Jumaat, Januari 01, 2016
Maulid an-Nabi Sallallahualaihiwasallam @ Ampang & Linggi @ 1437 Hijrah
Memenuhi undangan untuk menyampaikan syarahan Maulid adalah sesuatu yang mengujakan kerana dapat turun ke bawah berinteraksi dengan belia dan masyarakat. Di samping itu, dapat bersama-sama memperingati dan berkongsi kehebatan Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam. Saya bersyarah di dua tempat iaitu di Surau al-Falah Ampang dan di ceruk kampung Linggi Masjid Jamek Linggi iaitu masjid kedua tertua di Negeri Sembilan. Saya cuba membawa persembahan sedikit berbeza dengan ceramah-ceramah lain agar imej Islam dan an-Nabi Sallallahualaihiwasallam ditampilkan dalam bentuk yang segar dan menarik. Islam harus ditampilkan bukan sekadar memperbaiki diri semata-mata tapi ianya membina peradaban.
CERAMAH SEPARUH MASA PERTAMA
Saya berkongsi tentang formula mengenali dan mengikuti an-Nabi Sallallahualaihiwasallam yang berpaksikan al-Hubb (kasih) dan al-Ittiba' (ikut sunnah). Seperti yang disebutkan oleh al-Fadhil Ustaz Dr. Zahazan Mohamed, ada 3 formula iaitu:
1.) Ma'rifah (pengetahuan) yang mewakili ILMU mengenali an-Nabi Sallallahualaihiwasallam:
a.) Syamail (kesempurnaan)dengan merujuk Kitab as-Syamaail al-Muhammadiyyah nukilan Imam at-Tirmizi
b.) Khususiyyat (keistimewaan)dengan merujuk Kitab Khususiyyat nukilan Imam as-Suyyuti
c.) Mu'jizat
d.) as-Sunnah dengan merujuk Sunan Sittah
e.) Sirah dengan merujuk Kitab Sirah karangan Sheikh Said Ramadhan al-Bouti, Sheikh Muhammad al-Ghazali dan Sirah Ibn Hisyam
2.) Mahabbah (kasih dan cinta) yang terhasil daripada ma'rifah yang mewakili EMOSI dan HATI.
3.) Tadhiyyah (pengorbanan) yang terhasil daripada ma'rifah yang mewakili TINDAKAN dan BUKTI.
CERAMAH SEPARUH MASA KEDUA
Saya berkongsi tentang Maqasid (falsafah / hikmah / rahsia) kedatangan an-Nabi Sallallahualaihiwasallam. Menurut al-Fadhil Ustaz Marwan Bukhari ada sekurang-kurangnya 7:
1.) Tilawah membacakan al-Quran kepada manusia
2.) Tazkiyyah an-Nafs (membersihkan jiwa)
Di noktah ini saya berkongsi tentang kesan jiwa yang kotor dan kosong menyebabkan orang membunuh diri. Saudara Adli Zakuan (Ajk Surau al-Falah Ampang)yang menjadi hos ceramah saya menyebut di dinding Facebooknya hasil daripada refleksi ceramah saya beliau berkongsi:
"Di peringkat global, bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia, dan penyebab ke-2 kematian bagi mereka yang berumur 15-29 tahun. Data dari Pusat Registri Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM-National Suicide Registry Malaysia) mendapati sekurang-kurangnya 2 orang membunuh diri setiap hari dengan kadar purata 60 orang dalam sebulan, satu trend yang didapati menyamai trend bunuh diri di negara Amerika"
3.) Mengajar al-Kitab (al-Quran)dan Hikmah (as-Sunnah)
Ketiga-tiga perkara di atas terkandung dalam Surah al-Jumuah ayat 2
4.) Mengajak manusia berlaku adil dan menegakkan keadilan
Surah al-Hadid ayat 25
Di noktah ini saya berkongsi tentang keadilan sosial yang ditegakkan Islam untuk menyusun masyarakat agar tidak ada jurang besar antara miskin dengan kaya melalui sistem zakat, waqaf dan galakkan sedeqah. Dr. Muhammed Abdul Khalid dalam The Colour of Inequality menyentuh isu jurang sosial ini bahkan isu ini telah menjadi permasalahan yang didebatkan oleh Plato, Ibnu Khaldun, Adam Smith dan Joseph Stiglitz.
5.) Melakukan Islah setakat kemampuan
Surah Hud ayat 88
6.) Penyempurnaan akhlak di semua lapangan dan masa
Hadis misi ar-Rasul untuk sempurnakan akhlak
Di noktah ini saya mengajak jamaah surau agar mengikut akhlak an-Nabi Sallallahualaihiwasallam dengan melaksanakan perkara-perkara kecil seperti mencuci tandas, meletakkan troli Tesco atau Giant yang telah digunakan ke tempatnya dan tidak membuang sampah.
7.) Membawa rahmat ke seluruh alam.
Surah al-Anbiya' ayat 107
Sementara itu di Linggi dalam separuh masa kedua saya kongsikan peranan Masjid sebagai Pusat Belia dan Komuniti. Nn-Nabi Sallallahualaihiwasallam sebagai "youth worker" yang amat memahami jiwa dan aspirasi anak muda. An-Nabi Sallallahualaihiwasallam juga turut menyayangi dan memberikan peranan yang penting kepada generasi muda yang majoritinya mendokong perjuangan an-Nabi Sallallahualaihiwasallam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan