Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Khamis, Mac 10, 2016

Temubual Majalah Dewan Bahasa Edisi Oktober 2015



Memugar Patriotisme Dalam Jiwa Belia

Bual Bahasa

OLEH: JUFITRI JOHA (NAIB PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA)

DB: Majlis Belia Malaysia (MBM) merupakan sebuah badan induk yang bergerak untuk menyelaraskan pertubuhan belia dan pelajar. Sebagai Naib Presiden MBM, boleh tuan jelaskan secara ringkas asas penubuhan MBM?

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada majalah Dewan Bahasa atas ruang yang diberikan. Dari segi sejarah, sebenarnya sudah puluhan tahun penubuhan MBM ini yang bertujuan untuk mewakili belia Malaysia. Idea asalnya adalah untuk menjadi cawangan World Assembly of Youth. Peranan asas MBM adalah untuk menyuarakan idea, semangat dan gagasan belia untuk disalurkan kepada pihak pembuat dasar, khususnya Kerajaan Malaysia. MBM masih relevan sehingga kini dan slogan utamanya adalah untuk bertindak demi kebenaran dan keadilan tanpa rasa takut serta tidak menyebelahi mana-mana pihak untuk menyuarakan apa sahaja isu berkenaan, bukan sahaja kepentingan belia, tetapi kepentingan negara dan juga dunia. Peranan MBM bukan sahaja memperjuangkan isu belia, kerana perkara tersebut memang merupakan agenda utama, tetapi MBM juga menyuarakan isu-isu semasa dalam dan luar negara yang melibatkan kepentingan bersama sebagai contoh, MBM juga memberikan pandangan mengenai Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) kerana hal ini melibatkan kepentingan negara.

Mungkin segelintir generasi muda sekarang ini tidak ada rasa kepentingan untuk bergerak secara kolektif. Penasihat belia Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon, iaitu Ahmad Alhendawi, pernah menyatakan bahawa antara trend global berkaitan generasi muda ialah kuasa individualistik. Maknanya, jika pada peringkat antarabangsa, tokoh seperti Malala Yousafzai, manakala pada peringkat tempatan pula, tokoh seperti Raja Syamri yang terkenal dengan bantuan banjirnya, tokoh-tokoh ini merupakan pemaparan kuasa individu. Generasi muda melihat bahawa untuk menyumbang idea tidak semata-mata harus bergantung pada kuasa kolektif. Kadang-kadang, bergerak secara individu nampaknya lebih berkuasa daripada berkumpulan. Tetapi bagi MBM, gerak kerja secara berkumpulan ini lebih besar dan memberikan kesan yang baik dan meluas sifatnya. Cabaran MBM adalah bagaimana hendak menarik lebih kurang lapan juta lebih belia Malaysia untuk aktif dalam persatuan belia. Dalam konvensyen belia yang lepas, kita mengubah formula. MBM berpendapat idea untuk berpersatuan ini penting dan harus mendidik anak muda untuk berpersatuan, tetapi kita mesti mengubah pendekatan. Kita mengambil elemen inovasi sosial, bentuk lama tetapi pendekatan baharu. Sekarang kita sedang memikirkan apakah bentuk inovasi sosial yang sesuai untuk digunakan bagi menarik golongan muda, dengan mengambil pendekatan memaksimumkan penggunaan media sosial.


DB: Gerak kerja MBM meliputi pelbagai perkara, antaranya termasuklah melibatkan hal yang berkaitan ekonomi, pembangunan sosial, kebudayaan, kesukanan, pendidikan, dan sebagainya. Boleh tuan jelaskan bagaimanakah program atau aktiviti MBM yang meliputi perkara yang dinyatakan tersebut dapat membantu golongan belia daripada pelbagai aspek?

MBM mempunyai ramai exco yang dilantik dan dibahagikan kepada biro-biro tertentu. Saya mewakili jawatankuasa pendidikan. Antara perkara atau fokus yang saya bawa termasuklah yang berkaitan kemahiran belia. MBM harus mendekati golongan belia yang tidak berkesempatan untuk menyambung pelajaran dalam institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Mereka ini mungkin sudah tidak minat belajar akademik, tetapi mereka memiliki kemahiran tertentu. MBM menekankan kemahiran belia ini sebagai agenda utama. MBM membawa agenda utama ini kepada pihak kerajaan, dan hasilnya kerajaan bersedia memberikan satu bilion untuk dimanfaatkan oleh kebanyakan belia yang memiliki kemahiran tertentu ini. Perkara lain yang kita tekankan ialah aspek kesukarelawanan. Baru-baru ini kita melancarkan Komuniti Sukarelawan Belia 1 Malaysia (MyVOC). Istimewanya, MBM menggabungkan kumpulan belia yang profesional dan berkemahiran. Contohnya, jika belia tersebut mahir membaiki peralatan yang berkaitan elektrik, maka sebuah pasukan yang berkemahiran tersebut sudah ada. Apabila berlaku bencana, MBM sudah ada pasukan khas sendiri. MBM juga mempunyai kumpulan profesional peguam. Jika terdapat masyarakat yang memerlukan khidmat guaman, maka mereka inilah yang akan membantu.

Aspek yang tidak kurang penting ialah kepimpinan. Aspek kepimpinan memang menjadi keutamaan MBM bagi melahirkan ramai pemimpin. Kita wujudkan agenda “MBM in Business”, sebagai salah satu projek penjenamaan semula MBM bagi aspek kepemimpinan.

Tiada ulasan: