setiap 5 tahun sekali. Itulah amalan terbaik. Di Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri mewujudkan Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan (RBBNS) semenjak 2004 dan ianya disemak setiap 5 tahun sekali. Kali terakhir Dasar belia disemak ialah pada 1997. DBM merupakan semakan ketiga selepas 15 tahun tidak disemak walhal menurut Siti Hajar (2002) sesebuah rangka kerja dasar sosial digubal mengikut konteks sosial, masa dan ruang yang berbeza-beza dan sentiasa berubah.
Tulisan dan kritikan Dr. Asnarulkhadi (2009) terhadap dasar belia memberikan kita sedikit pencerahan tentang konsep dasar belia. Secara ringkas beliau menyebut bahawa dasar belia menjadi asas kepada perancangan dan pembangunan belia negara ini yang bersifat mengikut citarasa pemerintah dan bersifat atas-bawah. Namun DBM jika diamati telah banyak mengamalkan strategi konsultasi dan rundingan dengan pemegang taruh seperti pakar dalam bidang-bidang tertentu, pemimpin belia dan pekerja belia agar DBM pada kali ini merupakan dasar yang bersifat bawah-atas. Namun begitu, penglibatan yang lebih luas sepatutnya diimplemetasi melibatkan pemimpin dan belia akar umbi agar DBM benar-benar datang dari kehendak dan aspirasi akar umbi.
Oleh yang demikian sewajarnya sesi Town hall ke daerah-dearah diadakan sebelum DBM dilancarkan lagi bagi membolehkan pemimpin belia akar umbi memberikan idea, komen dan cadangan terhadap deraf DBM. Justeru Town hall yang diadakan sekarang seolah-oleh menjadi hanya program taklimat dan perbincangan strategi perlaksanaan menurut sesetengah pihak.
Dr. Asnarulkhadi turut menyebut bahawa dasar belia merupakan suatu pelaburan sosial dan satu pendekatan produktiviti dalam polisi sosial di mana pastinya lebih banyak pusat-pusat kemahiran dan latihan belia dibangunkan untuk memperlengkapkan belia dengan ilmu dan kemahiran sebagai persediaan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Negara.
Tambah beliau lagi, dasar belia yang lengkap dengan matlamat yang jelas, pelan tindakan dan strategi adalah bagi mempersiapkan generasi muda menghadapi pelbagai cabaran mendatang namun kebiasaannya dasar belia bersifat ideal dan utopian sedangkan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh generasi muda besar dan hebat.
Sesebuah dasar belia juga dilihat sebagai suatu usaha bagi mengintegrasikan golongan belia ke dalam masyarakat. Kita semua sedia maklum bahawa golongan belia kebiasaannya mempunyai sub-budaya mereka tersendiri sebagai satu bantahan terhadap budaya golongan dewasa yang mendominasi kehidupan bermasyarakat. Kegagalan golongan dewasa menyantuni golongan belia akan menyebabkan jurang sosial terus melebar dan ianya merupakan satu formula yang tidak sihat kepada pembangunan belia itu sendiri dan Negara amnya. Dasar belia bertindak sebagai formula dan strategi bagi mengatasi sikap penentangan (rebellious) terhadap status quo dalam masyarakat.
Saya turut menyentuh tentang keistimewaan dan kebaikan DBM. DBM digubal oleh sekumpulan academia yang menitikberatkan kerohanian dan agama. DBM juga bersifat holistik dan merangkumi pelbagai lapisan dan kelompok belia termasuklah grup-grup indie di kalangan belia. Selain itu, DBM turut menekankan konsep Pembangunan Belia Positif (PYD) yang melihat belia sebagai aset dan bukannya liability kepada masyarakat.
PYD menafikan model defisit sebelum ini yang menganggap belia merupakan kelompok manusia bermasalah yang harus dipulihkan. PYD bermula dengan melihat belia sebagai aset yang harus diserlahkan potensi mereka oleh golongan dewasa khususnya pekerja belia yang profesional dan keluarga.
Diakhir pembentangan ringkas saya, saya turut menyentuh tentang perancangan soft landing kepada pemimpin belia yang melepasi had umur 30 tahun pasca 2018. Atas mandat MBM, saya mencadangkan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) yang bakal menjadi platform aktivis belia untuk terus menyumbang bakti dan kepimpinan dalam dunia pembangunan belia sebagai pekerja belia profesional. Profesionalisme kerja belia ini termaktub dalam konsep kedua DBM di bawah tajuk “Holistik dan Berpandukan Perlembagaan Persekutuan Dan Rukun Negara”.
Kerja belia menurut takrifan Komanwel,
“…the non-formal social and political education and empowerment of young people within a matrix of care”.
Dalam erti kata lain kerja belia merupakan suatu usaha pendidikan tidak formal dan berterusan bagi membimbing dan membantu belia melalui proses transisi kehidupan daripada alam kanak-kanak kepada alam dewasa dalam mencari identiti dan makna kehidupan sebenar bagi menjadi warganegara yang efektif dan khalifah di muka bumi demi menjamin kehidupan yang berjaya di dunia dan akhirat.
Tenaga-tenaga segar kelompok rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas dan berminat serta mempunyai pengalaman luas dalam bidang pembangunan belia ini harus digembeling dan dilatih untuk menjadi tenaga professional bagi membimbing belia bagi menghadapi proses transisi daripada alam kanak-kanak ke alam dewasa. Selain itu mereka boleh terus memperjuangkan agenda pembangunan belia dan pekerja belia.
Oleh kerana itu, sebuah platform Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) dicadangkan untuk ditubuhkan bagi menjadi platform soft landing bagi pemimpin dan aktivis belia meneruskan kecemerlangan mereka dalam bidang pembangunan belia.
Idea FKPB ini mendapat perhatian dan maklum balas positif daripada pemimpin belia yang hadir. Ada yang mahu ia direalisasikan sebelum penguatkuasaan had umur 2018 agar peralihan berlaku secara lancar. Kertas cadangan FKPB sebagai soft landing pemimpin belia sudah pun diserahkan kepada pihak KBS untuk diperbincangkan dan diperhalusi termasuk memasukkan peruntukkan pengiktirafan FKPB dalam Akta Belia 668. FKPB akan bergerak seiiring bersama MBM yang dipimpin oleh belia di bawah 30 tahun. FKPB dan MBM akan saling lengkap melengkapi.
Secara umumnya pemimpin dan aktivis belia di Melaka Tengah menerima baik kandungan DBM dan menyarankan agar pihak MBM dan KBS memberikan taklimat secara menyeluruh dan meluas tentang kebaikan DBM sehingga ke peringkat sekolah dan institut pengajian dan kemahiran dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Cuma seperkara lagi mereka amat risau tentang isu had umur di mana rata-rata pertubuhan belia di peringkat akar umbi masih belum yakin peralihan akan berlaku secara lancar berdasar senario semasa di peringkat akar umbi. Ada pemimpin belia yang sudah hilang semangat dan sudah mula memberikan mandat kepada pemimpin belia yang berumur di bawah 30 tahun dalam keadaan mereka masih dahagakan bimbingan dan tunjuk ajar. Mungkin kerisauan ini wajar diperhalusi dan mungkin penurunan had umur secara berperingkat sebagai contoh perlaksanaan 15-35 tahun terlebih dahulu dan masa yang lebih panjang diperlukan sebelum benar-benar belia di akar umbi bersedia untuk di bawah 30 tahun. Mereka menuntut agar kajian dan tinjauan kesediaan akar umbi dijalankan bagi melihat keberkesanan had umur bawah 30 tahun.
Namun di peringkat MBM, usaha ke depan harus diteruskan. Kursus pemimpin pelapis Skuad MBM in Business (MIB) telah digerakkan di seluruh Negara bagi mencari 300 pemimpin pelapis utama namun cabaran sekali lagi ialah mencari pelapis di akar umbi.
RUJUKAN:
Asnarulkhadi Abu Samah (2009) Kelompangan Dasar Belia Negara – Menyangga Potensi Belia Menerusi Pendekatan Transformasi Konflik, dalam Malaysian Journal of Youth Studies, vol.1 pp.1-22, Putrajaya: IPPBM.
Dasar Belia Malaysia 2015.
Marco Roncarati (2013) Slide Ensuring the Viability of a National Youth Policy.
Siti Hajar Abu Bakar (2002) Pengantar Dasar Sosial Malaysia, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan