Jumaat, Januari 01, 2016

SIARAN TERTUNDA WACANA TERUS TERANG MBM 1 APRIL 2015




MEMUPUK INSAN SEIMBANG
Oleh: JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden MBM


Wacana Terus Terang Majlis Belia Malaysia (MBM) yang sulung pada 1 April 2015 yang lepas menampilkan sosok pemuka ilmu yang hebat iaitu Tan Sri Profesor Dr. Dzulkifli Razak, Presiden Persatuan Antarabangsa Universiti-Universiti (IAU) serta Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) 2000-2011. Beliau merupakan antara Naib Canselor terbaik yang benar-benar berpaksikan kepada ilmu dan kebenaran. Sekarang beliau merupakan Penyandang Kerusi Kepemimpinan Islam Tuan Guru Haji Mohd Yassin bin Muhammad di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau tampil dalam mode membahaskan buku terbaru beliau bertajuk Memupuk Insan Seimbang Cabaran Kepemimpinan. Kupasan ini hadir tepat pada masanya kerana Negara sedang memperkenal dan melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Profesor Dzul dengan jelas membincang kebimbangan beliau terhadap sistem pendidikan dan pengajian tinggi Negara yang semakin hilang roh pendidikan. Ini mengingatkan kita kepada tulisan Profesor Herry Lewis “The Excellence without Soul” yang turut bimbang tentang peranan Universiti Harvard yang sudah lupa kepada fungsi asal institut pengajian untuk melahirkan mahasiswa yang berpendidikan. Ini menunjukkan bahawa university Ivy League turut dibelenggu dengan masalah yang sama apabila graduan yang dihasilkan adalah untuk memenuhi permintaan pasaran dan mendapat pekerjaan semata-mata. Dr. James Campbell dari Deakin University, Australia pula menulis tentang Humaniversity bagi mengembalikan semula keseimbangan antara ilmu dan kemanusiaan setelah dilupakan kerana mengejar keuntungan duniawi dan ‘self-advancement’.

Profesor Dzul mengajak kita menghimbau dan menyelongkar semula Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi “guiding ideas” dan matlamat akhir kepada pendidikan. Pelajar dan mahasiswa yang didambakan untuk dilahirkan oleh FPK adalah insan yang seimbang; terserlah potensi dan bakatnya; berilmu, berkretampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dan: menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara. Malang dan sayang seribu kali sayang Falsafah ini semakin dilupakan bahkan berlaku penyimpangan yang ketara. Profesor Dzul bimbang lambat laun universiti tidak ubah bersifat umpama sebuah kilang “modal insan” tajaan korporat perniagaan yang menghasilkan robot-robot yang sudah tercabut ruhnya. Universiti sibuk mengejar Indeks Petunjuk Kemajuan (KPI), ranking dunia, kebolehpasaran dan jumlah graduan yang ramai dan melupakan fungsi fundamental untuk melahirkan insan seimbang.

Profesor Dzul turut mengkritik penggunaan istilah modal insan dan sebagai gantinya mengesyorkan penggunaan perkataan insan seimbang bersesuaian istilah yang digunakan FPK. Modal insan mempunyai unsur kapitalisme yang merupakan agenda kefahaman neo-liberal yang sedang memimpin dunia dan memaksakan agenda mereka kepada yang lain. Modal insan perlu dilatih bagi bertungkus lumus hanya untuk membangun kesejahteraan ekonomi dan pengabaian unsur-unsur nilai dalaman seperti murah hati, rendah hati, prihatin dan pengasih. Natijahnya lahirlah manusia yang berpelajaran tapi merosakkan alam, terlibat dalam rasuah dan menyalahgunakan kuasa. Apa yang penting adalah kesenangan diri dengan menindas yang lemah. Yang kaya akan terus kaya dan yang miskin akan terus terjerumus miskin.

Dengan konsep modal insan yang menguasai kebanyakkan kepimpinan universiti sambil mengabaikan FPK maka terjadilah ketidakseimbangan antara jasmani, intelek, emosi dan rohani di kalangan pelajar. Hasilnya tampak jelas apabila yang lahir adalah pelajar yang berijazah tanpa ilmu; berbudaya tanpa adab dan; berpelajaran tanpa didikan. Profesor Yusof Othman Pengarah Institut Islam Hadhari pula menggunakan istilah “literate but uneducated” bagi merujuk kepada kelompok graduan ini.

Profesor Dzul turut mengadu bahawa tidak banyak pihak yang sanggup menyanggah pertembungan nilai dan dibiarkan bermaharajalela. Mereka selesa menelan apa sahaja yang disuap oleh agenda neo-liberal kepada minda mereka. Profesor Dzul telah pun mengambil langkah praktikal dengan aktif memperjuangkan agenda “Decolonising the University” untuk membebaskan kerangka Eurocentric yang dijadikan model dengan mencari acuan sendiri dan dalam konteks Negara kita acuannya adalah FPK.

Profesor Dzul dalam bukunya turut mencari keserasian FPK dengan Maqasid al-Syari’ah atau objektif tertinggi Syariah yang memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Elemen-elemen yang penting ini wajar diserapkan untuk dijadikan matlamat akhir pendidikan agar hasrat melahirkan insan seimbang tercapai. 5 elemen utama Maqasid al-Syari’ah ini bukan hanya menekankan aspek luaran tapi juga aspek dalaman. Turut ditekankan aspek keseimbangan duniawi dan ukhrawi.

Peranan sebenar sekolah, universiti, institusi pengajian dan institut kemahiran perlu dikembalikan. Perjuangan Profesor Dzul wajar disambut dan diteruskan oleh generasi muda. Sebagai payung terbesar kepada pertubuhan belia utama Negara, Majlis Belia Malaysia (MBM) terpanggil untuk memberikan sumbangan dalam mengembalikan semula ruh pendidikan. Mengutip kata-kata Profesor Dzul yang catchy iaitu “ruh pendidikan adalah pendidikan ruh”. Itulah misi yang harus dikembalikan dan disemarakkan.

Isu ini merupakan isu yang amat dekat dengan MBM kerana ia melibatkan kelompok awal belia yang menuntut di sekolah dan universiti dan juga persoalan pendidikan yang diyakini oleh MBM bagi merubah masyarakat menjadi masyarakat yang bertamadun menjelang gerbang Negara maju. MBM akan menggunakan saluran advokasi untuk mempengaruhi Kerajaan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, pembuat dasar, kepimpinan pendidikan dan para pendidik untuk terus komited dengan matlamat akhir pendidikan untuk melahirkan insan seimbang. Bersesuaian dengan hasrat Kerajaan dan idea yang dilontarkan oleh Profesor Dzul di atas untuk mengangkat konsep Maqasid al-Syari’ah, maka matlamat akhir pendidikan harus disemak bertepatan dengan Maqasid al-Syari’ah bagi mengukuhkan agenda pendidikan Negara bagi mempersiapkan generasi masa depan yang seimbang. Usaha semakan ini sedang dijalankan oleh para penyelidik universiti tempatan yang diketuai Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah projek Indeks Syariah Malaysia. Kita menunggu hasil dapatan ini di mana pendidikan merupakan salah satu daripada 8 subjek yang sedang disemak.

Sebagai pendidik informal belia, MBM akan terus mendokong usaha membangun insan seimbang dengan menerapkannya dalam agenda pembangunan belia dan Negara. Justeru MBM menyeru seluruh pemegang taruh pendidikan, belia dan masyarakat Malaysia agar bersama-sama komited dalam usaha ini demi memastikan masa depan Malaysia yang lebih gemilang, maju daripada segi fizikal dan rohani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan